Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan KLS - Bab 5 (bhgn II)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


“Jika itu yang terjadi, pasti ibu melihatmu. Bukankah kau harus melalui ruang dapur jika mahu keluar?” balas Cempaka Rani bersahaja, cuba menyembunyikan fikirannya yang semakin keliru. “Apa sebenarnya yang terjadi, Suri?”

“Daku bermimpi, dan dalam mimpi itu, daku berada di dalam sebuah hutan. Daku pasti keadaan diriku bersih sebelum tidur. Tetapi apabila terjaga, debu-debu liar terpalit pada baju dan kakiku, seolah-olah daku benar-benar memasuki hutan,” cerita Cempaka Suri serba ringkas. Dia merasakan mimpinya tidak perlu diberitakan secara terperinci.

Cempaka Rani mengunci bicara buat seketika, menimbang-nimbang masalah yang terkandung dalam luahan anaknya. Akalnya ligat mempertaruhkan segenap jawaban yang wajar. Dia tahu dan dia pasti bicara anaknya tidak terselit pembohongan. Oleh itu dia harus menghadirkan jawaban yang sekurang-kurangnya bisa meringankan beban Cempaka Suri.

Rambut Cempaka Suri terus dibelai dengan penuh kasih mesra.

“Pernahkah kau mendengar kisah Puteri Kenanga Mulya?” tanya Cempaka Rani tiba-tiba. Dia seperti mendapat jawaban kepada kekeliruan yang sedang dihadapi oleh anaknya. Cempaka Suri memandang tepat wajah ibunya.

“Tidak. Siapakah gerangan Puteri Kenanga Mulya?”

“Dia adalah puteri bongsu kepada Raja Tebuan Bukit dan Ratu Kenanga Merah, hidup kira-kira tiga ratus tahun yang lampau,” balas Cempaka Rani teragak-agak menghitung angka yang ingin dituturkan. Sejurus dia melabuhkan punggungnya perlahan di atas lantai ruang dapur. Cempaka Suri menuruti tindakan ibunya.

“Mitos? Legenda?” tanya Cempaka Suri cepat-cepat.

“Ibu kurang pasti. Mungkin juga dia benar-benar wujud kerana ceritanya tersimpan rapi di Pustaka Negeri.”

Cempaka Suri terdiam sejenak, membayangkan wajah Pustaka Negeri yang tersimpan di dalamnya seribu satu judul buku. Dia selalu ke sana dan gemar membiarkan dirinya dikepung segala jenis buku. Padanya, buku adalah teman yang bisa berbicara dalam apa jua sudut cerita.

“Dia juga pernah berdepan dengan situasi yang sama?” tanya Cempaka Suri kemudian. Nada suaranya jadi meriah, matanya kian bersinar. Harapan mula membukit.

“Ya.”

“Seperti daku?”

“Ya, sepertimu.”

“Ceritakan kepadaku, wahai ibu,” pinta Cempaka Suri penuh minat.

“Maafkan ibu, Suri. Ibu hanya tahu bahawa dia pernah mengalami apa yang kamu alami. Selebihnya kau harus berusaha sendiri bagi mendapatkan kisah mistik puteri itu,” balas Cempaka Rani dengan lembut dan bernada kesal. Hanya itu yang dapat dia suarakan. Selanjutnya dia benar-benar tidak tahu.

“Tidak mengapa, ibu. Esok izinkan daku mencari kisahnya di Pustaka Negeri.”

“Baiklah, andai itu yang kau mahu. Sekarang mari kita mengalas perut sebelum lauk mendingin. Matahari pun sudah separuh tenggelam,” ajak Cempaka Rani.

“Suri bersihkan diri dulu ya, ibu.”

Keesokan hari tatkala mentari memanjat dada kayangan timur, sepasang kaki milik seorang gadis melangkah penuh azam bagi mencari penyelesaian terhadap teka-teki yang hadir bersama mimpinya. Mungkinkah Puteri Kenanga Mulya bisa menjawab teka-teki itu? Kepastian masih samar, namun dia yakin Pustaka Negeri adalah destinasi harapannya kini.

Pustaka Negeri terletak bersebelahan dengan Istana Negeri, kira-kira setakuk mentari perjalanan dari rumah Cempaka Suri. Binaannya besar dan indah, sesuai dengan tarafnya yang menggedung ribuan bidang ilmu. Pernah juga dia terfikir, alangkah molek jika itu adalah rumahnya, dan buku-buku pasti menjadi pakaiannya setiap masa.

Suasana di dewan utama Pustaka Negeri kelihatan lengang memandangkan hari masih muda dan ianya baru sahaja dibuka. Sebaik melangkah masuk ke dalam, dia segera mencari buku-buku yang berkaitan dengan Puteri Kenanga Mulya. Biar bertimbun menggunung sekali pun buku yang perlu dikaji, dia tidak peduli. Dia perlu tahu dan dia wajib tahu. Itu yang dirasakannya.

