Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan KLS - Bab 3 (bhgn II)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Singa Tama meluncur ke hadapan bagai tiada berjejak biarpun timbunan salju menenggelamkan betisnya. Dalam posisi menyerang itu, dia kelihatan lebih bertenaga, menyanggahi deruan nafasnya yang beritma songsang sebentar tadi.

Di sudut yang bertentangan Rimau Seru tidak sedikit pun berganjak, melihat dan menanti serangan gurunya dengan pasakan kekuda yang teguh. Matanya meruncing, mencari titik lemah yang mungkin terdedah tanpa disedari gurunya. Sejurus dia menjulang pedangnya, bersedia untuk bertahan, bersiaga untuk melawan.

Hanya beberapa langkah dari Rimau Seru, Singa Tama melompat tinggi sebelum melepaskan tetakan, menggerhanakan mentari yang tersedia sumbing di belakangnya. Rimau Seru membaca pergerakan gurunya dengan senyuman di hati. Dia sudah mengagak Singa Tama pasti melakukannya, dan dia sudah bersedia untuk itu.

Rimau Seru menggulingkan badan pantas ke hadapan, kemudian bingkas lalu menghayun pedangnya pada belakang Singa Tama. Namun Singa Tama juga sudah menjangka tindak balas muridnya, ternyata dia bukanlah jagung semusim yang canggung beraksi bersama pedang. Sebelum berjejak kaki ke bumi, dia memalingkan badan seraya menangkis libasan Rimau Seru, sepantas itu juga melepaskan tendangan layang ke rusuk kiri muridnya itu.

Rimau Seru rebah ke sisi dan pedangnya terlepas dari genggaman. Dia ingin bingkas kembali mencapai senjata, namun Singa Tama terlebih dahulu menghunus pedang ke dadanya, sekali gus membantutkan niat mematikan gerak. Senyuman kini beralih bibir menjadi milik Singa Tama.

“Sepuluh musim lalu, seharusnya kau tidak kuberikan peluang untuk terus hidup,” bicara Singa Tama seraya menusuk pedangnya ke bahu Rimau Seru.

Rimau Seru mengancing gigi, menahan kesakitan yang melingkari tubuhnya, dan saat gurunya menarik kembali tusukan pedang, sakit yang terempang dilepaskan bersama raungan keras bersalut kepedihan.

“Sakit, bukan?” ujar Singa Tama dengan nada sinis. Wajahnya gagal mencerminkan sebarang bentuk perasaan.

Rimau Seru menekup luka yang membuakkan darah hangat, mengalir ke lengan sebelum meresap dan menukarkan warna salju di bawah perbaringannya. Dia menyorot wajah Singa Tama bersama gumpalan geram yang terbuku di hati. Sungguh, kejantanannya kini benar-benar tercabar dan dicabar.

“Kau terlalu yakin, dan memandang rendah keupayaan lawanmu. Itu adalah kelemahanmu yang nyata,” ujar Singa Tama lagi. Pedangnya masih terhunus ke dada Rimau Seru.

Rimau Seru melihat peluang yang terhidang, gurunya sedang leka dengan kemenangan yang belum mutlak. Sepantas kilat dia menendang pergelangan gurunya hingga terlucut pedang dari genggaman, diikuti tendangan kedua yang merebahkan Singa Tama, yang masih nanar dipeluk rasa kejut akibat tendangan pertama.

Tanpa menunggu lama, Rimau Seru berganjak pantas menerpa pedang gurunya. Biar pun luka masih berbisa di bahu, masih tetap digagahi segenap kudrat bagi menongkat diri, sambil menyaksikan gurunya bangkit bersama pedang miliknya.

Pedang bertukar milik, kemenangan berundur dari Singa Tama.

“Yang terlalu yakin, dan yang memandang rendah keupayaan lawan adalah dirimu sendiri, wahai guru,” ujar Rimau Seru mengubah rentak debat. Dia sudah luka, dan dia harus lebih berwaspada agar langkahnya tidak tersadung lagi.

“Semangat juang yang ada dalam dirimu sememangnya sukar dicari, sayangnya tidak bertempat,” balas Singa Tama masih yakin. Matanya tidak melepaskan pedang miliknya yang kini digenggam Rimau Seru, dan Rimau Seru menyedari akan hal itu.

Pedang Luka.

Panjang bilahnya melebihi dua hasta dan melebar setengah jengkal di puncak lengkung sebelum menirus di hujung mata. Bahagian belakang matanya tumpul, selayaknya menjadi tulang yang menyokong bilah tersebut. Diperbuat daripada pamor yang ditempa tujuh lipatan, bilah Pedang Luka seakan berbelang, menjadi corak terindah yang bisa membuat kau berasa kagum melihatnya.

Hulunya kekar dan putih, diperbuat daripada gading gajah tunggal yang mati di hujung benua. Kau bisa dapati gagang pedang tersebut dipenuhi ukiran halus dan teliti, juga ukiran kepala harimau yang sedang mengaum. Indah, terlalu indah.

“Pedang Luka ini terasa begitu serasi denganku,” kata Rimau Seru seraya menghunus pedang itu ke hadapan, kemudian cuba menarikannya dengan tarian ringkas. Keasyikan bersama Pedang Luka telah memadamkan rasa bisa yang menggigit.

“Pedang Luka terlalu liar untuk kaujinakkan,” ujar Singa Tama cuba mencari helah.

