Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan KLS: Bab 1 (bhgn. II)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Sememangnya dia pernah menjadi kekasih raja. Namanya terlalu tinggi terjulang kerana jasa dan bakti yang dicurah. Namun, atas nama itu juga dia dibenci oleh raja.

Kau harus tahu, pembesar-pembesar istana yang cemburu telah menjalankan satu konspirasi memfitnah Lang Merah. Dakwa mereka, Lang Merah mahukan kedudukan yang lebih tinggi dalam istana, dan sedang merancang menggulingkan raja dari singgahsana. Pasti sahaja Lang Merah disokong oleh rakyat jelata kerana namanya telah menjadi buah di hati mereka.

Raja yang mendengar omongan itu pada mulanya mengambil sikap berdiam diri. Namun pabila melihat populariti Lang Merah di kalangan rakyat meningkat dari hari ke hari, hati baginda menjadi resah diusik gundah. Lalu baginda mencipta helah, menitahkan Lang Merah mendapatkan kembali cokmar diraja yang dilarikan oleh seekor gergasi ke dalam Hutan Jardi sewaktu pemerintahan nendanya.

Ditakdirkan Tuhan helah raja menjadi, namun tetap ada suara-suara rakyat yang sumbang terlontar ke telinga baginda. Siapa yang tidak tahu, Hutan Jardi itu tersangat luas kawasannya. Seandainya dikau menelusuri denai-denai usang di dalamnya, pasti kau tidak akan pernah bertemu siang, kerana gelap sentiasa bertahkta. Udaranya selalu dingin persis salju, mengikat mati urat-uratmu hingga ke tulang. Didiami pula oleh buas binatang segala rupa yang belum pernah kau temui.

Lang Merah adalah hamba yang setia kepada rajanya, dan titah baginda dijunjung dengan penuh rasa tanggungjawab tanpa sebarang syak wasangka. Setelah lengkap persiapan, dia pun berangkat ke Hutan Jardi sewaktu embun sedang giat menjahit bumi, meninggalkan isteri kesayangan yang sedang bunting sulung empat purnama. Dan pemergiannya tidak pernah pulang. Tidak pernah pulang.

Sejak itu Anggrik Pagi menjadi penanti yang setia kepada satu kepulangan, turut meneman diri adalah anak kecil yang semakin membesar di dalam perutnya. Setelah genap bulan dan hari, dia pun melahirkan seorang anak lelaki yang comel dan sempurna. Tatkala itu bulan terang benderang menyuluh dari tengah tirai malam, lantas bintang-bintang menari gemalai mengikut irama langit, dan tangisan si bayi menjadi lagu terindah karangan inderaloka.

Syukur. Itulah yang lahir dari lidah Anggrik Pagi tika pertama kali melihat zuriatnya, lalu dipeluk dan dicium berulang kali sebelum intan tersayang jatuh lena ke dalam pangkuan. Anak itu adalah cahaya dan matanya. Namun sayang seribu kasih, suami tercinta tiada di sisi.

Anggrik Pagi berpegang janji seputus nafas terakhir pada Lang Merah, jika mereka dikurniakan anak lelaki, menjadi tugas Lang Merah menamakan anak itu. Jesteru dia membiarkan anaknya tidak bernama buat seketika, kerana firasatnya kuat mengatakan bahawa suaminya masih hidup, dan dia pasti Lang Merah akan pulang bila tiba waktunya. Namun begitu dia tahu, kepastiannya adalah satu harapan yang tidak pasti.

Sehinggalah pada satu malam, Lang Merah muncul dalam mimpinya seraya membisikkan nama 'Lang Surya' berulang kali. Kemudian Lang Merah perlahan-lahan hilang dari sisinya, namun nama Lang Surya terus bergema di setiap penjuru dimensi, memukul gegendang telinga hingga retak berkecai cermin mimpi. Terus dia bingkas daripada lena, mendakap anak kecilnya dengan jujuran air mata sejernih rindu. Ditenung wajah anaknya sedalam mungkin, dan dia turut menyebut nama Lang Surya berulang kali.

Dan ketahuilah olehmu, nama inilah yang meniti di setiap bibir penghuni Indera Wangsa hingga ke akhir hayat, jika tidak ke akhir zaman sekali pun. Percayalah bicaraku!

www.tips-fb.com

1 comments:

On 7 Mei 2009 3:39 PTG , k0m4nd3r berkata...

Anda telah di tag!