Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan KLS - Bab 3 (bhgn II)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Singa Tama meluncur ke hadapan bagai tiada berjejak biarpun timbunan salju menenggelamkan betisnya. Dalam posisi menyerang itu, dia kelihatan lebih bertenaga, menyanggahi deruan nafasnya yang beritma songsang sebentar tadi.

Di sudut yang bertentangan Rimau Seru tidak sedikit pun berganjak, melihat dan menanti serangan gurunya dengan pasakan kekuda yang teguh. Matanya meruncing, mencari titik lemah yang mungkin terdedah tanpa disedari gurunya. Sejurus dia menjulang pedangnya, bersedia untuk bertahan, bersiaga untuk melawan.

Hanya beberapa langkah dari Rimau Seru, Singa Tama melompat tinggi sebelum melepaskan tetakan, menggerhanakan mentari yang tersedia sumbing di belakangnya. Rimau Seru membaca pergerakan gurunya dengan senyuman di hati. Dia sudah mengagak Singa Tama pasti melakukannya, dan dia sudah bersedia untuk itu.

Rimau Seru menggulingkan badan pantas ke hadapan, kemudian bingkas lalu menghayun pedangnya pada belakang Singa Tama. Namun Singa Tama juga sudah menjangka tindak balas muridnya, ternyata dia bukanlah jagung semusim yang canggung beraksi bersama pedang. Sebelum berjejak kaki ke bumi, dia memalingkan badan seraya menangkis libasan Rimau Seru, sepantas itu juga melepaskan tendangan layang ke rusuk kiri muridnya itu.

Rimau Seru rebah ke sisi dan pedangnya terlepas dari genggaman. Dia ingin bingkas kembali mencapai senjata, namun Singa Tama terlebih dahulu menghunus pedang ke dadanya, sekali gus membantutkan niat mematikan gerak. Senyuman kini beralih bibir menjadi milik Singa Tama.

“Sepuluh musim lalu, seharusnya kau tidak kuberikan peluang untuk terus hidup,” bicara Singa Tama seraya menusuk pedangnya ke bahu Rimau Seru.

Rimau Seru mengancing gigi, menahan kesakitan yang melingkari tubuhnya, dan saat gurunya menarik kembali tusukan pedang, sakit yang terempang dilepaskan bersama raungan keras bersalut kepedihan.

“Sakit, bukan?” ujar Singa Tama dengan nada sinis. Wajahnya gagal mencerminkan sebarang bentuk perasaan.

Rimau Seru menekup luka yang membuakkan darah hangat, mengalir ke lengan sebelum meresap dan menukarkan warna salju di bawah perbaringannya. Dia menyorot wajah Singa Tama bersama gumpalan geram yang terbuku di hati. Sungguh, kejantanannya kini benar-benar tercabar dan dicabar.

“Kau terlalu yakin, dan memandang rendah keupayaan lawanmu. Itu adalah kelemahanmu yang nyata,” ujar Singa Tama lagi. Pedangnya masih terhunus ke dada Rimau Seru.

Rimau Seru melihat peluang yang terhidang, gurunya sedang leka dengan kemenangan yang belum mutlak. Sepantas kilat dia menendang pergelangan gurunya hingga terlucut pedang dari genggaman, diikuti tendangan kedua yang merebahkan Singa Tama, yang masih nanar dipeluk rasa kejut akibat tendangan pertama.

Tanpa menunggu lama, Rimau Seru berganjak pantas menerpa pedang gurunya. Biar pun luka masih berbisa di bahu, masih tetap digagahi segenap kudrat bagi menongkat diri, sambil menyaksikan gurunya bangkit bersama pedang miliknya.

Pedang bertukar milik, kemenangan berundur dari Singa Tama.

“Yang terlalu yakin, dan yang memandang rendah keupayaan lawan adalah dirimu sendiri, wahai guru,” ujar Rimau Seru mengubah rentak debat. Dia sudah luka, dan dia harus lebih berwaspada agar langkahnya tidak tersadung lagi.

“Semangat juang yang ada dalam dirimu sememangnya sukar dicari, sayangnya tidak bertempat,” balas Singa Tama masih yakin. Matanya tidak melepaskan pedang miliknya yang kini digenggam Rimau Seru, dan Rimau Seru menyedari akan hal itu.

Pedang Luka.

Panjang bilahnya melebihi dua hasta dan melebar setengah jengkal di puncak lengkung sebelum menirus di hujung mata. Bahagian belakang matanya tumpul, selayaknya menjadi tulang yang menyokong bilah tersebut. Diperbuat daripada pamor yang ditempa tujuh lipatan, bilah Pedang Luka seakan berbelang, menjadi corak terindah yang bisa membuat kau berasa kagum melihatnya.

Hulunya kekar dan putih, diperbuat daripada gading gajah tunggal yang mati di hujung benua. Kau bisa dapati gagang pedang tersebut dipenuhi ukiran halus dan teliti, juga ukiran kepala harimau yang sedang mengaum. Indah, terlalu indah.

“Pedang Luka ini terasa begitu serasi denganku,” kata Rimau Seru seraya menghunus pedang itu ke hadapan, kemudian cuba menarikannya dengan tarian ringkas. Keasyikan bersama Pedang Luka telah memadamkan rasa bisa yang menggigit.