“Biarkan, tidak perlu dijinakkan. Daku juga bertingkah liar,” balas Rimau Seru kemudiannya. Sejurus dia menjeling ke arah gurunya.

Singa Tama masih tegap berdiri, akalnya ligat mencari helah yang lain. Dia tahu Pedang Luka amat sebati jika digenggam oleh Rimau Seru. Bersemuka dengan kombinasi Rimau Seru-Pedang Luka bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik biar pun anak muridnya itu telah dilukai. Namun hal itu masih belum diketahui oleh Rimau Seru, dan dia perlu mendapatkan kembali Pedang Luka daripada Rimau Seru.

“Aku tahu prinsip yang menjadi peganganmu. Kau tidak akan menjalankan tugasmu selagi tidak beroleh sesuatu daripada mangsamu. Sekarang nyatakan kepadaku, apa yang kauperoleh daripadaku?” Singa Tama memulakan bicara helahnya.

“Kau adalah guruku, tentu sekali banyak yang kuperoleh daripadamu,” balas Rimau Seru ringkas. “Namun ada sesuatu yang benar-benar membuatkan daku beroleh sesuatu yang berharga daripadamu.”

“Nyatakan.”

“Jurus Melibas Salju.”

Wajah Singa Tama berubah mendadak, tidak percaya dengan apa yang didengar. Kewujudan Jurus Melibas Salju telah dirahsiakan daripada pengetahuan umum, masakan Rimau Seru bisa menghidunya.

“Bagaimana mungkin kau mengetahuinya?”

Reaksi gurunya telah dijangka, dan soalan itu menghadirkan rekahan senyum di bibir. Rimau Seru bertambah yakin, misinya pasti terlaksana.

“Setiap kali musim salju bertandang, daku mendapati guru sering mengurung diri di gelanggang latihan terutama pada hari-hari turunnya salji, dan ianya mengetuk pintu hairan di dadaku. Tambah memusykilkan apabila ditanya, guru menjawab ianya hanya latihan biasa, sedangkan kitab silat anutanmu sentiasa dibimbit keluar masuk ke gelanggang.

“Kemusykilan membawaku kepada satu penyiasatan, dan siasatan itu memimpinku kepada satu kesimpulan. Semua jurus yang termaktub dalam kitab itu telah guru ajarkan kepadaku, kecuali satu – Jurus Melibas Salju,” terang Rimau Seru secara ringkas menyambut persoalan gurunya.

“Jurus itu terlalu sukar untuk dikuasai,” celah Singa Tama spontan.

“Benar, kerana itu ianya tidak diajarkan kepadaku.”

“Ya.”

“Dan kerana itu juga guru masih belum menguasainya, bukan?” soal Rimau Seru dengan nada sinis memerli. Sejurus dia mengangkat Pedang Luka, meyambut sebutir salju yang turun dan mengawalnya agar terus terapung di awangan. Lagaknya bersahaja.

“Kau, masakan...”

“Ya, guru. Daku telah menguasainya,” potong Rimau Seru lalu melepaskan salju yang dikawal dengan Pedang Luka jatuh ke bumi. “Sukar mempercayainya?”

“Jika benar perkataanmu, tunjukkan ia kepadaku!”

Rimau Seru mengangguk, lalu memulakan rentak tari Jurus Melibas Salju, dan salji yang turun menderas pun jadi gemalai bagai terpukau dengan rentaknya. Singa Tama menyaksikan keindahan dan kesempurnaan rentak jurus itu dengan penuh rasa kagum.

“Aku tidak menyesal seandainya aku mati kerana jurus ini,” ujar Singa Tama seraya bersedia menerima sebarang serangan.

“Bersedialah, wahai guru!”

Perhatian Rimau Seru terfokus pada sebutir salju yang turun gemalai, kemudian dia memusingkan badannya seraya melibas Pedang Luka ke arah salju tersebut. Bagaikan peluru, butir salju itu meluncur deras ke arah Singa Tama.

Singa Tama melihat kehadiran salju itu dengan bintik-bintik cemas, mengelak ke sisi seraya menangkis serangan itu dengan pedang. Namun dia tidak menjangka, luncuran salju itu bisa mematahkan pedangnya. Kini dia kehilangan senjata, yang tinggal hanyalah perasaan cemas yang mencengkam.

“Terima kasih atas segala tunjuk ajarmu, wahai guru. Maafkan daku.”

Rimau Seru menarikan semula pedangnya, melibas salju-salju yang turun di kiri dan kanan berulang kali. Singa Tama sedar, serangan muridnya kini tidak mungkin dapat ditahan mahupun dielak. Dia hanya mampu melepaskan senyum terakhir, dan pasrah melihat butiran salju-salju merobek dadanya.



www.tips-fb.com

Godaan KLS - Bab 3 (bhgn I)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Berat.

Waktu itu, alam bernafas berat, melepaskan keluh resah yang bisa menjadi ribut pada bila-bila masa. Kau bisa melihat wajah langit yang dipeluk gerhana, menapis sinar sumbing Sang Mentari yang telah kehilangan pijarnya. Kau juga bisa rasakan, urat-urat petang tertarik tegang ke setiap penjuru buana, membuatkan tarian salju seakan pincang tidak sekata. Bumi seakan membisu, hanya sesekali melepaskan rintihan gundah memanggil ketenangan. Detik-detik waktu bagai terpusar perlahan, sebelum lepas kembali ke landasan. Kau harus tahu dan kau harus mengerti, sesuatu pasti akan berlaku.

