Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan KLS - Bab 6 (bhgn I)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Wahai insan berjiwa luhur, telah kuberitakan kepadamu bahawa legenda ini adalah legenda bangsaku, juga legenda tanahairku. Legenda ini telah lama masyhur di seluruh jajahan Indera Wangsa, diturunkan dari generasi ke generasi, disebarkan dari mulut ke mulut, juga diceterakan oleh ayah kepada anak kecilnya sebelum tidur. Dengan harapan agar pabila dewasa kelak, si anak bakal beroleh semangat dan cita-cita sekental Lang Surya.

Detik demi detik, usiaku semakin larut dalam pusaran masa, membenarkan ketentuan Tuhan sejak azali – yang bermula akan bertemu titik akhir, yang bernyawa pasti dijemput mati. Begitu juga dengan pertemuan kita, pasti ada detik-detik yang memisahkan. Sebelum tiba saat dan ketika itu, molek kiranya bagiku bersambung cetera, sebagai hadiah istimewa yang kujanjikan kepadamu.

Kala itu di satu sudut di hujung dunia, mentari bagai bertongkat terbongkok perlahan-lahan merendahkan diri. Sinarnya mula menguning dan mengurai keemasan, dan pijarnya jadi lembut keredupan. Sedikit demi sedikit, garis-garis di sempadan timur dikuasai oleh perarakan malam yang mara tanpa henti, menyebabkan debu-debu gelap semakin pekat terapung merentas horizon barat.

Waktunya telah tiba.

Dari luar, kelihatan pintu utama Pustaka Negeri memuntahkan ulat-ulat buku tanpa henti. Ruang di dalam dewan utama semakin lengang, mengembalikan suasana bening seperti waktu pembukaan di pagi hari.

Sepasang kaki milik seorang pustakawan melangkah deras. Waktu yang semakin tegas di hujung petang membuatkan dia hampir-hampir terlupa, dewan kecil yang menyimpan khazanah terpelihara berpengunjung pada hari itu, tidak seperti selalu. Dan dewan itu perlu ditutup terlebih dahulu sebelum Pustaka Negeri mengakhiri operasi harian sepenuhnya.

Perlahan-lahan dia menguak daun pintu dewan kecil. Berat. Binaannya adalah cengal ratusan tahun yang mampat dan padu. Bunyi geselan engsel bergema nyaring dan panjang. Dia menjenguk ke dalam mencari kelibat gadis yang telah dibawanya ke situ pada sebelah pagi.

Tiada.

Dia mula memanggil sambil mengetuk daun pintu, berharap ianya bisa menghadirkan perhatian kepada si gadis. Namun panggilannya berlalu begitu sahaja tanpa disahut sebarang suara. Dia melangkah masuk.

Di satu sudut di atas sebuah meja usang, sedang bertimbun buku-buku tentang Puteri Kenanga Mulya. Pustakawan itu menggeleng kecil, kemudian menoleh ke seluruh ruang dewan itu mencari si pembaca. Masih hampa.

“Barangkali gadis itu telah keluar tanpa pengetahuanku,” fikir pustakawan itu spontan lalu mengemas buku-buku yang berselerakan. Sesudah selesai, dewan kecil itu pun ditutup dan dikunci.

Di satu demensi yang lain, Cempaka Suri mendapati dirinya berada di satu ruang yang asing. Ruang itu kosong dan mendatar, di dalamnya hanya dipenuhi dengan alunan irama yang membelai jiwa, juga mengulit telinga. Dia menjadi asyik sebelum matanya menangkap satu susuk tubuh milik seorang perempuan berjarak hanya kira-kira tiga puluh langkah di hadapannya.

“Salam ketemu, wahai gadis,” ucap perempuan itu bersama ukiran senyum di bibir semanis seribu madu. Kulit wajahnya bersih dan cerah. Alis matanya menggoda dan mengagumkan. Hidungnya lurus sedikit mancung. Semua itu berhimpun dan tersusun menjadi wajah yang mempersonakan.

Cempaka Suri diam membatu, hanya kelopak mata yang mampu dikerdipkan berulang kali. Lidahnya sedang menanti arahan daripada akal bagi menjawab salam. Namun akalnya sedang sibuk menggali jawaban kepada gerangan perempuan itu.

