Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Menjenguk ke dalam Pendeta Gua Khayalan

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Baik, sementara menunggu KLS: Pendeta Gua Khayalan siap dicetak, mari aku tumpahkan sinopsis atau ringkasan novel ini di sini.

Pendeta Gua Khayalan adalah novel pertama daripada trilogi Kembara Lang Surya (KLS). Kisah ini bertunjang pada tiga watak utama - Lang Surya, Rimau Seru dan Cempaka Suri, masing-masing dengan konflik tersendiri.

Konflik Lang Surya dengan ibunya menjadi topik utama. Setelah diusir oleh ibunya, dia bertekad mencari ayahnya, Lang Merah - bekas Laksamana Utama Indera Wangsa yang diyakini masih hidup walaupun ramai yang mengatakan ayahnya telah mati ditelan sihir Hutan Jardi. Dia percaya, ayahnya dapat menjernihkan kembali hubungannya dengan ibunya. Dari detik itu, bermulalah pengembaraan penuh magis dan teka-teki. Waizuri Rengga Api mencadangkan agar dia mencari seorang pendeta di pergunungan Tujupuri, bagi mendapatkan maklumat tentang ayahnya. Namun jalan yang memimpin ke arah pendeta itu tidaklah semudah yang dirancang. Godaan-godaan khayalan harus ditempuh sebelum dia bisa bertemu pendeta yang mendiami Gua Khayalan di Banjaran Tujupuri.

Rimau Seru adalah seorang pembunuh upahan yang setia pada prinsip yang unik. Setelah membunuh gurunya sendiri, dia mengembara ke seluruh Indera Wangsa bagi mencari sesuatu yang sangat diidamkan. Sewaktu di Indera Puspa, dia didatangi oleh seorang pengupah yang inginkan dia membunuh keluarga Lang Merah, tetapi Rimau Seru menolak upahan itu. Dia mahu meninggalkan dunia seorang pembunuh upahan. Seorang nenek tua di Indera Nila memberikan klu kepada pencariannya, dan dia bermati-matian mempertaruhkan nyawa bagi merebut pencariannya.

Cempaka Suri punya mimpi yang istimewa. Mimpinya adalah realiti, namun dia bisa berfantasi menggerakkan mimpi mengikut kemahuannya. Magis di dalam mimpi adalah senjata utamanya. Mimpi-mimpinya mempertemukan dia dan Lang Surya, yang menyimpan bunga cempaka pemberian Puteri Kenanga Mulya. Dia mengembara ke dalam mimpi bagi mendapatkan kembali bunga cempaka miliknya.

Plot demi plot menyatukan pengembaraan mereka hingga ditimpa musibah yang tidak terjangka. Dapatkah Lang Surya menembus godaan-godaan sepanjang perjalanan ke Gua Khayalan? Berjayakah Rimau Seru dalam pencariannya, juga meninggalkan pekerjaannya sebagai seorang pembunuh upahan? Mampukah mimpi-mimpi Cempaka Suri mengembalikan bunga cempaka miliknya? Apakah mereka bertiga lolos daripada malapetaka yang menimpa mereka?

Leraikan permasalahan ini dengan membaca KLS: Pendeta Gua Khayalan!

ps: Salam kemerdekaan ke-52 dari Indera Wangsa


www.tips-fb.com

Pendeta Gua Khayalan di Kilang Cetak

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Alhamdulillah, bahagian multimedia di PTS baru sahaja selesai mengerjakan kulit hadapan Pendeta Gua Khayalan. Walaupun masih ada yang perlu diedit dan diperbaiki, aku, selaku novelis picisan yang ingin menerbitkan novel sulung, tetap berpuas hati.

Mari kita lihat hasilnya..




Bagaimana? Terujakah anda melihatnya? Hehehe.. Mari kita lihat harganya pula..




Nyatalah harganya di bawah RM20 iaitu RM16 senaskah, Sabah/Sarawak pun hanya RM18. Masuk hari ini sudah 6 hari berpuasa, jadi pastikan anda sudah mengumpul RM6 setakat ini (kempen sehari RM1). Proses cetak mengambil masa seminggu ke dua minggu, memang ngam-ngam choi. Hahaha..

Sehingga tiba hari yang dinantikan, harap anda semua bersabar. Kalau tak tertahan sabar tu, apa boleh buat. Sebab aku sendiri pun dah tak sabar!



www.tips-fb.com

Salam Ramadhan dari Indera Wangsa

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Assalamualaikum..
Tiada apa yang nak dikemaskini sebenarnya. Setakat yang aku tahu, Pendeta Gua Khayalan hanya menunggu masa bagi menjalani proses pencetakan. Semuanya dah setel kecuali cover novel yang masih dalam pembikinan.