Di satu sudut jauh dari Kota Indera Kawi, dua insan menjadi titik-titik dalam keputihan salji, pegun dalam pusaran masa.

Sepasang mata membakar dalam sorotan tajam, sepasang lagi tampak tenang membalas seakan tersenyum. Mereka berhadap dalam jarak kira-kira sepuluh langkah, langsung tidak menghiraukan kesejukan yang turun bersama salju.

“Apakah ini bentuk hadiah yang selayaknya diberikan kepada seorang guru?” Singa Tama membuka bicara dengan lagak bengis sambil mendabik dada. Suaranya keras dan jelas, namun bernada rendah mendatar, terkandung di dalamnya satu kekecewaan yang tiada tertahan.

Rimau Seru tidak lekas menjawab soalan yang terlempar kepadanya. Dia merenung wajah gurunya seraya melebarkan senyum di bibir, tidak mengendahkan salju yang melintas turun dalam bingkai renungnya.

“Apa yang merasuk hatimu hingga sanggup mencabar gurumu sendiri?” bentak Singa Tama melahirkan rasa kecewanya. Nafasnya berlari keluar bersama kepulan hawa, hanya untuk lenyap ditelan kesejukan.

“Guru, kau adalah insan yang mengajarku erti membunuh. Dalam ajaranmu, pangkat dan kedudukan orang yang bakal dibunuh bukanlah penghalang,” balas Rimau Seru ringkas. Senyum masih tersisip di bibir.

Sebutir salji melayang hinggap di mata pedang milik Rimau Seru, bertahan seketika sebelum mencair disebabkan kehangatan yang mengalir dari genggaman tangannya.

“Siapa yang mengupahmu bagi membunuhku?”

“Adalah pantang bagi seorang pembunuh upahan membuka nama orang yang mengupah. Bukankah itu juga termaktub dalam ajaranmu, wahai guru?”

Balasan Rimau Seru membuatkan Singa Tama terkedu, kerana kebenaran berada di dalamnya. Dialah yang mengajar Rimau Seru segala ilmu yang diperlukan oleh seorang pembunuh upahan, dan kini ilmu-ilmu itu seakan bakal menikam dirinya sendiri.

Rimau Seru.

Dia masih ingat kira-kira sepuluh tahun lampau, secara tidak sengaja Rimau Seru menjadi saksi ketika dia menjalankan tugas membunuh ketua peronda kota. Dia tidak sedar segala kelakuannya diperhatikan oleh Rimau Seru dari celahan intai dedaun belukar. Hanya sesudah usai pekerjaan, telinganya menangkap deru nafas manusia yang berantai di sekitar lembah itu. Bersama darah yang masih segar di pedang, dia mencari dan memburu empunya nafas.

Dia menemui Rimau Seru di sebalik belukar tidak jauh dari tempat pembunuhan. Anak muda itu kelihatan tenang tanpa sebarang ketar, tidak menampakkan tanda-tanda gentar atau ingin lari.

“Siapa geranganmu, wahai orang muda?” gertaknya dengan nada keras seraya mengacu pedang ke dada Rimau Seru. Dia sempat melihat pakaian Rimau Seru yang compang ditebuk camping. “Adakah kau orang suruhan ketua peronda?”

“Aku bergelar Rimau Seru, anak kepada Rimau Salju. Aku tiada hubungan dengan orang yang kau bunuh,” balas Rimau Seru tenang sambil merenung mata Singa Tama. Renungan itulah yang membuatkan Singa Tama dipeluk rasa kagum.

“Apa yang kau lakukan di kawasan ini?” Pertanyaannya bengis dan garang.

Rimau Seru tidak lekas menjawab, sebaliknya berundur ke sisi memperlihatkan seikat ranting dan dahan kering di belakangnya.

“Kayu api. Aku mencari kayu api,” balasnya jujur.

“Kau melihatnya, bukan?”

“Ya, aku melihatnya dari awal hingga akhir.”

“Jadi, kau adalah saksi dan aku harus melenyapkanmu.” Singa Tama bersedia mengangkat pedangnya. “Maafkan aku.”

“Adakah kau turut diupah bagi membunuhku?” Rimau Seru jelas tidak gentar saat melontarkan soalan itu. Singa Tama nyata tersentak, tidak menyangka anak muda di hadapannya punya ketenangan yang luar biasa.

“Tidak, tetapi aku mesti menghapuskan setiap saksi.”

“Kau adalah pembunuh upahan. Kau membunuh apabila diupah. Maka kau tidak boleh membunuhku, kerana tiada siapa yang mengupahmu,” hujah Rimau Seru lagi.

Singa Tama mengukir senyum lalu menurunkan pedang yang terhunus ke dada Rimau Seru. Dia seakan beroleh satu keputusan yang bulat.

“Kau terlalu istimewa untuk kubunuh, wahai orang muda.”

Sejak itu, dia mengambil Rimau Seru sebagai muridnya, dan mengajarkan selok-belok pembunuhan terancang. Ternyata Rimau Seru tidak menghampakan, dan dia tahu akan hal itu sejak pertemuan kali pertama mereka.

