Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan KLS - Bab 4 (bhgn III)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Pasti kau tidak pernah mendengar tentang rewala, kerana rewala hanya tumbuh di sekitar Indera Wangsa dan juga Gurun Dalinggiri, tidak pernah tumbuh di negerimu. Namun, bagi memudahkan kau membayangkan bentuknya, izinkanlah aku melakarkan kepadamu serba ringkas gambaran tentang daun itu.

Rewala adalah tumbuhan liar berdaun hijau lurus panjang dan meruncing tajam di hujungnya. Sekali pandang, rumpun rewala seakan-akan rumpun serai, tetapi kau boleh membezakannya dengan menghidu dekat bau daunnya. Daun rewala berbau pudina, dan manis jika dikunyah. Tetapi jangan sesekali kautelan kunyahan rewala, pasti perutmu meragam seharian.

Setelah mencari buat beberapa ketika bertemankan suluhan cahaya kekunang dari dalam geluk, akhirnya Lang Surya bertemu dengan serumpun rewala. Hatinya melonjak girang, langkahnya deras mendapatkan rumpun rewala. Bila tiba di sisi rumpun, dia mencangkung lalu memilih beberapa helai daun rewala sebelum dipetik.

Tatkala dia asyik memetik, berpuluh-puluh pasang mata sedang memerhatikannya dari celah-celah dedaun belukar, berselindung di sebalik tirai gelap milik Sang Malam. Mereka semuanya bersenjata, melihat perlakuan Lang Surya dengan gumpalan geram di dada. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa, kecuali bersedia menerima arahan bertindak daripada ketua mereka.

Lang Surya tidak sedar akan hal itu. Dia seperti berada di dunianya sendiri, memilih dedaun rewala yang muda dan segar untuk dipetik.

“Hei, manusia!”

Sergahan itu membuatkan Lang Surya terkejut hingga terlepas daun-daun rewala yang telah dipetik dari tangannya. Lantas dia bingkas dan berpaling ke arahnya. Siapa pula yang menyergah kali ini?

“Siapa geranganmu yang berani merosakkan tumbuhan jagaan kami?”

Lang Surya terpinga-pinga. Dia tidak dapat mencari pemilik suara kecil tetapi nyaring dan lantang itu. Namun suara itu jelas, seperti terlalu dekat padanya. Dia mengacu-acukan geluk cahayanya ke semua arah, cuba menghalau kegelapan bagi mencari si pemiliknya.

“Aku di sini, wahai manusia!” Suara itu seperti bertempik, tetapi dalam kadar yang sederhana.

“Aku tidak melihatmu,” getus Lang Surya masih melilaukan mata.

Tiba-tiba seketul batu kecil meluncur deras menghentam betis kiri Lang Surya. Dia mengaduh kecil seraya melihat kakinya. Namun dalam cahaya yang samar-samar matanya segera menangkap satu lembaga kecil sedang berdiri mendongakkan wajah, hanya dua langkah memisahkan mereka. Lang Surya berundur setapak ditolak rasa kejut.

“Nah, sekarang kau melihat aku. Maka lontarkan jawabanmu,” bicara makluk kenit itu. Suaranya tegas, tiada getar gentar di dalamnya biar pun bertubuh kecil. Jika dibandingkan, saiz tubuh mereka bagai langit dengan bumi.

Lang Surya merendahkan diri bersama geluk cahayanya. Perlahan-lahan lantai hutan menjadi terang dan dia bisa melihat makhluk kenit itu dengan jelas. Ketinggian makhluk itu hanya sejengkal, separas betis Lang Surya. Kepalanya besar dan berambut kerinting. Hidungnya pesek dan berbibir tebal. Matanya bulat dan bertelinga besar.

“Siapa geranganmu, wahai kenit?” soal Lang Surya memberanikan diri.

“Manusia, akulah yang bertanya soalan itu terlebih dahulu,” balas makhluk kenit itu sambil bercekak pinggang. Mimik wajahnya terukir rasa geram yang ditahan-tahan. Dia ternyata tidak takut kepada lawannya yang jauh lebih besar. “Jadi kaulah yang patut memulangkan jawaban sebelum aku.”

“Aku Lang Surya, anak kepada Lang Merah,” balas Lang Surya mengalah. “Dan kau, wahai kenit?”

“Aku bergelar Gunung.”

“Gunung?” tanya Lang Surya sambil menahan tawa. Dia menyeluruhi tubuh Gunung yang kecil atas bawah.