Aku berjaya mendapatkan sentuhan kreatif penuh seni daripada Rosh (pelukis animasi dalam video klip Anuar Zain - Mungkin), dan kali pertama melihatnya, aku sangat teruja hingga tak terkata. Imaginasinya melangkaui apa yang aku gambarkan. Terima kasih kepada Rosh yang bertungkus lumus menyiapkan lukisan cover novel ini sehingga tidak tidur malam. Harapnya pihak PTS bersetuju dan memilih buah tangan Rosh sebagai cover Pendeta Gua Khayalan.



Akhir sekali, aku ingin mengucapkan Salam Ramadhan kepada semua. Semoga kita semua mendapat rahmat dan beramal dengan lebih sempurna atas kehadiran Ramadhan kali ini. Amin..



www.tips-fb.com

Ahmad Patria dan 'Mantera Penarik'nya.

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Ini adalah satu penghormatan tertinggi yang pernah aku terima dalam bidang penulisan, hadir daripada Ahmad Patria (raja penulis fantasi di Malaysia). Kata-kata ini akan disematkan di kulit belakang KLS-Pendeta Gua Khayalan sebagai 'mantera penarik'. Hehehehe..


"Pendeta Gua Khayalan amat menarik terutamanya bagi mereka yang meminati penulisan genre fantasi. Ianya menguja imaginasi sebagai karya sulung daripada trilogi Kembara Lang Surya yang hebat ini.

Meskipun karya pertama, namun Masdalifadzlie M Saaid mempamerkan bakat yang luar biasa selari dengan anugerah yang pernah diraih iaitu pemenang Cereka Sains Kebangsaan 1996 (anjuran UKM) dan 2005 (anjuran Karyanet/DBP).

Beliau menghasilkan sebuah kisah pengembaraan kaya dengan imaginasi, yang menepati ciri-ciri fantasi tinggi. Novel ini satu bacaan yang perlu bagi peminat fantasi."
Ahmad Patria Dato' Abdullah
penulis novel bersiri Saga Artakusiad.


Terima kasih kepada Abg Pat di atas 'mantera penarik' ini.


www.tips-fb.com

Gelombang magis dari Indera Wangsa

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Naskah suntingan selamat diterima pada hari Khamis (13hb Ogos) bagi tujuan pruf, dan aku juga diminta bagi menokok apa-apa sahaja bahan/cerita yang boleh diselitkan bagi menebalkan novel sulung ini. Jadi hujung minggu yang baru berlalu hanya diisi dengan penulisan.

Satu hal yang bakal menggembirakan pengikut yang 'tergoda' dengan godaan-godaan siri pertama KLS ini adalah Pendeta Gua Khayalan akan diterbitkan seawal-awalnya sebelum Aidilfitri (Insya'Allah). Menurut Ketua Editor PTS Fortuna, Vovin, Pendeta Gua Khayalan akan memasuki proses pencetakan selewat-lewatnya pada minggu hadapan. Oleh itu aku bermohon daripada semua agar mendoakan kelancaran penerbitan novel ini seperti yang dirancang.

Namun begitu, terdapat satu perkhabaran yang kurang enak buat pengikut-pengikut yang 'tergoda' selama ini. Godaan-godaan Pendeta Gua Khayalan di sini akan ditamatkan dan anda semua diminta menabung sehari seringgit bagi membeli KLS-Pendeta Gua Khayalan sebagai novel raya anda. Aku menjangkakan harga Pendeta Gua Khayalan tidak melebihi RM20, kemungkinan besar RM17 atau RM18 senaskah.

Insya'Allah segenap maklumat terkini akan diwar-warkan di sini sehingga ia diterbitkan.

Nantikan tebaran magis Pendeta Gua Khayalan di toko-toko buku terkenal di seluruh Malaysia!


www.tips-fb.com

Godaan KLS: Bab 7 (bhgn II)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Rimau Seru menangkap tangan lelaki itu yang sedang menepuk bahunya, lalu dipulas sehingga lelaki itu menjerit kesakitan. Suasana di sekitar warung tiba-tiba dipeluk kekalutan, dan hingar mengisi bingar. Hal itu turut menarik perhatian seorang polis peronda kota yang kebetulan berada di hadapan warung. Dia bergegas menghampiri persengketaan itu.