Satu sambaran angin melimpas wajah, lalu memadamkan lakaran senyum di bibirnya. Kini dia menyedari, detik-detik itu telah berlalu. Rimau Seru bukan lagi anak miskin yang dikutip di pinggir kota, juga bukan lagi murid yang ingin dipimpin. Rimau Seru sudah berubah, jauh berubah.

Dia menyeluruhi wajah Rimau Seru, dan dia bisa membaca sebuah tekad yang tertulis pada setiap garis-garis kesungguhan.

“Andai tekadmu sudah membulat, apa lagi yang kautunggu? Aturkan segala langkahmu, bicarakan dengan pedangmu,” cabar Singa Tama memecah tembok buntu. “Namun jangan kau harap aku akan berdiam diri.”

Rimau Seru menarik kemas lilitan dalkin di lehernya.

“Maafkan daku, guru,” ucapnya perlahan sebelum membuka langkah dengan heretan pedang di sisi kanan.

Keheningan petang mula bergetar dalam deruan nafas alam yang semakin mengeras. Tarian salju tidak lagi gemalai, sebaliknya condong dan lurus menggila, menghempap sesama sendiri bila tiba di wajah bumi. Kesejukkan kian pudar dilunturkan oleh kehangatan pedang-pedang yang bertemu dan berpisah tanpa jemu. Seandainya dikau berada di situ, pucat kulitmu pasti memerah dek hangat sengketa mereka.

Ketehuilah wahai insan, pertembungan ini - antara guru dan anak muridnya, merupakan salah satu lekuk sejarah terpenting dalam legenda Lang Surya. Mungkin kau tidak bisa memahami apa yang kuperkatakan, namun sabarlah dalam meniti kisah legenda ini, pasti kau akan mengerti. Dengan izin Tuhan.

Rimau Seru menghunus, melibas dan menetak pedangnya ke arah Singa Tama, namun gurunya masih bertahan, menepis dan menangkis segenap asakan tanpa memperlihatkan sebarang masalah. Sesekali Singa Tama membalas serang, setiap kali itu juga Rimau Seru berjaya mematahkannya. Pertelingkahan mereka nampak seimbang seperti tiada hujungnya.

Mereka berhenti sebentar setelah lelah mula menjalar ke dalam tubuh, mengumpul segala kudrat yang tersisa sebelum menyambung sengketa.

“Setiap gerakanmu adalah ajaranku. Masakan bisa menjatuhkanku,” kata Singa Tama dengan cungapan nafas. Ternyata tua telah menjamah usianya.

“Aku hanya perlu mencipta helah dan menanti kesilapanmu, wahai guru,” balas Rimau Seru tenang. Nafasnya juga sedikit pincang, namun tidak sederu Singa Tama.

“Tidakkah kau melihat, setiap jurusmu berakhir dengan kekecewaan?”

“Benar, setakat pemerhatianku, tarian pedangmu amat sempurna. Namun masa bakal menentukan kerana dirimu juga sedang bertarung dengan kelelahan,” sahut Rimau Seru cuba bermain psikologi. Matanya mengawasi setiap pergerakan gurunya, agar dia sentiasa bersedia menerima serangan mengejut.

“Apa yang kaulihat, belum tentu jelas kebenarannya,” bicara Singa Tama seraya mengangkat kembali pedangnya. “Ayuh, kita sambung sengketa kita!”


www.tips-fb.com

Godaan KLS: Bab 2 (bhgn. III)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Lang Surya melihat sekitarnya dan dia seakan mengenali kawasan itu. Ya, mereka berjalan dan berjalan, hanya untuk kembali ke titik asal – tempat pertemuan mereka berdua! Rasa musykil melingkar membuatkan dia ingin bertanya, namun dia memadamkan hasrat. Seandainya gadis itu menjawab sekali pun, amat sukar bagi dipercayai.

“Pokok itu...” kata gadis itu seraya menuding sebatang pokok yang besar dan tinggi. “...di atasnya terdapat seekor anak helang. Aku mahu kau melastiknya.”

Lang Surya mendongak memerhati pokok yang dimaksudkan. Pokok itu besar, batangnya tujuh pemeluk barangkali. Banirnya juga tinggi, dan pucuknya sayup terjulang. Dia cuba mencari anak helang tersebut, namun dalam keadaan yang semakin gelap, pencariannya tampak sukar.

“Aku tidak melihat seekor anak helang pun di pohon itu.”

“Ada. Lihat betul-betul.”

Benar, di satu dahan pohon itu terdapat seekor anak helang yang baru tumbuh sayap sedang berkira-kira melompat terbang ke angkasa. Anak helang itu kelihatan seperti teragak-agak, takut jika tidak berupaya terbang tinggi seperti ibunya. Sesekali dia bertempik bagai mahu menghalau rasa takutnya, kuat dan nyaring.

“Aku melihatnya,” ujar Lang Surya apabila anak helang itu berada dalam penglihatannya. Dia menyeluk lalu menarik seketul batu dari dalam sakunya tanpa melepaskan pandangan pada anak helang itu.

“Seandainya kaubisa melastik jatuh anak helang itu, aku akan menunjukkan jalan pulangmu,” bicara gadis itu menyatakan syaratnya.

“Seandainya tidak?”

“Kau harus menerimaku sebagai temanmu.”

Lang Surya menoleh, melepaskan anak helang dari pandangan. Terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena pada syarat yang dikemukakan.

