Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan KLS: Bab 2 (bhgn. I)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Tanjung Jinggasura, satu daerah yang terletak di selatan Kota Indera Sura, tempat di mana kau boleh melihat sawah padi menguningkan saujana mata, dan mendengar kicau irama seribu mergasatwa lunak mengulit telinga. Langitnya sentiasa cerah nilakandi, seolah-olah menjadi senyuman tertinggi yang memayung segala kehidupan yang berteduh kasih di bawahnya. Hembusan udaranya sentiasa berbahasa manja denganmu. Biarkanlah ia membelai setiap urat rambutmu dan menyapu lembut seluruh wajahmu, pasti kau berasa nyaman dan segar.

Di sana kau boleh berlari dari timur ke barat sepuas hatimu tanpa dihalang oleh bongkah-bongkah gunung atau urat-urat sungai. Hanya batas-batas bendang yang perlu kau langkahi, agar larianmu tidak tersadung lalu tersungkur menyembah lumpur.

Sama seperti masyarakat yang berasal dari wilayah Indera Sura yang lain, mereka juga dikenali sebagai Rang Sura yang dikenali kerana keindahan budi dan ketinggian bahasa. Kau pasti mendapati kebanyakan anak-anak muda di wilayah ini bertutur dalam dialek Indera-lingga, bahasa yang menjadi perantaraan utama di seluruh jajahan Indera Wangsa. Sebaliknya warga tua lebih gemar bertutur dalam bicara lidah mereka, Sura-lingga, yang hanya dituturkan oleh Rang Sura.

Mereka terlalu cintakan bumi, satu nikmat Tuhan yang tidak mungkin pernah mereka lupakan, dan kerana itu mereka berbakti seluruh hati padanya. Bagi mereka, tanah di Indera Sura terlalu subur untuk mereka biarkan menjadi hutan, juga terlalu luas untuk mereka biarkan binatang buas bermaharajalela.

Walaupun Tanjung Jinggasura dikepung oleh air laut yang membiru, kecuali di utara yang bersempadan dengan Kota Indera Sura, hanya segelintir penduduknya yang terlibat dalam aktiviti perikanan. Kau boleh melihat sawah-sawah mereka yang terbentang dari tolehan kanan ke kiri. Itulah yang menjadi jawaban kepadamu betapa rajinnya mereka bergelumang dengan peluh tanpa menghiraukan kotor selut, kerana kotor selut itulah yang memberikan mereka biji-biji emas di setiap akhir musim.

Kepulangan Anggrik Pagi bukan bererti berundur, bukan juga bermakna berhenti berharap. Dia pulang bersama Melur Puteh yang menjadi inang pengasuh anaknya, menjauhi palit-palit hitam di ibu kota Indera Wangsa seraya mendekati kampung halamannya di Tanjung Jinggasura.

Daerah itu mengajar Lang Surya berjalan, berlari dan melompat seperti kijang keluar belukar. Seandainya kau mencari di seluruh Tanjung Jinggasura, tanah mana yang tidak pernah dijejak oleh Lang Surya, pasti kau tidak ketemu.

Anggrik Pagi membesarkan Lang Surya dengan penuh rasa kasih, tumpah rasa sayang. Kepada anaknya diturunkan segala ilmu di dada, kerana ilmu itu adalah pelita hidup yang bakal menerangi jalan-jalan gelap menuju titik mati. Dia mengajar Lang Surya mengenal huruf supaya bacaannya lancar tidak gagap, juga membilang angka agar kiraannya tepat tidak menyimpang.

Bagi Anggrik Pagi, Lang Surya adalah segalanya.

“Lekas pulang, ya!” Anggrik Pagi sempat melaungkan pesan untuk anaknya dan juga Melur Puteh. Dia melihat kedua mereka semakin menjauh dan mengecil di hujung jalan, melambai balas kepada laungannya.