“Apa yang melucukan hatimu?”

“Kerana namamu tidak mencerminkan saiz tubuhmu.”

“Kau mempermainkan namaku?”

“Tidak, tidak. Aku tidak bermaksud begitu,” ujar Lang Surya menyedari kata-katanya telah mengguris perasaan Gunung. “Kau bertubuh kecil, namun semangatmu menyamai ketinggian namamu.”

Gunung menghela nafas seraya mengangkat dada. Ternyata bicara Lang Surya mendatangkan senyum di bibirnya, lebar hingga ke telinga. Buat seketika dia bagai melayang diterbangkan pujian. Kemudian dengan pantas dia menggeleng-gelengkan kepalanya, tersentak oleh tugas yang sedang dipikul.

“Apa yang kau lakukan di sini?” soal Gunung lagi kembali bersuara lantang.

Lang Surya terdiam sejenak seraya melihat daun-daun rewala yang baru dipetik berselerak di lantai hutan. Kemudian dia menoleh kembali menatap wajah Gunung.

“Seseorang menyuruhku mendapatkan dedaun rewala bagi menyembuh seekor anak helang,” sahutnya lalu mengutip helaian rewala satu-persatu. Matanya sesekali menjeling mengawasi perlakuan Gunung.

“Tidak kira berapa ramai pun yang menyuruhmu, tiada alasan bagimu merosakkan tumbuhan atau mencederakan binatang di hutan ini selepas senja berlabuh,” bentak Gunung sambil bercekak pinggang.

“Lihat, aku tidak berniat jahat tika memetik dedaun rewala daripada rumpun ini. Aku langsung tidak tahu bahawa rumpun rewala ini bertuan. Aku hanya ingin menolong seekor anak helang yang sedang cedera kerana bidikan lastikku,” kata Lang Surya membela diri.

“Kau melastik anak helang?” tanya Gunung tambah terkejut.

“Ya,” balas Lang Surya ringkas tetapi lambat-lambat. Terkandung nada kesal di hujung getar. Keningnya terangkat tinggi separuh dahi.

“Jika begitu kau telah melakukan dua kesalahan,” bicara Gunung sambil menyuakan isyarat dua jari kepada Lang Surya.

“Sebentar, wahai Gunung,” ujar Lang Surya menyedari dirinya terperangkap dalam perdebatan itu.

“Dan kau mesti kubawa kepada dia. Biar dia yang menghakimimu dengan seberat-berat hukuman.”

“Siapakah dia yang kaumaksudkan?”

“Adakah kau akan menyerah diri?”

Soalan itu membuatkan Lang Surya terdiam memikirkan sesuatu. Fikirannya melayang terkenangkan ibunya, sebelum menyinggah pada Melur Puteh. Kesimpulannya dia harus segera pulang.

“Tidak. Aku perlu segera selesaikan tugasku kerana aku ingin pulang bertemu ibu,” sahutnya dengan nada rendah. Moga jawaban itu menghadirkan rasa belas dalam hati Gunung.

“Alasan tidak diterima,” kata Gunung seraya menggoyangkan jari telunjuknya dengan bibir yang dijuihkan, juga mata yang dikecilkan.

“Jika begitu, keinginanmu bagi menahanku juga tidak diterima,” balas Lang Surya tegas. Dia mula bosan kerana Gunung tidak mempertimbangkan sebarang tolak ansur.

“Keluar semua!” jerit Gunung dengan suara lantang dan bergema, membuatkan Lang Surya tersentak olehnya.

Sejurus Lang Surya bisa melihat daun-daun belukar di sekelilingnya bergerak dalam keadaan yang mencurigakan. Kemudian muncul berpuluh-puluh makhluk kenit mengepung kedudukannya. Mereka semua berfizikal kecil seperti Gunung, dan setiap mereka membawa sebatang sumpit buluh yang sedang siap berada di mulut mereka, hanya menanti arahan bagi dilepaskan ke arah dirinya.

“Menyerahlah, atau mereka semua akan menyumpitmu dengan jarum pelali,” seru Gunung seraya mengangkat sebelah tangannya sebagai isyarat kepada pengikutnya agar bersedia.

“Bertenang, wahai Gunung. Berikan aku sedikit waktu bagi menjelaskan situasiku,” rayu Lang Surya mengharapkan sebuah toleransi hadir di pihak Gunung. “Aku tidak akan bertindak kasar pada kalian.”