“Apakah syaratku itu berat buatmu?” soal gadis itu setelah melihat Lang Surya mengikat lidah.

“Tidak.”

“Fikirkan. Kedua-dua natijah tidak membawamu kepada kerugian, biar pun lastikanmu tidak mengena...”

“Bidikanku tidak pernah tersasar,” potong Lang Surya. “Kau akan menunjukkan jalan pulangku. Itu yang aku tahu.”

Si gadis tampak teruja. Dia tahu Lang Surya bukan bercakap besar, tetapi ianya adalah keyakinan yang lahir dalam diri seorang pemenang. Adalah pantang bagi seorang lelaki menimbang hal kekalahan dalam apa jua bentuk pertarungan. Lebih-lebih lagi pertarungan yang belum bermula.

“Janjiku milik kemenanganmu, dan kekalahanmu membawa janjimu kepadaku. Silakan,” balas si gadis membuka cabaran.

Lang Surya mengalih kembali pandangan ke dahan pohon. Anak helang masih di situ, masih teragak-agak bagi mengembangkan sayapnya. Tanpa menoleh dia bersuara, “Aku punya berapa lastikan?”

“Hanya satu,” sahut si gadis pendek.

Lang Surya menadah jawaban itu tanpa emosi seraya memasak langkah. Batu sudah berada di pelapik sebagai peluru. Dia mengangkat lastiknya lurus ke hadapan, lalu membuka sudut sasar agar selaras dengan si anak helang. Nafas dihela, pelapik ditarik, dan anak helang diacu. Dalam suasana hutan yang semakin kelam, anak helang itu masih terang dalam ruang lihat matanya.

Pelapik dilepaskan...


www.tips-fb.com

Godaan KLS: Bab 2 (bhgn. II)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Dia meninjau jejak-jejak yang telah dilalui, dan hatinya mula merembes titik-titik cemas. Tiada bekas yang tertinggal, tiada tanda yang bisa mengarahnya kembali ke Melur Puteh. Titik-titik cemas mula bertakung.

“Kau masih belum menyahut soalanku.” Gadis kecil itu menyambung tali bicara. “Apa yang kaucari?”

Lang Surya menoleh kembali, mencari kejujuran melalui anak mata renungan si gadis. Dia tidak pasti sama ada di hadapannya adalah teman atau lawan. Dia harus berwaspada.

“Aku mencari jalan pulang,” balas Lang Surya seraya menjauhi gadis itu, masih belum berputus harap agar bertemu bertemu kembali dengan laluannya.

“Aku tahu arah jalan pulangmu.”

Langkah Lang Surya terhenti, dan sekali lagi dia menoleh ke arah gadis itu. Si gadis menguntum senyum seraya membetulkan kelubung batik di kepalanya. Air wajahnya nampak tenang, tiada riak-riak onar yang beralun. Namun Lang Surya masih mengikat tali curiga. Setenang-tenang kali, jangan disangka tiada buaya.

Lang Surya jadi bingung dengan kenyataan gadis itu. Mereka tidak pernah bertemu apatah lagi mengenali satu sama lain, tetapi gadis itu mengaku mereka adalah teman. Siapa gadis itu yang mengetahui jalan pulangnya? Mana asalnya dan gerangan apakah dia? Manusia atau bunian?

Persoalan demi persoalan berjujuk melintas di ruang fikir. Akhirnya dia membuka langkah, mendekat kembali ke arah si gadis.

“Aku tidak mengenalimu, tetapi kau mengaku tahu jalan pulangku. Dan aku tidak punya pilihan untuk percaya atau tidak. Jadi, andai kau benar-benar mengetahui, terangkanlah ia kepadaku,” bicara Lang Surya bernada rendah dan penuh harap.

Gadis itu melebarkan kuntuman senyumnya.

“Baiklah, aku akan tunjukkan jalan pulangmu,” ujar si gadis seraya melirik galak. Lang Surya menarik nafas lega, mengisi ruang dada yang kian lapang.

“Terima kasih,” ucap Lang Surya ceria.

“Dengan satu syarat.”

“Syarat?”

“Ya.”

“Aku tidak mengerti.” Lang Surya menarik sedikit badannya ke belakang. Dahinya bertinta kerut seribu tanda tanya, menghalau kelegaan yang baru sahaja menyinggah.

“Aku tahu, kau datang ke hutan ini dengan satu tujuan – melastik burung. Bukankah begitu?” tanya si gadis seraya mengangkat keningnya. Sejenak dia menjeling lastik yang berada dalam genggaman Lang Surya.

Lang Surya melihat lastiknya, juga meraba batu-batu kecil di dalam saku.

“Benar,” sahut Lang Surya lambat dan teragak-agak. Tiba-tiba rasa bersalah menghampiri hatinya. “Adakah niatku itu salah?”

“Tidak,” balas gadis itu menggeleng kecil. “Sama sekali tidak.”

Jawaban itu membuatkan Lang Surya semakin keliru. Saat itu dia tidak tahu sama ada dia boleh menarik nafas lega atau tidak. Terbukti gadis itu adalah misteri. Soalan-soalan yang menyerang fikirannya tadi bertandang lagi.

“Tidakkah kaumahu mendengar syaratku?” soal gadis itu setelah melihat Lang Surya dalam keadaan bingung. Lang Surya merenung gadis itu dengan mata yang mengecil. Gadis itu membalas sambil mengangkat kembali keningnya, seakan mengulang pertanyaan yang dilemparkan.