Ini bukan kali pertama Lang Surya dan Melur Puteh ke pinggir hutan mencari pucuk ubi dan paku pakis liar, sudah berkali-kali hingga tidak terhitung. Namun hati Anggrik Pagi tetap terdetik keresahan seorang ibu terhadap keselamatan anaknya. Dia hanya dapat berdoa, agar Tuhan sentiasa melindungi mereka daripada sebarang kecelakaan.

Lang Surya membuntuti Melur Puteh sambil menggenggam kelingking pengasuhnya. Mereka semakin menjauhi kawasan kampung, namun kian menghampiri pinggir hutan yang tidak terbela.

Lang Surya tampak ceria, langkahnya sedikit terlonjak, sedikit menginjak. Sejumlah batu di dalam saku seluarnya berdencing rimas, seakan resah menanti saat lepas yang pasti datang. Lastik yang tergantung di leher turut terlambung dibuai rentak langkah keanakannya. Begitu juga tangan Melur Puteh yang memimpin, turut terhayun mesra.

Mereka tiba di satu lembah kecil yang menjadi sempadan antara hutan dan belukar. Kehijauan paku pakis menjadi warna di sekitar kawasan itu, membuatkan Melur Puteh menyimpul senyum dari bibir ke hati. Sejenak dia seakan terpaku melihat rezeki yang melata di pandangan. Anggrik Pagi pasti gembira melihat kutipannya kelak.

Lang Surya mula mengorak langkah, senyap dan teratur bagai kucing menghendap tikus. Ternyata kesabaran mula menipis di dada, dan secara spontan lastik yang sedari tadi terkalung kini erat di genggaman. Dia bagai berada di dunianya sendiri.

“Jangan jauh-jauh ya,” nasihat Melur Puteh sejurus melihat perubahan kelakuan Lang Surya. Lang Surya menoleh sebentar, kemudian membalas dengan anggukan, diikuti dengan isyarat supaya Melur Puteh tidak membuat bising. Isyarat itu mencuit hati lalu menghadirkan rekahan senyum di bibir Melur Puteh.

Lang Surya merendahkan tubuh, tenggelam dalam rimbunan dedaun belukar sambil meliarkan mata mencari sasaran. Nyanyian unggas liar berlagu dari semua arah, namun ianya tidak dapat mengelirukan perhatian Lang Surya yang tertumpu pada suatu bunyi. Dia bergerak ke hadapan mendekati sumber bunyi itu, tubuhnya masih merendah.

Melur Puteh tidak perasaan, Lang Surya juga tidak sedar. Langkah demi langkah yang dicipta telah menjauhkan jarak antara mereka berdua. Melur Puteh dilamun asyik memetik pucuk pakis ketika Lang Surya semakin dalam ditelan hutan. Tanpa diketahui, sesuatu sedang memisahkan mereka berdua.

“Apa yang kaucari?”

Suara itu menyentak tumpuan Lang Surya, serentak dia menoleh dan berundur terkejut. Seorang gadis dalam lingkungan usianya sedang memerhati sambil menanti buah jawab dari lidahnya.

“Siapa kau?” soal Lang Surya cuba memadamkan gentar yang menyimbah.

“Aku adalah temanmu,” balas gadis itu ringkas. Raut wajahnya bersih dan comel. Dia mengenakan sepasang kurung, juga kelubung batik yang meliputi separuh kepalanya.

“Aku tidak pernah mengenalimu. Bagaimana mungkin kita berteman,” ujar Lang Surya seraya membetulkan kedudukannya. Dia mencapai lastik yang terlepas dari genggaman saat disergah suara gadis itu.

“Salahkah aku menjadi temanmu?”

Lang Surya tidak menjawab, membiarkan soalan itu berlalu dalam hening rimba. Kini dia menyedari, dia telah terpisah dari Melur Puteh. Jauh.


www.tips-fb.com

1 comments:

On 11 Mei 2009 12:42 PTG , k0m4nd3r berkata...

aku xsuke tul bace citer separuh2 nih.. hohoho