“Pedang Luka terlalu liar untuk kaujinakkan,” ujar Singa Tama cuba mencari helah.

“Biarkan, tidak perlu dijinakkan. Daku juga bertingkah liar,” balas Rimau Seru kemudiannya. Sejurus dia menjeling ke arah gurunya.

Singa Tama masih tegap berdiri, akalnya ligat mencari helah yang lain. Dia tahu Pedang Luka amat sebati jika digenggam oleh Rimau Seru. Bersemuka dengan kombinasi Rimau Seru-Pedang Luka bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik biar pun anak muridnya itu telah dilukai. Namun hal itu masih belum diketahui oleh Rimau Seru, dan dia perlu mendapatkan kembali Pedang Luka daripada Rimau Seru.

“Aku tahu prinsip yang menjadi peganganmu. Kau tidak akan menjalankan tugasmu selagi tidak beroleh sesuatu daripada mangsamu. Sekarang nyatakan kepadaku, apa yang kauperoleh daripadaku?” Singa Tama memulakan bicara helahnya.

“Kau adalah guruku, tentu sekali banyak yang kuperoleh daripadamu,” balas Rimau Seru ringkas. “Namun ada sesuatu yang benar-benar membuatkan daku beroleh sesuatu yang berharga daripadamu.”

“Nyatakan.”

“Jurus Melibas Salju.”

Wajah Singa Tama berubah mendadak, tidak percaya dengan apa yang didengar. Kewujudan Jurus Melibas Salju telah dirahsiakan daripada pengetahuan umum, masakan Rimau Seru bisa menghidunya.

“Bagaimana mungkin kau mengetahuinya?”

Reaksi gurunya telah dijangka, dan soalan itu menghadirkan rekahan senyum di bibir. Rimau Seru bertambah yakin, misinya pasti terlaksana.

“Setiap kali musim salju bertandang, daku mendapati guru sering mengurung diri di gelanggang latihan terutama pada hari-hari turunnya salji, dan ianya mengetuk pintu hairan di dadaku. Tambah memusykilkan apabila ditanya, guru menjawab ianya hanya latihan biasa, sedangkan kitab silat anutanmu sentiasa dibimbit keluar masuk ke gelanggang.

“Kemusykilan membawaku kepada satu penyiasatan, dan siasatan itu memimpinku kepada satu kesimpulan. Semua jurus yang termaktub dalam kitab itu telah guru ajarkan kepadaku, kecuali satu – Jurus Melibas Salju,” terang Rimau Seru secara ringkas menyambut persoalan gurunya.

“Jurus itu terlalu sukar untuk dikuasai,” celah Singa Tama spontan.

“Benar, kerana itu ianya tidak diajarkan kepadaku.”

“Ya.”

“Dan kerana itu juga guru masih belum menguasainya, bukan?” soal Rimau Seru dengan nada sinis memerli. Sejurus dia mengangkat Pedang Luka, meyambut sebutir salju yang turun dan mengawalnya agar terus terapung di awangan. Lagaknya bersahaja.

“Kau, masakan...”

“Ya, guru. Daku telah menguasainya,” potong Rimau Seru lalu melepaskan salju yang dikawal dengan Pedang Luka jatuh ke bumi. “Sukar mempercayainya?”

“Jika benar perkataanmu, tunjukkan ia kepadaku!”

Rimau Seru mengangguk, lalu memulakan rentak tari Jurus Melibas Salju, dan salji yang turun menderas pun jadi gemalai bagai terpukau dengan rentaknya. Singa Tama menyaksikan keindahan dan kesempurnaan rentak jurus itu dengan penuh rasa kagum.

“Aku tidak menyesal seandainya aku mati kerana jurus ini,” ujar Singa Tama seraya bersedia menerima sebarang serangan.

“Bersedialah, wahai guru!”

Perhatian Rimau Seru terfokus pada sebutir salju yang turun gemalai, kemudian dia memusingkan badannya seraya melibas Pedang Luka ke arah salju tersebut. Bagaikan peluru, butir salju itu meluncur deras ke arah Singa Tama.

Singa Tama melihat kehadiran salju itu dengan bintik-bintik cemas, mengelak ke sisi seraya menangkis serangan itu dengan pedang. Namun dia tidak menjangka, luncuran salju itu bisa mematahkan pedangnya. Kini dia kehilangan senjata, yang tinggal hanyalah perasaan cemas yang mencengkam.

“Terima kasih atas segala tunjuk ajarmu, wahai guru. Maafkan daku.”

Rimau Seru menarikan semula pedangnya, melibas salju-salju yang turun di kiri dan kanan berulang kali. Singa Tama sedar, serangan muridnya kini tidak mungkin dapat ditahan mahupun dielak. Dia hanya mampu melepaskan senyum terakhir, dan pasrah melihat butiran salju-salju merobek dadanya.



www.tips-fb.com

1 comments:

On 25 Mei 2009 12:57 PTG , k0m4nd3r berkata...

Inalillah.. isk isk isk.. terkesima hamba membaca cerita ni.. sambung.. sambung..