Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan KLS - Bab 5 (bhgn I)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Dia tahu, setiap yang terjadi adalah kehendak-Nya yang telah terencana di langit tertinggi sejak azali. Dia juga mengerti, tiada yang mustahil bagi-Nya meskipun sesuatu itu membawa pengertian ajaib atau tidak logik pada akal manusia. Namun apa yang begitu sukar difahamkan adalah situasi yang sedang didepani, terlalu liar untuk dijinakkan hati, juga terlalu liat untuk dicernakan akal.

Mimpi adalah ilusi yang mungkin bisa terzahir menjadi nyata, itu dia mengerti. Mimpi yang menjadi nyata berlaku pada dua titik masa yang berbeza, itu juga dia fahami. Namun apa yang dia kurang mengerti dan fahami adalah mimpi yang terzahir pada waktu yang sama. Berlaku serentak, berjalan seiring. Adakah pasti kedua-dua hal itu tidak mustahil untuk terjadi?

Mainan tidur?

Cempaka Suri beralih dari perbaringan seraya merenung kaki yang dijuntaikan di birai katil. Sebelum terlelap sebentar tadi, dia amat yakin bahawa dirinya dalam keadaan bersih, terutama pada bahagian kaki. Mustahil bagi dirinya mengangkat kaki yang kotor ke atas tempat beradu.

Namun tatkala terjaga dari mimpi, dia mendapati kakinya tersalut debu-debu tanah dan pasir. Hal itu membuatkan dia diserang bingung dari setiap sudut minda. Dia cuba mengimbas apa yang telah dimimpikan, dan setiap imbasan menambahkan lagi kekalutan di fikiran.

Dalam mimpinya, dirinya kembali ke zaman anak kecil, berbaju kurung dan berselubung batik menutupi separuh kepalanya. Di sekelilingnya hanya pohon-pohon rimba yang memeluk pandangan, hijau tidak bertepi.

Kemudian muncul seorang budak lelaki yang sedang berburu dengan sebatang lastik, terbongkok-bongkok berlindung di celahan belukar mencari mangsa. Mungkin seusia dengannya di dalam mimpi. Barangkali.

Dia tertarik lalu mendekati budak itu lantas bermohon untuk menjadi teman. Paparan demi paparan, akhirnya mereka terpimpin ke satu tempat bagi budak lelaki tersebut melaksanakan sebuah cabaran.
Karut. Sememangnya hal itu terlalu karut untuk diterima akal. Namun dia harus bersuara dan suaranya perlu dikongsi. Pasti sahaja ada yang mengerti. Mungkin juga seseorang pernah mengalaminya. Namun terdetak suara hati yang menegah – bagaimana mungkin seseorang bisa membeli cerita karutnya?

Mengigau?

Mungkinkah dia telah berjalan merentas mimpi ke dalam hutan? Dia berhitung usia buat seketika. Seumur hidupnya tidak pernah igauan mimpi membuatkan dia bertatih, apatah lagi bangun dan berjalan tanpa dipimpin. Hanya racau yang pernah dan selalu terjadi, itu pun ketika dia merindui ayahnya yang telah pergi bertemu Tuhan.

Ibu.

Kepastian mesti diperoleh sebelum dia bisa membuat sebarang rumusan.

Lantas Cempaka Suri meninggalkan ruang kamarnya, berinjak langkah tergesa mencari ibunya di dapur.

“Ibu,” sapa Cempaka Suri teragak-agak di belakang ibunya, Cempaka Rani yang sedang asyik dengan masakannya.

“Ya, Suri?” sahut ibunya seraya selayang menoleh sebelum kembali melayan masakannya.

Cempaka Suri ingin melepaskan suara namun terhalang oleh rasa dilema yang kian ligat berlegar di ruang benak. Wajahnya jelas keliru dan pandangannya tertumpu pada bahagian belakang ibunya. Kelu yang membalut lidah terus menebal, dan rantai sepi antara mereka semakin menjarak.

Kegagalan Cempaka Suri memecah kebuntuan membuatkan ibunya dicuit tanda tanya, lalu menoleh kembali.

“Suri, kau tiada apa-apa?” Cempaka Rani menyoal sambil merenung wajah sugul anaknya. Sedetik kemudian baru dia menyedari bahawa diri anaknya tidaklah sebersih seperti sebelumnya. Lantas dia mendekati Cempaka Suri. “Apa yang telah terjadi?”

Cempaka Suri membiarkan soalan ibunya tidak bersahut. Dia hanya mampu tertunduk, sedang lidahnya masih terkial-kial mengali suara.

“Suri?”

“Ibu,” Spontan panggilan itu berlari keluar dari mulutnya. “Berapa lama Suri melelapkan mata sebentar tadi?”

“Tidak lama. Kau masuk ke bilik waktu ibu baru mula memasak,” sahut si ibu dengan nada kasih sayang, namun terselit getaran bimbang di dalamnya.

“Adakah ibu melihat daku berjalan sewaktu tidur?”

Cempaka Rani kaget, tidak menjangka soalan seumpama itu yang terutara dari lidah anaknya. Dia membelai rambut Cempaka Suri lalu dicium mesra. Masam.

www.tips-fb.com

1 comments:

On 6 Julai 2009 12:07 PTG , k0m4nd3r berkata...

Masam? nape masam? ah doi yai.. copek sambung, nk g boli kek tesco nih..