Tatkala itu, salah seorang daripada makhluk kenit yang mengepung Lang Surya berada dalam keadaan kantuk yang luar biasa. Sejak dalam persembunyian lagi dia telah menguap berpuluh kali menghalau seruan tidur yang berbisik. Kelopak matanya kian berat ditarik kantuk dan perlahan-lahan tertutup sepenuhnya. Hal itu menjadikan dirinya tidak stabil lalu tumbang ke sisi melanggar temannya yang sedang mengacukan sumpit ke arah Lang Surya. Temannya jadi terkejut dan secara tidak sengaja, jarum pelali pun terlepas dari mulut sumpit, meluncur ke leher Lang Surya.

Lang Surya mengaduh kecil seraya menekup lehernya. Ada jarum yang tercacak. Melihatkan keadaan itu, Gunung disimbah rasa marah kerana ada pengikutnya yang tidak menurut arahan. Matanya liar mencari gerangan yang melepaskan jarum pelali itu seraya menurunkan tangannya lalu bercekak pinggang.

Serentak dengan itu, jejarum pelali berterbangan dari semua sudut menuju ke sasaran, dan sasaran itu adalah Lang Surya.


www.tips-fb.com

Godaan KLS - Bab 4 (bhgn II)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Cubaan pertama itu adalah peluang terakhir untuk dirinya pulang bertemu ibu, kerana itu dia amat berharap agar batu yang dilepaskan sebagai peluru benar-benar menuju ke sasaran. Tiada cubaan kedua, maka peluang seterusnya pasti tidak mungkin muncul, dan adalah sesuatu yang sia-sia bagi memikirkannya. Tumpuannya hanya meruncing pada peluang yang satu, yang kini terletak pada batu bidikannya.

Detik-detik pelepasan begitu mencemaskan, begitu juga saat luncur ke sasaran. Terasa waktu seakan merangkak dalam diam, dan dia seperti bisa melihat perjalanan pelurunya dalam gerak perlahan, membelah udara yang semakin berat terkandung debu-debu gelap milik Sang Malam. Sungguh, detik-detik itu membuatkan dadanya terpalu kencang dari dalam.

“Kena!”

Lang Surya berteriak kesukaan meraikan kejayaannya seraya menoleh ke arah gadis kecil di belakangnya. Sayang sekali gadis kecil itu tiada dalam pandangan, hilang entah ke mana, yang tinggal hanyalah dia bertemankan misteri.

Ternyata gadis itu adalah pemilik seribu misteri menyebabkan riak gembira pada wajah berlalu meninggalkan dirinya termanggu menuntut hadiah daripada si pencabar. Tentu sekali tuntutannya adalah sia-sia. Dalam sedegup jantung dia jadi bingung dihurung tanda tanya.

Tempikan anak helang yang dilastik jatuh menyebabkan dia terpanggil simpati, lantas melupakan tanda tanya yang masih berlegar tentang gadis sebayanya. Pasti sahaja anak helang itu dalam sengsara menahan bisa peluru batu miliknya. Gesaan langkah diatur menuju ke arah tempikan dan dari jauh dia dapat melihat anak helang itu mengibas-ngibas sayapnya, menggelupur bagai menanti ajal.

Dalam kesamaran di bawah bebayang malam, dia menghidu bau darah yang segar tetapi hanyir, dan dia tahu luka anak helang itu dalam dan parah. Rasa belas dan sesal kian menebal membalut hati. Lalu dia mendekat, cuba mendapatkan mangsa yang semakin lemah di lantai hutan.

Perlahan-lahan dia mengangkat anak helang itu rapat ke dada lalu diperiksa luka pada pangkal sayap. Namun tanpa diduga si anak helang meronta terkejut lantas berbekalkan sisa-sisa kudrat yang ada, ia menggigit lengan Lang Surya, merobek daging dengan paruh tajamnya. Lang Surya menjerit mengaduh, dan anak helang itu terlepas dari dakapannya.

Lang Surya membelek lengannya. Hanya luka kecil tetapi pedihnya seperti berbisa.

“Aku hanya ingin menolongmu,” gumam Lang Surya seraya mengalihkan mata pada helang kecil itu. Dia mendekat lagi, ingin mendapatkan semula anak helang itu. “Kenapa aku pula yang kaugigit?”

“Kerana kau telah mencederakan dia terlebih dahulu.”