“Usah kau biarkan khuatir terus membengkak dalam hatimu, wahai gadis. Mari dekat kepadaku,” ujar perempuan itu lagi.

Dan bagaikan dipukau, kakinya mengorak langkah mendekati perempuan itu. Hatinya dipeluk kaget, dan jiwanya dirasuk ronta. Langkahannya harus dimatikan, dan suara-suara di benak lantang menjerit agar hal itu dilaksanakan segera.

“Siapakah geranganmu?” Suaranya terlontar dan melantun dalam gema, mematikan gemalai irama yang teralun sedari tadi, juga membunuh derap langkahnya. Hatinya retak diketuk curiga.

“Akulah yang kaucari, dan aku sememangnya menunggu detik-detik pertemuan kita,” sahut perempuan itu dengan nada tenang dan ikhlas. Senyumannya tidak lekang dari wajah, seakan memberitahu bahawa dirinya datang dengan aman.

“Puteri Kenanga Mulya...” ujar Cempaka Suri lambat-lambat, seakan tidak yakin dengan agakannya. Akalnya mencari kepastian dalam benang-benang keliru yang kusut berselirat.

Perempuan itu membalas dengan anggukan, dan jawaban itu membuatkan Cempaka Suri semakin dalam ditenggelamkan keliru. Mana mungkin dia bisa bertemu dengan insan yang hidup ratusan tahun yang lampau? Tidak mungkin pernah!

“Sedarkah kau, bahawa kau kini berada di dalam mimpimu?” soal Puteri Kenanga Mulya seraya merapat ke arah Cempaka Suri.

Cempaka Suri tersentak seraya menegaskan kelopak matanya. Apakah benar hal itu yang sedang berlaku? Benaknya menggagau peristiwa-peristiwa yang membawa dia ke ruang itu. Pustaka Negeri, dewan kecil, buku-buku, mengantuk...

Benar.

Puteri itu berlidahkan kebenaran. Dia melihat dalam-dalam anak mata Puteri Kenanga Mulya yang kini hanya beberapa langkah darinya, dan dia percaya kini puteri yang dikaji sedang berdiri di depan mata.

“Andai benar perkataanmu, nyatakanlah bagaimana hal ini boleh terjadi ke atas diriku?” tanya Cempaka Suri dengan nada yang meminta.

“Usah khuatir, gadisku. Tika mimpi-mimpi pertamaku dahulu, aku juga sepertimu. Tubuhku jadi longlai dicengkam rasa canggung yang tidak tertahan,” balas Puteri Kenanga Mulya cuba menenangkan.

“Jadi apa yang dikau lakukan bagi mengatasinya?”

“Sama sepertimu – bertemu dengan orang yang lebih tahu.”

“Bertemu dengan dirimu sendiri?”

Senyum Sang Puteri semakin meleret, seperti menahan lucu pabila mendengar pertanyaan Cempaka Suri, namun tiada dekahan tawa yang terlepas keluar.

“Tidak, mana mungkin itu terjadi. Aku bertemu dengan seorang pendita,” balas puteri itu kemudian. “Dan pendita itu menyatakan bahawa Tuhan itu Maha Berkuasa ke atas setiap kejadian dan peristiwa, dan tiada yang mustahil untuk-Nya. Tuhan telah menganugerahkan sesuatu yang istimewa kepadaku. Maka aku harus menggunakannya sebaik mungkin.”

“Daku tidak merasakan ianya suatu yang istimewa.”

“Fikirkan, wahai gadis. Pada waktu yang sama, diri dan mimpimu seganding berpimpin, juga selari berjalan . Dalam mimpimu, kau berfantasi. Kau bisa menjadi lebih muda, atau menjadi tua seandainya kau mahu. Kau bisa bermantera dan melepaskan magis. Kau boleh pergi ke mana sahaja secara geografi atau pun masa. Dan semua itu adalah realiti pada masa yang sama,” terang Puteri Kenanga Mulya cuba meyakinkan Cempaka Suri.

“Apakah daku bisa merentas masa ke zaman dahulu kala?”

“Itu yang sedang kau lakukan, wahai gadis.”