“Mencari sesuatu?” sapa satu suara milik seorang lelaki.

Cempaka Suri tersentak seraya menoleh. Seorang pemuda lengkap berpakaian serba hijau sedang berdiri di sebelahnya. Ulas bibirnya melukiskan senyum yang menggambarkan keramahan. Pustakawan. Serba hijau adalah pakaian rasmi mereka.

“Ya,” jawab Cempaka Suri teragak-agak. Mungkin dirinya masih terselubung rasa kejut ditegur secara tiba-tiba. “Aku sedang mencari buku-buku tentang Puteri Kenanga Mulya.”

Pustakawan itu mengerutkan dahi. Anak matanya memenuhi wajah Cempaka Suri, seolah-olah tidak percaya buku tentang puteri itu yang ingin dibaca.

“Kau tidak akan menjumpainya di sini. Mari ekori aku,” balas lelaki itu lalu membuka langkah melintas Cempaka Suri. Cempaka Suri tidak berfikir panjang, dan dia membuntuti pustakawan itu tanpa banyak soal.

Mereka mengarah ke satu dewan yang lebih kecil, lebih sepi dan lebih suram. Tiada pengunjung. Di dalamnya hanya dipenuhi dengan barisan buku-buku yang tersusun rapi di atas rak-rak yang tinggi berdiri. Hal itu membuatkan Cempaka Suri terhenti di muka pintu. Perlahan-lahan dia menyeluruhi ruang asing itu dari tolehan kiri ke kanan, dan tatkala pandangannya singgah di rak-rak buku, dia seakan dapat mendengar bisikan-bisikan yang datang dari setiap buku minta diambil dan dibaca. Dia melangkah teragak-agak memasuki ruang itu.

“Di sini.”

Cempaka Suri tersentak lagi dan mendapati dirinya jauh tertinggal di belakang. Dia menyegerakan langkah mendekati pustakawan budiman itu.

“Buku-buku yang kau cari ada di rak ini. Kau tidak akan menjumpainya di rak-rak yang lain,” bicara pemuda itu lagi.

“Terima kasih,” ucap Cempaka Suri.

“Satu peringatan,” kata pemuda itu tiba-tiba seraya menaikkan jari telunjuknya. “Buku-buku di dewan ini adalah terpelihara dan tidak boleh dibawa keluar. Kau hanya boleh membacanya di sini.”

“Baiklah, aku mengerti.” Cempaka Suri mengangguk perlahan.

“Ada apa-apa lagi yang boleh kubantu?” tanya pustakawan itu lagi.

Cempaka Suri diam sejenak memikirkan sesuatu.

“Dewan ini.. hingga bila aku boleh menggunakannya?”

“Pustaka Negeri ditutup sebelum mentari terbenam. Dewan ini akan ditutup terlebih dahulu. Adakah kau akan menggunakannya hingga ke waktu itu?”

“Ya, mungkin.”

Jawaban Cempaka Suri menyebabkan pemuda itu menggariskan seribu kerutan di dahi buat seketika. Kemudian dia memadamkannya kembali.

“Baiklah, aku akan memanggilmu pabila waktunya tiba.”

Cempaka Suri mengangguk tanpa bicara.

“Selamat menelaah,” ucap pustakawan itu sebelum beredar meninggalkan ruang itu dihuni Cempaka Suri.

Cempaka Suri tidak menunggu lama. Belum sempat pustakawan itu hilang ditelan mulut pintu, beberapa buah buku tentang Puteri Kenanga Mulya sedang erat digenggam peluk oleh Cempaka Suri.

Di satu sudut di ruang dewan itu, terbentang sebuah meja yang usang, tersimbah di permukaannya sisa-sisa cahaya mentari yang berjaya lolos dari tetingkap kecil di bumbung dewan. Meja itu menjadi pilihan, dan di situlah Cempaka Suri membataskan pergerakan, membiarkan detik-detik masa menyapa, juga kelaparan yang mengetuk dinding perutnya. Sejarah hidup Puteri Kenanga Mulya membuatkan dia keasyikan, mengatasi segala-galanya.

Dalam keasyikan itu, dia tidak menyedari rasa kantuk sedang hadir merapati dirinya, hampir dan semakin hampir. Kelopak matanya kian kuyu, memberat dan mengecil. Hingga satu detik, ianya rapat tidak terbuka lagi.

Maka mimpi pun bertandang lagi, berlegar-legar bersama realiti. Dan mimpi inilah yang bakal mengubah perjalanan hidupnya.


www.tips-fb.com

2 comments:

On 13 Julai 2009 11:35 PG , k0m4nd3r berkata...

Mantap! xsabar nk tunggu full version! first time rase tertarik bace NOvel fiksyen purba nih!

 
On 13 Julai 2009 11:46 PG , Odetakhun Jundak berkata...

mantap? trima kasih la bebyk.. insya'allah versi penuh akan kluar seblum akhir tahun.. aku pun sebenarnya dh tak sabar dh nih.. hahaha