Suara garau yang rendah dan dalam tetapi jelas butirnya menyebabkan langkah Lang Surya terbunuh. Dia segera berpaling ke arah suara itu bersama dada yang terpukul dari dalam, sehingga dia sendiri bisa mendengarnya.

Seorang lelaki tua berjubah labuh dan lusuh sedang berdiri tidak jauh darinya, memerhati bersama sebatang tongkat sepunggur di tangan. Manakala sebelah tangan lagi melurut-lurut janggut putihnya yang panjang mencecah dada – mungkin ingin memberitahu tentang usianya yang lanjut. Lang Surya bisa menyeluruhi raut wajah lelaki itu dengan jelas kerana bulan menyuluh tegak di atas kepalanya. Hal itu segera memberitahu dirinya bahawa lelaki itu datang bersama sihir. Dia harus berwaspada.

Pandangan mereka bertaut. Sepasang mata pucuk tampak meruncing penuh curiga, manakala sepasang mata usang kelihatan tenang sesuai dengan ribuan peristiwa yang telah terakam.

“Bukankah begitu, wahat cucuku?” soal lelaki itu seraya menguntum senyum.

“Siapakah geranganmu, wahai lelaki?” tanya Lang Surya membalas. Retak-retak curiga di dalam hatinya semakin melebar. Namun paluan debar kian lemas dipeluk rasa berani.

“Hutan ini adalah daerahku, dan aku adalah penjaganya.”

Lang Surya tergamam. Baru sahaja sebentar tadi dia di datangi oleh seorang gadis kecil yang kemudiannya hilang dalam sekelip mata. Kini dia dipertemukan pula dengan seorang lelaki tua yang mendakwa dirinya adalah penjaga hutan itu. Sungguh, misteri demi misteri dalam hutan itu menyebabkan dia semakin keliru.

“Penunggu?” tanya Lang Surya teragak-agak.

Soalan itu membuahkan lucu di dalam dada, kemudian terburai menjadi tawa kecil di mulut lelaki si penjaga hutan.

“Aku bukan penunggu, wahai cucuku. Penunggu bersifat hitam luar dan dalam. Aku tidak termasuk dalam golongan itu, dan aku tidak pernah terfikir bagi menyertai mereka,” terang lelaki itu menafikan sangkaan Lang Surya.

“Jadi, khabarkan kepadaku namamu, agar daku bisa memanggilmu dengan panggilan yang sewajarnya,” bicara Lang Surya masih belum berpuas hati. Lelaki itu kembali menguntum senyum.

“Jasmanimu tidak memperlihatkan kematangan seperti yang terkandung dalam perkataanmu.”

“Maksudmu?”

“Cucuku masih mentah, tetapi bisa berbicara seperti orang dewasa.”

Lang Surya terdiam sejenak mendengar pujian daripada lelaki itu. Namun hatinya tersalut lapisan sangsi yang masih belum menipis. Dia tidak pasti sama ada pujian itu ikhlas atau merupakan satu perangkap untuknya. Justeru dia perlu senantiasa berwaspada.

“Terima kasih,” ujar Lang Surya seraya menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat. “Tetapi daku tidak memerlukan pujian daripadamu.”

“Baiklah, baiklah,” kata lelaki itu bersama dekahan kecil. Dia menapak beberapa langkah medekati Lang Surya seraya melurut-lurut janggutnya. Kemudian dia mematikan langkah, berdiri tegak seraya meluruskan pandangan, menyeluruhi wajah Lang Surya bersama riak wajah yang tenang dan damai. “Aku bergelar Musang Tunggal, dan aku adalah seorang pendita.”

Bicara lelaki pendita itu bergema ke segenap penjuru hutan.

Serentak dengan itu nafas hutan mula mendesah kalut, mengalir bersama kesejukan yang menggigit kulit juga mencengkam tulang. Lang Surya memerhatikan kejadian itu dalam kepingaan, tetapi dia tiada berganjak walau setapak. Kedua-dua kakinya bagai terpasak kukuh ke lantai hutan. Sempat juga dia menjeling senyuman milik Pendita Musang Tunggal, dan senyuman itu seolah-olah memberitahunya agar menghiraukan segenap rasa gundah yang terbang bersama pawana.