“Baiklah, nyatakan syaratmu,” ujar Lang Surya setelah mendapati dia tidak punya pilihan.

“Mari, ikut aku.”

Gadis itu berpaling dan mula melangkah, menuju ke arah rimbunan belukar yang memagari ruang pertemuan mereka. Perlahan-lahan pepohon renek yang tumbuh rapat terbelah menjarak membentuk denai di hadapan si gadis, dan dia menelusuri denai itu tenang dan lancar tanpa mempamerkan sekelumit rasa teruja.

Lang Surya sebaliknya, menyaksikan perkara itu dengan mata yang membulat bersama detakan jantung yang memalu. Sungguh dia tidak pernah melihat sebarang bentuk sihir di depan mata, biarpun dirinya telah terbiasa lencun disimbah dengan cerita-cerita ajaib dan misteri oleh ibunya. Kini dia menyaksikan, dan hal itu seakan memaku kakinya ke lantai hutan.

Gadis itu menunda langkahan, lalu menoleh ke arah Lang Surya.

“Apa yang kautunggu?” soalnya seakan dapat menyentuh rasa canggung yang bermain di fikiran Lang Surya. Buat seketika dia memandang segugus belukar di belakang Lang Surya. Pandangannya tepat tidak berganjak.

Lang Surya ingin membalas namun lidahnya mengeras dan terkunci. Dia masih tidak percaya.

“Jangan pernah gusar dengan apa yang kausaksikan. Mari, ikut aku,” ajak gadis itu lagi seraya melontarkan senyum.

Senyum itu bagai berbicara pada mata Lang Surya, dan getarnya menular hingga ke hati, namun masih belum bisa memadam kesangsian, biar pun kakinya mula meruntun jejak-jejak si gadis. Wajahnya menceritakan apa yang berlegar di fikiran.

Dia mengekori gadis itu buat beberapa lama. Mentari semakin lesu di kayangan barat, menghadirkan tinta-tinta gelap yang meresap ke seluruh alam, lebih-lebih lagi di dalam hutan yang mereka harungi.

Gadis itu. Semakin jauh dia menurut, semakin dalam rasa ragu yang tertanam. Ke mana gadis itu membawanya? Dia rasa tertipu dan diperdaya, namun dia tiada pilihan. Dia harus ada rasa percaya walau hanya sekelumit kerana gadis itu menggenggam sesuatu yang dia perlu, dan dia perlu menurut kehendak gadis itu seandainya dia ingin pulang.

Ibu.

Melur Puteh.

Dia melihat atap hutan yang kian kelam, dan hatinya mula meronta. Detik-detik yang melintas membawa bersama wajah ibunya dan Melur Puteh. Hatinya diketuk rasa khuatir, tertampal rasa bimbang. Dimarahi ibu kerana lewat pulang, itu sudah pasti.

“Kau masih belum menyatakan syaratmu, wahai gadis.” Akhirnya dia bersuara setelah lama memendam. Gadis itu mematikan langkah.

“Kita telah tiba,” ujar si gadis ringkas.

www.tips-fb.com

Berita Dari Seorang Editor

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid

Alhamdulillah, akhirnya cadangan bagi menerbitkan KLS di bawah kelolaan PTS Sdn. Bhd telah pun diluluskan. Editor novel-novel jantan di PTS, saudara Syafizan (Mat Jan) baru sahaja memberitakan hal ini menerusi email.

"Salam.

Saya sudah selesai membaca proposal dan contoh bab Kembara Lang Surya. Ia sangat menepati konsep novel fantasi Melayu yang PTS ingin terbitkan.

Di samping itu, saya juga mendapati tulisan saudara sangat berkualiti dari segi bahasa dan jalan cerita.

Proposal saudara diluluskan. PTS menanti manuskrip penuh Kembara Lang Surya untuk proses selanjutnya.

Sekian, terima kasih."



Alhamdulillah syukur..
ps: Nantikan bahagian ke II daripada Bab 2 KLS selewat-lewatnya esok!

www.tips-fb.com

Godaan KLS: Bab 2 (bhgn. I)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Tanjung Jinggasura, satu daerah yang terletak di selatan Kota Indera Sura, tempat di mana kau boleh melihat sawah padi menguningkan saujana mata, dan mendengar kicau irama seribu mergasatwa lunak mengulit telinga. Langitnya sentiasa cerah nilakandi, seolah-olah menjadi senyuman tertinggi yang memayung segala kehidupan yang berteduh kasih di bawahnya. Hembusan udaranya sentiasa berbahasa manja denganmu. Biarkanlah ia membelai setiap urat rambutmu dan menyapu lembut seluruh wajahmu, pasti kau berasa nyaman dan segar.

Di sana kau boleh berlari dari timur ke barat sepuas hatimu tanpa dihalang oleh bongkah-bongkah gunung atau urat-urat sungai. Hanya batas-batas bendang yang perlu kau langkahi, agar larianmu tidak tersadung lalu tersungkur menyembah lumpur.

