Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan KLS: Bab 2 (bhgn. III)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Lang Surya melihat sekitarnya dan dia seakan mengenali kawasan itu. Ya, mereka berjalan dan berjalan, hanya untuk kembali ke titik asal – tempat pertemuan mereka berdua! Rasa musykil melingkar membuatkan dia ingin bertanya, namun dia memadamkan hasrat. Seandainya gadis itu menjawab sekali pun, amat sukar bagi dipercayai.

“Pokok itu...” kata gadis itu seraya menuding sebatang pokok yang besar dan tinggi. “...di atasnya terdapat seekor anak helang. Aku mahu kau melastiknya.”

Lang Surya mendongak memerhati pokok yang dimaksudkan. Pokok itu besar, batangnya tujuh pemeluk barangkali. Banirnya juga tinggi, dan pucuknya sayup terjulang. Dia cuba mencari anak helang tersebut, namun dalam keadaan yang semakin gelap, pencariannya tampak sukar.

“Aku tidak melihat seekor anak helang pun di pohon itu.”

“Ada. Lihat betul-betul.”

Benar, di satu dahan pohon itu terdapat seekor anak helang yang baru tumbuh sayap sedang berkira-kira melompat terbang ke angkasa. Anak helang itu kelihatan seperti teragak-agak, takut jika tidak berupaya terbang tinggi seperti ibunya. Sesekali dia bertempik bagai mahu menghalau rasa takutnya, kuat dan nyaring.

“Aku melihatnya,” ujar Lang Surya apabila anak helang itu berada dalam penglihatannya. Dia menyeluk lalu menarik seketul batu dari dalam sakunya tanpa melepaskan pandangan pada anak helang itu.

“Seandainya kaubisa melastik jatuh anak helang itu, aku akan menunjukkan jalan pulangmu,” bicara gadis itu menyatakan syaratnya.

“Seandainya tidak?”

“Kau harus menerimaku sebagai temanmu.”

Lang Surya menoleh, melepaskan anak helang dari pandangan. Terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena pada syarat yang dikemukakan.

“Apakah syaratku itu berat buatmu?” soal gadis itu setelah melihat Lang Surya mengikat lidah.

“Tidak.”

“Fikirkan. Kedua-dua natijah tidak membawamu kepada kerugian, biar pun lastikanmu tidak mengena...”

“Bidikanku tidak pernah tersasar,” potong Lang Surya. “Kau akan menunjukkan jalan pulangku. Itu yang aku tahu.”

Si gadis tampak teruja. Dia tahu Lang Surya bukan bercakap besar, tetapi ianya adalah keyakinan yang lahir dalam diri seorang pemenang. Adalah pantang bagi seorang lelaki menimbang hal kekalahan dalam apa jua bentuk pertarungan. Lebih-lebih lagi pertarungan yang belum bermula.

“Janjiku milik kemenanganmu, dan kekalahanmu membawa janjimu kepadaku. Silakan,” balas si gadis membuka cabaran.

Lang Surya mengalih kembali pandangan ke dahan pohon. Anak helang masih di situ, masih teragak-agak bagi mengembangkan sayapnya. Tanpa menoleh dia bersuara, “Aku punya berapa lastikan?”

“Hanya satu,” sahut si gadis pendek.

Lang Surya menadah jawaban itu tanpa emosi seraya memasak langkah. Batu sudah berada di pelapik sebagai peluru. Dia mengangkat lastiknya lurus ke hadapan, lalu membuka sudut sasar agar selaras dengan si anak helang. Nafas dihela, pelapik ditarik, dan anak helang diacu. Dalam suasana hutan yang semakin kelam, anak helang itu masih terang dalam ruang lihat matanya.

Pelapik dilepaskan...


www.tips-fb.com