Tatkala itu juga, pohon-pohon yang berada di sekitar mereka mula menyisih ke sisi dan menyempadan, beratur rapat dalam satu formasi seperti pagar yang tidak berlubang. Begitu juga dahan-dahan, ranting-ranting dan daun-daun, perlahan-lahan bersulam antara satu sama lain membentuk atap yang melengkung, hingga tidak terlihat lagi senyuman purnama dan lirikan bintang-bintang.

Sejurus kemudian keluh kesah angin malam menjadi reda. Pada masa yang sama lengkungan atap mula bercahaya kekuningan, berkelip-kelip kerana lahir dari perut-perut kekunang, lantas menerangi ruang lapang di bawah mereka yang kini menempatkan Lang Surya dan juga Pendita Musang Tunggal.

Ketahuilah, wahai insan mulia. Lang Surya mendapati dirinya kini berada di dalam satu dewan kecil seperti gua, hanya sahaja dinding dan atapnya bukan daripada batuan keras, sebaliknya terdiri daripada batang-batang pepohon, juga dahan-dahan, ranting-ranting dan daun-daun.

Dia jadi kaget. Dia ditampar rasa uja.

Sungguh, sebelum senja berlabuh pada hari itu, dia tidak pernah menyaksikan walau sekelumit magis berlegar di ruang mata. Namun sedari senja, satu demi satu magis melintas di hadapannya. Dia kembali teringat pada gadis kecil yang mencabarnya, sekaligus hatinya tertanya-tanya ke mana gadis itu pergi dalam sekelip mata?

Pasti itu adalah satu muslihat bagi membawanya kepada Pendita Musang Tunggal, dan gadis kecil itu adalah umpannya!

“Wahai Sang Pendita, apa maksudmu membawa daku ke sini?” soal Lang Surya dengan sopan biarpun rasa sangsi bergolak di dalam dada. “Dan siapa anak gadis yang datang bertemuku sebentar tadi?”

Pendita Musang Tunggal tidak lekas menjawab, membiarkan waktu larut dalam keheningan suasana. Senyum masih dikuntum, janggut masih diurut.

“Seandainya kau bernyalakan curiga di kala ini, padamkanlah ia kerana tempat ini terlalu terang bagi syak bersembunyi di dalam gelap wasangka,” ujar Pendita Musang Tunggal cuba memujuk resah Lang Surya. “Gadis kecil itu adalah realiti dan khayalan mindamu.”

Lang Surya mengangkat kedua keningnya tanda kurang mengerti.

“Saat kau melihat kewujudannya, itu adalah khayalanmu. Namun saat dia hilang dari pandangan, realiti telah menjemputmu,” balas Pendita Musang Tunggal lagi.

“Daku kurang mengerti, wahai pendita.”

“Satu hari nanti, kau akan mengerti bicaraku,” jawab Pendita Musang Tunggal. Dia tidak mahu memberatkan fikiran muda Lang Surya dengan hal-hal yang tidak bisa terjangkau. “Mulai sekarang, di sini adalah rumahmu.”

Lang Surya tersentak. Serta-merta dia teringatkan ibunya di rumah, juga Melur Puteh yang terpisah. Pasti mereka sedang kalut melawan bimbang di hati. Mana mungkin dia bisa meninggalkan mereka dalam keadaan begitu. Rasa curiganya masih terus menyala.

“Maafkan daku, wahai pendita. Di sini bukan rumahku.”

“Jadi, di mana rumahmu?”

“Di satu kampung tidak jauh dari hutan ini, mengarah ke benam mentari.”

“Jika aku tidak membenarkan kaupulang?”

“Tolonglah, wahai pendita. Daku ingin pulang bertemu ibu dan Melur Puteh. Mereka pasti menanti kepulanganku,” rayu Lang Surya menagih belas.

“Benar, mereka sedang bertemankan walang kerana kehilanganmu, wahai cucuku. Tetapi, adakah kau mahu lari daripada kesalahan yang telah kaulakukan?” tanya Pendita Musang Tunggal seraya mengangkat kening separuh dahi, memperlihatkan garis-garis usia yang kasar terentang.

Lang Surya terdiam, mencedok ingatan tentang kesalahan yang dimaksudkan oleh Pendita Musang Tunggal. Lantas dia berpaling ke arah anak helang yang tidak lagi bergerak.

“Adakah kerana anak helang itu?” soalnya pantas.

“Ya. Kau telah melanggar adab di hutan ini dengan melastiknya hingga cedera,” sahut Pendita Musang Tunggal.