Sama seperti masyarakat yang berasal dari wilayah Indera Sura yang lain, mereka juga dikenali sebagai Rang Sura yang dikenali kerana keindahan budi dan ketinggian bahasa. Kau pasti mendapati kebanyakan anak-anak muda di wilayah ini bertutur dalam dialek Indera-lingga, bahasa yang menjadi perantaraan utama di seluruh jajahan Indera Wangsa. Sebaliknya warga tua lebih gemar bertutur dalam bicara lidah mereka, Sura-lingga, yang hanya dituturkan oleh Rang Sura.

Mereka terlalu cintakan bumi, satu nikmat Tuhan yang tidak mungkin pernah mereka lupakan, dan kerana itu mereka berbakti seluruh hati padanya. Bagi mereka, tanah di Indera Sura terlalu subur untuk mereka biarkan menjadi hutan, juga terlalu luas untuk mereka biarkan binatang buas bermaharajalela.

Walaupun Tanjung Jinggasura dikepung oleh air laut yang membiru, kecuali di utara yang bersempadan dengan Kota Indera Sura, hanya segelintir penduduknya yang terlibat dalam aktiviti perikanan. Kau boleh melihat sawah-sawah mereka yang terbentang dari tolehan kanan ke kiri. Itulah yang menjadi jawaban kepadamu betapa rajinnya mereka bergelumang dengan peluh tanpa menghiraukan kotor selut, kerana kotor selut itulah yang memberikan mereka biji-biji emas di setiap akhir musim.

Kepulangan Anggrik Pagi bukan bererti berundur, bukan juga bermakna berhenti berharap. Dia pulang bersama Melur Puteh yang menjadi inang pengasuh anaknya, menjauhi palit-palit hitam di ibu kota Indera Wangsa seraya mendekati kampung halamannya di Tanjung Jinggasura.

Daerah itu mengajar Lang Surya berjalan, berlari dan melompat seperti kijang keluar belukar. Seandainya kau mencari di seluruh Tanjung Jinggasura, tanah mana yang tidak pernah dijejak oleh Lang Surya, pasti kau tidak ketemu.

Anggrik Pagi membesarkan Lang Surya dengan penuh rasa kasih, tumpah rasa sayang. Kepada anaknya diturunkan segala ilmu di dada, kerana ilmu itu adalah pelita hidup yang bakal menerangi jalan-jalan gelap menuju titik mati. Dia mengajar Lang Surya mengenal huruf supaya bacaannya lancar tidak gagap, juga membilang angka agar kiraannya tepat tidak menyimpang.

Bagi Anggrik Pagi, Lang Surya adalah segalanya.

“Lekas pulang, ya!” Anggrik Pagi sempat melaungkan pesan untuk anaknya dan juga Melur Puteh. Dia melihat kedua mereka semakin menjauh dan mengecil di hujung jalan, melambai balas kepada laungannya.

Ini bukan kali pertama Lang Surya dan Melur Puteh ke pinggir hutan mencari pucuk ubi dan paku pakis liar, sudah berkali-kali hingga tidak terhitung. Namun hati Anggrik Pagi tetap terdetik keresahan seorang ibu terhadap keselamatan anaknya. Dia hanya dapat berdoa, agar Tuhan sentiasa melindungi mereka daripada sebarang kecelakaan.

Lang Surya membuntuti Melur Puteh sambil menggenggam kelingking pengasuhnya. Mereka semakin menjauhi kawasan kampung, namun kian menghampiri pinggir hutan yang tidak terbela.

Lang Surya tampak ceria, langkahnya sedikit terlonjak, sedikit menginjak. Sejumlah batu di dalam saku seluarnya berdencing rimas, seakan resah menanti saat lepas yang pasti datang. Lastik yang tergantung di leher turut terlambung dibuai rentak langkah keanakannya. Begitu juga tangan Melur Puteh yang memimpin, turut terhayun mesra.

Mereka tiba di satu lembah kecil yang menjadi sempadan antara hutan dan belukar. Kehijauan paku pakis menjadi warna di sekitar kawasan itu, membuatkan Melur Puteh menyimpul senyum dari bibir ke hati. Sejenak dia seakan terpaku melihat rezeki yang melata di pandangan. Anggrik Pagi pasti gembira melihat kutipannya kelak.

Lang Surya mula mengorak langkah, senyap dan teratur bagai kucing menghendap tikus. Ternyata kesabaran mula menipis di dada, dan secara spontan lastik yang sedari tadi terkalung kini erat di genggaman. Dia bagai berada di dunianya sendiri.

“Jangan jauh-jauh ya,” nasihat Melur Puteh sejurus melihat perubahan kelakuan Lang Surya. Lang Surya menoleh sebentar, kemudian membalas dengan anggukan, diikuti dengan isyarat supaya Melur Puteh tidak membuat bising. Isyarat itu mencuit hati lalu menghadirkan rekahan senyum di bibir Melur Puteh.

Lang Surya merendahkan tubuh, tenggelam dalam rimbunan dedaun belukar sambil meliarkan mata mencari sasaran. Nyanyian unggas liar berlagu dari semua arah, namun ianya tidak dapat mengelirukan perhatian Lang Surya yang tertumpu pada suatu bunyi. Dia bergerak ke hadapan mendekati sumber bunyi itu, tubuhnya masih merendah.

Melur Puteh tidak perasaan, Lang Surya juga tidak sedar. Langkah demi langkah yang dicipta telah menjauhkan jarak antara mereka berdua. Melur Puteh dilamun asyik memetik pucuk pakis ketika Lang Surya semakin dalam ditelan hutan. Tanpa diketahui, sesuatu sedang memisahkan mereka berdua.

