Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan KLS: Bab 1 (bhgn. I)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid

Assalamualaikum.
Seperti yang dijanjikan, ini adalah baris-baris sulung daripada bab pertama KLS: Pendita Gua Khayalan. Semoga terhibur!

***********

Salam ke atasmu, insan maujud ciptaan Tuhan.

Segala pujian tertinggi buat Tuhan yang mencipta alam, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, dan Dialah pemilik pertemuan antara kita berdua.

Sebenarnya, takdir dan ketentuan telah lama menjanjikan kita bersua, dan akhirnya kini kita bersemuka biar pun kau tidak pernah merancang bertemu denganku. Kau tidak mengenaliku, dan aku juga tidak mengenalimu, tetapi yakinlah sepenuh hati, ini adalah ketentuan yang terjanji untuk kita berdua.

Izinkan daku menjelaskan sesuatu kepadamu, agar kau tidak terus meronta dalam pertanyaan, juga tidak bertarung dengan tanda tanya.

Percayalah, bahawa kau kini berada di alamku, alam mistik yang terlalu jauh untuk kau kunjungi. Rehatlah semahu hatimu lantaran kau adalah tetamuku yang istimewa, terlalu istimewa. Maafkan daku, seandainya interaksi ini hanya sehala. Sesungguhnya aku tidak bermaksud menafikan segala hakmu sebagai insan mulia ciptaan Tuhan.

Hidupku terlalu tua, lebih tua daripada yang kausangka. Bahkan aku sendiri terlepas hitung akan usiaku. Namun jalinan memoriku masih utuh kerana detik-detik muda yang kutelusuri kekal tergarap segar, berlegar di ruang minda, berjujuk melintas mata. Ah, jiwaku sentiasa merindui tanah asalku.

Hadirmu ternyata memimpin rahmat kepadaku. Sepontan diriku dibalut segar sebugar pagi. Lelahku terlepas dari sangkar tubuh, membuatkan diriku beroleh ruang nafas seperti bayi kecil yang baru keluar dari perut si ibu. Lantaran itu kurasakan sisa-sisa hidupku bakal dihurung perasaan bersalah terhadapmu, seandainya kedatanganmu tidak kuberikan layanan yang sewajarnya.

Kefakiran membataskan daku memberikan sesuatu yang berharga bagi meraikan kunjunganmu. Aku bukan pembesar yang menjual pangkat, bukan hartawan yang melelong dunia, juga bukan orang ternama yang menjaja nama. Aku hanyalah penyimpan dan penjaga sebuah legenda, dan legenda itu hanya diberikan kepada mereka yang kurasakan berhak.

Oleh itu aku berharap agar dikau sudi mendengar legenda jagaanku, sebagai hadiah daripada seorang teman. Legenda ini tersimpan lama dalam khazanah pengetahuanku, namun masih belum usang untuk kuturunkan kepadamu. Legenda ini adalah legenda bangsaku, juga legenda tanah airku.

Negeriku itu Indera Wangsa namanya, terletak nun jauh di zamin zirbad. Bumi Indera Wangsa itu cantik seindah namanya, tanahnya subur berhiaskan tumbuhan menghijau, langitnya cerah bermelodikan irama nyanyian unggas alam, dan lautnya terbentang biru bertemankan segala rupa hidupan.

Tanah Indera Wangsa terbahagi kepada lima wilayah – Indera Meru, Indera Sura, Indera Puspa, Indera Kawi dan Indera Nila. Kelima-lima wilayah ini bernaung di bawah permerintahan beraja yang berpusat di Indera Meru. Setiap wilayah ini ditadbir oleh seorang waizuri yang dilantik oleh raja, kecuali Indera Meru yang ditadbir sendiri oleh raja Indera Wangsa.

Legenda ini bermula apabila Indera Wangsa diserang oleh bangsa Mandira, satu bangsa di utara yang maju, pintar dan gagah. Mereka adalah bangsa yang tidak mengenal erti gentar. Dada mereka diperkasa dengan semangat juang demi bangsa, dan minda mereka pula tersulam satu peringatan bahawa tiada bangsa yang mungkin bisa menandingi mereka, biar dalam perkara apa sekali pun.

Hal itu membuatkan mereka mengatur serang ke atas negeriku, kerana Indera Wangsa tatkala itu sedang giat membangun sehingga memudarkan ukiran nama Mandira di rantau Nusa Giri. Mereka sebenarnya khuatir dengan kemajuan pesat di Indera Wangsa, dan itu adalah pantang terbesar dalam resmi Rang Mandira.

Satu demi satu, kelima-lima wilayah jatuh ke dalam genggaman mereka, dan seluruh Indera Wangsa diperintah oleh bangsa Mandira lebih sedekad lamanya. Kehidupan kami dirobek sengsara tujuh petaka, sehingga muncul seorang wira bangsa dari Indera Nila, mengembalikan kesucian tanah Indera Wangsa yang berdaulat.

Ketahuilah dikau, wira bangsa yang kumaksudkan itu bergelar Lang Merah, seorang laksamana terbilang, digeruni lawan dan disegani teman. Berkat kebijaksanaannya mengatur siasah perang, seluruh Indera Wangsa dapat dibebaskan daripada cengkaman kuku Mandira. Lantaran itu namanya sentiasa disebut rakyat jelata, sentiasa juga manis di bibir raja, tetapi hempedu di setiap lidah pembesar-pembesar istana.

www.tips-fb.com