Lang Surya menghampiri anak helang itu lalu diangkat cermat dan perlahan. Ia masih bernadi, namun terlalu lemah.

“Dia masih hidup. Apa yang harus kulakukan?”

“Rawatlah ia. Semoga dia memaafkan kekhilafanmu.”

“Bagaimana?”

Pendita Musang Tunggal tersenyum lagi, dan senyum itu membuatkan rasa sangsi di dalam dada Lang Surya semakin menipis. Pendita itu kemudiannya mengeluarkan sebuah geluk lutsinar sebesar dua genggam, lalu dijulang mulutnya yang terbuka ke udara. Sejurus secara sepontan sekawan kekunang dari bumbung dewan terbang turun bagai ditarik masuk ke dalam geluk. Pendita Musang Tunggal kemudiannya menyumbat mulut geluk yang mula bercahaya itu dengan sebatang kayu yang bertindak seperti batang pemegang obor.

“Daun rewala. Kau harus keluar mencarinya sekarang, dan segera pulang sebelum ajal menjadi teman kepada si helang kecil,” bicara Pendita Musang Tunggal seraya menghulurkan batang pemegang geluk yang terang bercahaya kepada Lang Surya.

Lang Surya teragak-agak menerima pemberian itu.

“Daun rewala?” soal Lang Surya dalam nada rendah, seakan menyoal dirinya sendiri.

“Cucuku pasti mengenali akan daun itu, bukan?”

“Ya, tetapi mengapa mesti daun itu?”

“Lekas. Anak helang itu memerlukannya,” balas pendita itu tidak mengendahkan pertanyaan Lang Surya sambil menunjukkan jalan keluar dari dewan. Sebuah mulut pintu sedang ternganga antara celah dua batang pohon di satu penjuru dewan.

Lang Surya menatap sejenak wajah Pendita Musang Tunggal, mencari keyakinan dan kejujuran daripada lelaki itu. Dia sedar, dia tidak punya pilihan lain untuk kembali pulang, dan untuk kembali, dia mesti menunaikan segala perintah pendita itu. Dia harus menaruh seluruh kepercayaannya kepada sang pendita, dan wajah pendita itu berjaya membangkitkan rasa percayanya.

Lang Surya sempat menatap anak helang dalam dakapannya sebelum diberikan kepada Pendita Musang Tunggal untuk dijaga. Dia sempat berbisik dalam hati, ‘Bertahanlah menunggu saat pulangku.’ Kemudian dia berlari keluar dari dewan itu, bersama geluk cahaya yang dijulang, juga bayangan daun rewala di benak fikir.


www.tips-fb.com

Godaan KLS - Bab 4 (bhgn I)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


“Surya!”

Laungan itu bergema dari segenap penjuru hutan kala mentari semakin lesu menyimbah sinar di ufuk barat. Ada getar cemas di dalamnya, juga detak-detak khuatir yang terbalut. Sepasang kaki berlari ke sana ke mari, sepasang mata pula liar menjelajah ke setiap ceruk yang bisa dilewat sebelum malam berlabuh. Pucuk ubi dan pakis bukan lagi menjadi dambaan.

“Surya!”

Mentari kian rendah, seolah-olah tidak menghiraukan panggilan yang mula bergenang di hujung suara. Unggas malam semakin rancak berpesta seakan pertama kali mengangkat Puteri Purnama menjadi ratu. Udara malam mula mendingin, berbisik di celah-celah dedaun rimba, membawa berita dalam bahasa yang tidak difahami. Mereka bersatu memimpin Melur Puteh kepada sebuah kekecewaan.

Bait-bait langkah mula longlai kebuntuan, dan akhirnya berlutut tidak bermaya meratapi sebuah kehilangan. Air mata yang terempang kini berguling turun deras merentas pipi, namun hatinya terus cekal memanjatkan doa agar Tuhan menjelmakan kembali Lang Surya di hadapannya.

Tiada sangsi, dia menyayangi Lang Surya seperti anaknya sendiri biarpun dirinya tidak pernah bersuami, apatah lagi mempunyai seorang anak. Baginya Lang Surya terlalu istimewa, kerana itu dia tidak akan berpatah arang mencari anak itu. Gelap malam bukan penghalang, janjinya Lang Surya mesti ditemukan.

Bersama tekad di dada, Melur Puteh melangkah masuk ke dalam hutan, meninggalkan lembah kecil hunian ubi dan pakis liar di belakangnya. Destinasinya tidak menentu, sebentar ke timur, sebentar ke selatan, kemudian ke barat, juga ke utara. Ke mana sahaja yang boleh ditelusur asalkan Lang Surya bisa ditemukan kembali.