“Apa yang kaucari?”

Suara itu menyentak tumpuan Lang Surya, serentak dia menoleh dan berundur terkejut. Seorang gadis dalam lingkungan usianya sedang memerhati sambil menanti buah jawab dari lidahnya.

“Siapa kau?” soal Lang Surya cuba memadamkan gentar yang menyimbah.

“Aku adalah temanmu,” balas gadis itu ringkas. Raut wajahnya bersih dan comel. Dia mengenakan sepasang kurung, juga kelubung batik yang meliputi separuh kepalanya.

“Aku tidak pernah mengenalimu. Bagaimana mungkin kita berteman,” ujar Lang Surya seraya membetulkan kedudukannya. Dia mencapai lastik yang terlepas dari genggaman saat disergah suara gadis itu.

“Salahkah aku menjadi temanmu?”

Lang Surya tidak menjawab, membiarkan soalan itu berlalu dalam hening rimba. Kini dia menyedari, dia telah terpisah dari Melur Puteh. Jauh.


www.tips-fb.com

Godaan KLS: Bab 1 (bhgn. II)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Sememangnya dia pernah menjadi kekasih raja. Namanya terlalu tinggi terjulang kerana jasa dan bakti yang dicurah. Namun, atas nama itu juga dia dibenci oleh raja.

Kau harus tahu, pembesar-pembesar istana yang cemburu telah menjalankan satu konspirasi memfitnah Lang Merah. Dakwa mereka, Lang Merah mahukan kedudukan yang lebih tinggi dalam istana, dan sedang merancang menggulingkan raja dari singgahsana. Pasti sahaja Lang Merah disokong oleh rakyat jelata kerana namanya telah menjadi buah di hati mereka.

Raja yang mendengar omongan itu pada mulanya mengambil sikap berdiam diri. Namun pabila melihat populariti Lang Merah di kalangan rakyat meningkat dari hari ke hari, hati baginda menjadi resah diusik gundah. Lalu baginda mencipta helah, menitahkan Lang Merah mendapatkan kembali cokmar diraja yang dilarikan oleh seekor gergasi ke dalam Hutan Jardi sewaktu pemerintahan nendanya.

Ditakdirkan Tuhan helah raja menjadi, namun tetap ada suara-suara rakyat yang sumbang terlontar ke telinga baginda. Siapa yang tidak tahu, Hutan Jardi itu tersangat luas kawasannya. Seandainya dikau menelusuri denai-denai usang di dalamnya, pasti kau tidak akan pernah bertemu siang, kerana gelap sentiasa bertahkta. Udaranya selalu dingin persis salju, mengikat mati urat-uratmu hingga ke tulang. Didiami pula oleh buas binatang segala rupa yang belum pernah kau temui.

Lang Merah adalah hamba yang setia kepada rajanya, dan titah baginda dijunjung dengan penuh rasa tanggungjawab tanpa sebarang syak wasangka. Setelah lengkap persiapan, dia pun berangkat ke Hutan Jardi sewaktu embun sedang giat menjahit bumi, meninggalkan isteri kesayangan yang sedang bunting sulung empat purnama. Dan pemergiannya tidak pernah pulang. Tidak pernah pulang.

Sejak itu Anggrik Pagi menjadi penanti yang setia kepada satu kepulangan, turut meneman diri adalah anak kecil yang semakin membesar di dalam perutnya. Setelah genap bulan dan hari, dia pun melahirkan seorang anak lelaki yang comel dan sempurna. Tatkala itu bulan terang benderang menyuluh dari tengah tirai malam, lantas bintang-bintang menari gemalai mengikut irama langit, dan tangisan si bayi menjadi lagu terindah karangan inderaloka.

Syukur. Itulah yang lahir dari lidah Anggrik Pagi tika pertama kali melihat zuriatnya, lalu dipeluk dan dicium berulang kali sebelum intan tersayang jatuh lena ke dalam pangkuan. Anak itu adalah cahaya dan matanya. Namun sayang seribu kasih, suami tercinta tiada di sisi.

Anggrik Pagi berpegang janji seputus nafas terakhir pada Lang Merah, jika mereka dikurniakan anak lelaki, menjadi tugas Lang Merah menamakan anak itu. Jesteru dia membiarkan anaknya tidak bernama buat seketika, kerana firasatnya kuat mengatakan bahawa suaminya masih hidup, dan dia pasti Lang Merah akan pulang bila tiba waktunya. Namun begitu dia tahu, kepastiannya adalah satu harapan yang tidak pasti.

Sehinggalah pada satu malam, Lang Merah muncul dalam mimpinya seraya membisikkan nama 'Lang Surya' berulang kali. Kemudian Lang Merah perlahan-lahan hilang dari sisinya, namun nama Lang Surya terus bergema di setiap penjuru dimensi, memukul gegendang telinga hingga retak berkecai cermin mimpi. Terus dia bingkas daripada lena, mendakap anak kecilnya dengan jujuran air mata sejernih rindu. Ditenung wajah anaknya sedalam mungkin, dan dia turut menyebut nama Lang Surya berulang kali.

Dan ketahuilah olehmu, nama inilah yang meniti di setiap bibir penghuni Indera Wangsa hingga ke akhir hayat, jika tidak ke akhir zaman sekali pun. Percayalah bicaraku!

www.tips-fb.com