Cempaka Suri memandang wajah Sang Puteri dengan tiada berkelip. Ini bermakna dia sedang menghela udara yang wujud ratusan tahun sebelum dia lahir!

“Daku juga bisa menjejak bulan dan bintang?”

Puteri Kenanga Mulya tersenyum seraya mengangguk. “Andai itu yang kau mahu.”

“Bagaimana dengan tubuhku sewaktu mengembara dalam mimpi? Apakah masih bernafas?” soal Cempaka Suri lagi. Pertemuan ini harus digunakan sepenuhnya bagi menjawab persoalan-persoalan yang tertampal di dinding benaknya.

“Kau harus faham, mimpi yang kita alami adalah berbeza. Mimpi kita adalah mimpi realiti. Tubuhmu tidak tertinggal, malah ikut serta dalam pengembaraan mimpimu.”

“Ertinya, ibuku tidak akan menjumpaiku di perbaringan?”

“Benar.”

Cempaka Suri merantai lidah buat seketika, gerak-gerinya seakan menimbang-nimbang butir bicara Puteri Kenanga Mulya, mungkin juga mencari-cari soalan lanjutan.

“Dalam bicaramu, dikau ada menyatakan bahawa daku bisa pergi ke lokasi dan masa yang daku suka,” ujar Cempaka Suri sebelum berhenti sejenak.

“Benar,” balas Puteri Kenanga Mulya seraya mengangguk mengiyakannya.

“Apakah mimpi-mimpi ini boleh dikawal?”

“Ya, tetapi kau harus belajar mengawalnya.”

“Bagaimana?”

“Keyakinanmu,” balas Puteri Kenanga Mulya sepatah.

“Daku kurang mengerti,” ujar Cempaka Suri pantas.

“Yakin adalah satu-satunya cara bagi kau mengawal mimpimu. Andai tahap keyakinanmu tinggi, kau bisa mengawal mimpimu dengan mudah, dan mimpimu akan menjadi lebih panjang. Nah, sekarang aku ingin bertanya kepadamu, sedalam mana keyakinanmu untuk kau sampai ke bulan dan bintang?”

Cempaka Suri terdiam lagi. Air wajahnya berkocak dalam riak-riak buntu. Fikirannya cuba memberikan jawaban, tetapi kedua bahunya terangkat terlebih dahulu tanda tidak tahu.

“Itu yang perlu kau pelajari,” nasihat Puteri Kenanga Mulya penuh bijaksana.

Cempaka Suri menganggukkan kepalanya. Dia semakin mengerti dan pandangannya kian berubah. Dia mula merasakan keistimewaan yang Tuhan turunkan kepadanya.

“Tadahkanlah tanganmu ke hadapan,” tutur Puteri Kenanga Mulya setelah mendapati tiada lagi soalan yang dilontarkan Cempaka Suri.

Cempaka Suri mengangkat wajah, sejurus secara spontan dia menghulurkan tangan menadah angin. Sedetik kemudian perlahan-lahan menjelma sekuntum cempaka di telapak tangannya.

“Hadiah daripadaku, sesuai dengan namamu,” ujar Puteri Kenanga Mulya. “Bunga itu sangat berharga buatmu.”

“Terima kasih,” Cempaka Suri membalas walaupun dia kurang mengerti pemberian puteri itu. Timbul juga rasa kagum di hati kerana puteri itu mengetahui pangkal namanya.

“Ini juga pemberianku,” ujar puteri itu lagi seraya menghulurkan busur dan kelodan yang tiba-tiba muncul di tangannya.

Cempaka Suri segera menyelitkan bunga cempaka di celah telinganya lalu menerima pemberian Puteri Kenanga Mulya dengan penuh rasa musykil.

“Tapi.. daku tidak pernah memanah,” bicaranya melepaskan rasa canggung di hati.

“Ingat, keyakinan adalah kunci buatmu. Kau tidak perlukan apa-apa kemahiran. Bermintalah pada Tuhan, semoga Dia mengizinkan apa yang kau ingini.”

“Apakah ini bermakna daku bisa mati ketika bermimpi?”

Puteri Kenanga Mulya tidak lekas menjawab, membiarkan Cempaka Suri menanti tertanya-tanya buat seketika.

“Mungkin...”


www.tips-fb.com