Tiba-tiba lariannya menjadi perlahan, lantas membeku apabila telinganya terdengar perbualan antara dua manusia. Suara mereka halus keanakan, namun dia tidak dapat menangkap butir-butir bicara mereka. Dia hanya dapat mengecam, salah satu daripada suara itu adalah milik Lang Surya. Melur Puteh yakin.

“Surya?”

Tiada balasan, bahkan perbualan mereka berterusan tanpa gangguan. Lantas dia menuju ke arah sumber suara yang berbicara. Semakin lama suara-suara itu semakin jelas, dan dia yakin bahawa dia kian hampir kepada Lang Surya. Namun begitu, dia menanam benih-benih curiga pada suara yang membalas bicara Lang Surya.

Dari celahan dedaun belukar yang diselak, dia melihat Lang Surya sedang berbicara dengan seorang gadis kecil. Secara spontan lidahnya menyeru nama Lang Surya berkali-kali, tetapi telinga Lang Surya seakan terpekak daripada mendengar laungannya. Dan dia tidak menunggu lama bagi mencari jalan keluar dari belukar itu ke arah Lang Surya.

“Mari ikut aku.”

Bicara gadis itu mematikan langkah Melur Puteh, lantas dia mengintai kedudukan Lang Surya dan gadis itu sekali lagi. Dia bisa melihat pepohon renek yang tumbuh rapat terbelah menjarak membentuk denai di hadapan si gadis, dan si gadis menelusuri denai itu tenang dan lancar tanpa mempamerkan sekelumit rasa teruja.

Pegun, Melur Puteh sebaliknya terpegun.

“Apa yang kautunggu?” soal gadis itu setelah melihat Lang Surya terpaku tidak mengekorinya. Gadis kecil itu kemudian mengangkat mata lurus menikam wajah Melur Puteh di belakang Lang Surya. Melur Puteh tersentak. Dia pasti gadis itu mengetahui kewujudannya di belukar itu, dan perkara itu tidak menyenangkan hatinya.

“Surya! Jangan ikut dia!” Melur Puteh menjerit cuba menegah Lang Surya daripada meneruskan langkah menurut bicara si gadis. Namun seperti juga sebelum itu, Lang Surya tidak mengendahkannya, seolah-olah dipukau oleh sesuatu daripada mendengar suaranya. Melur Puteh pasti sesuatu itu adalah milik si gadis yang melihatnya sebentar tadi.

“Surya! Jangan!”

Dia menegah lagi namun sia-sia. Hal itu membuatkan dia nekad meredah belukar tebal penuh duri yang menghalang dirinya bagi mendapatkan Lang Surya. Dia tidak peduli, biar hancur kulit ditusuk duri sekali pun, Lang Surya mesti diselamatkan.

Melur Puteh berjaya meloloskan diri bersama calar balar akibat torehan deduri, namun kelibat Lang Surya sudah tidak kelihatan lagi. Dia hanya dapat melihat rimbunan pepohon renek yang terkuak, yang menjadi laluan Lang Surya dan gadis kecil itu kembali bertaut. Dia segera berlari ke arah pepohon renek itu lalu meredahnya. Malang sekali dia tidak tahu, dan kau juga tidak tahu, di sebalik pepohon renek itu tersorok sebuah lereng curam yang agak dalam, dan Melur Puteh terhumban ke dalamnya lalu kaku tidak sedarkan diri.

Wahai insan tetamuku, kau harus mengerti setiap apa yang terjadi adalah kehendak dan milik-Nya. Dialah yang memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam, dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan menurut waktu yang ditetapkan. Percayalah perkataanku, hikmah-Nya pasti ada. Bukankah setiap kejadian itu punya alasan tersendiri?

Anggrik Pagi menanti dengan resah, menunggu bersama gelisah. Mentari semakin lemas ditelan horizon barat, namun kelibat Melur Puteh dan anaknya masih belum kelihatan. Dari tangga rumah di hadapan pintu, bersama pelita bersumbukan pintalan bulu kambing, dia merenung jalan pulang yang diharap bakal dilalui oleh kedua mereka. Benak fikirnya sentiasa positif – mereka pasti pulang, namun detik-detik waktu yang berlalu sempat menghasut juga merasuk hatinya, membuatkan duduknya tidak tenang.

Dia menanti penuh harap, dan penantian itu bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Ketika itu hati dan fikirannya hanya dipenuhi bayangan Lang Surya dan Melur Puteh. Detik-detik persemadian mentari di ufuk barat bagai berdetak keras menjadikan dia lebih runsing.

Lantas, apabila mega di dada langit lenyap dilarutkan warna malam, dia bingkas meninggalkan tangga rumahnya seraya menjulang obor menuju ke rumah penghulu di tengah kampung. Langkahnya pantas tergesa, mengejar masa yang tidak pernah lelah berlalu.

“Penghulu! Penghulu!”

Anggrik Pagi melaungkan panggilan itu sebaik sahaja rumah penghulu muncul dalam bingkai lihatnya. Langkahnya kian deras, injaknya semakin keras. Julangan api di puncak obornya bertari liuk berhembus lintuk.

“Penghulu! Penghulu!”

Penghulu Tedung Senja yang baru sahaja duduk di hadapan hidangan malam bergegas ke tepi jendela sebaik mendengar laungan Anggrik Pagi. Kepalanya tertinjau-tinjau ke luar tingkap mencari gerangan pemilik jeritan.

Dia menarik kepala lalu menoleh ke arah isterinya. Isterinya membalas dengan mengangkat kening bersulam kerut di dahi tanda menyoal.

“Anggrik Pagi,” jawab Penghulu Tedung Senja ringkas seraya bergegas ke pintu hadapan. Isterinya mengekor dari belakang, masih berteman tanda tanya.

“Penghulu!”

Suara Anggrik Pagi sudah jelas di hadapan pintu membuatkan Penghulu Tedung Senja mempercepat langkah lalu membuka pintu hadapan yang lazimnya akan ditutup tika senja bertandang.

“Ada apa, wahai Anggrik Pagi?’ tanya Penghulu Tedung Senja sebaik sahaja menguak dedaun pintu. Dia melihat wajah Anggrik Pagi yang beriak gusar beralun bimbang.

“Salam ke atasmu, wahai penghulu.” Anggrik Pagi tidak lekas menjawab. Biar pun wajah tercalit gundah, suaranya tetap bernada tenang.

“Salam kembali,” balas Penghulu Tedung Senja sedikit tersipu kerana Anggrik Pagi mendahului salam daripadanya.

“Melur Puteh dan Lang Surya masih belum pulang dari pinggir hutan,” adu Anggrik Pagi tanpa berlengah. Suaranya kini terselit getaran bimbang seperti mahu menangis, namun ditahan penuh emosi.

“Bertenanglah. Beritakan kepadaku satu persatu,” bicara Penghulu Tedung Senja cuba memujuk. Selayaknya dia adalah seorang pemimpin.

Anggrik Pagi kemudiannya menjelaskan butir-butir keresahan dari awal hingga akhir kepada Penghulu Tedung Senja sambil didengar oleh isterinya.

“Saya merayu keringat penduduk kampung bagi mencari mereka, wahai penghulu.”

“Aku juga bimbang mendengar hal mereka. Ayuh, kita perlu lekas. Semoga Tuhan memberi perlindungan kepada mereka,” ujar Penghulu Tedung Senja diiringi doa spontan.



www.tips-fb.com

Manuskrip KLS Masuk Barisan

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Alhamdulillah, manuskrip KLS: Pendeta Gua Khayalan kini selamat diserahkan kepada editor Mat Jan di PTS. Menurut Mat Jan, manuskrip tersebut dimasukkan dalam barisan menunggu, kerana ada beberapa manuskrip lain juga sedang menanti bagi menjalani proses suntingan. Apa yang menggembirakan, dalam barisan tersebut, hanya KLS yang bergenrekan fantasi Melayu, selebihnya adalah sains fiksyen.

Mat Jan membayangkan, giliran KLS akan tiba dalam masa 2 hingga 3 bulan. Proses suntingan pula akan mengambil masa 6 minggu sebelum novel KLS siri pertama ini boleh dicetak dan diedarkan, seterusnya ditatap-baca oleh audien. Jadi, jika dicongak dan dihitung, insya-Allah KLS bakal berada di pasaran selepas Aidil Fitri.

Sama-sama kita doakan segalanya berjalan lancar. Amin..

ps: Bab 4 bakal menyusul, harap sabar menanti..




www.tips-fb.com