“Jangan kaucuba menyentuhku tanpa izin!” bentak Rimau Seru bengis mengancing gigi. Amarannya keras dan tiada tolak ansur. Lelaki itu merintih menahan sakit.

“Apa yang sedang terjadi?” soal polis peronda sebaik tiba di antara mereka. Wajahnya garang dengan mata yang menyorot wajah mereka berdua, selayaknya dia ditugaskan menjaga keamanan kota.

“Lelaki ini mengganggu urusanku!” balas Rimau Seru tanpa melepaskan pulasan tangan lelaki itu. Dia tidak gentar dengan kehadiran polis peronda itu. Orang ramai mula berkerumun mengepung menyaksikan pertelikahan mereka.

“Lepaskan dia! Jangan sampai aku mengheret kamu berdua ke bilik kurungan!”

Rimau Seru menghentak pulasan tangan lelaki itu sebelum melepaskannya. Lelaki itu merintih kelegaan seraya mengurut-urut bahunya. Mulutnya menyeringai, tidak mahu mengaku kalah.

“Sudah, bersurai semua!” jerit polis peronda itu kepada mereka dan orang ramai.

Mereka bertentang mata tatkala warga kota mula meninggalkan mereka.

“Aku akan datang lagi setelah anak kecil itu dewasa.”

“Terpulang padamu.”

**********************************


“Salam buatmu, wahai puteri. Kita bertemu lagi.” Cempaka Suri berlari mendapatkan Puteri Kenanga Mulya, lalu memeluk erat penuh rindu. Sejak pertemuan pertama, puteri itu dirasakan seperti keluarga.

“Salam kembali ke atasmu, wahai gadis. Kau nampak sihat dan ceria.” Puteri Kenanga Mulya membalas pelukan Cempaka Suri. Dia juga kelihatan gembira melihat kedatangan Cempaka Suri.

“Ya, daku tidak lagi dirundung canggung dengan mimpi-mimpiku. Ibuku juga tidak lagi bimbang dengan keadaanku,” ujar Cempaka Suri seraya melepaskan pelukannya. “Dia berkirim salam denganmu.”

“Salam kembali ke atasnya. Ibumu tahu hal sebenar?”

“Ya, daku telah ceritakan segala-galanya, termasuk tentang dirimu.”

“Baguslah jika begitu,” bicara puteri itu bersama ukiran senyum termanis di bibir. Dia membiarkan Cempaka Suri berlari mengelilinginya dengan riang.

Kemudian Cempaka Suri berhenti di depannya, lalu memindahkan kuntum cempaka dari celahan telinga ke telapak tangan.

“Lihat,” serunya tanpa menoleh ke arah puteri itu. Matanya merenung tepat kuntum cempaka di telapak tangannya, penuh fokus bersama senyum yang terpahat di hujung bibir. Tiba-tiba kuntum cempaka itu terapung-apung di udara, dan kemudian melayang gemalai mengikut rentak tari Sang Bayu.

“Sepertinya kau sudah bisa mengawal mimpimu tanpa rasa kekok,” puji Puteri Kenanga Mulya, bertumpang gembira dengan kemajuan Cempaka Suri. Dia tidak menyangka, dalam waktu yang singkat, Cempaka Suri mampu melakukannya. Sungguh, gadis itu terlalu istimewa.

“Tidak juga. Pernah suatu ketika daku ingin berjalan di atas air, tetapi usahaku tidak berhasil. Lencun pakaianku turut membasahi perbaringanku saat daku terjaga,” cerita Cempaka Suri diselangi dengan derai tawa. Kuntum cempaka melayang turun ke telapak tangannya lalu diselitkan kembali di celah telinga. Manis.

“Kau harus menepikan hukum alam tatkala bermimpi, dan yakin dalam segala kehendakmu. Dengan izin Tuhan, pasti kau beroleh kejayaan,” nasihat Puteri Kenanga Mulya memberi petua kepada Cempaka Suri.

“Ya, daku sedang berusaha ke arah itu,” balas Cempaka Suri penuh semangat, tidak seperti waktu pertama kali bersua muka dengan puteri itu. Dia bertambah yakin dengan dirinya, juga mimpi-mimpinya.

“Apa yang membuatkan kau datang bertemu denganku?” soal Puteri Kenanga Mulya sejurus. Dia dapat merasakan kedatangan gadis itu punya tujuan yang lebih penting daripada memperlihatkan layangan bunga cempaka.

Soalan itu membuatkan wajah Cempaka Suri dicoret sengih mencuit hati. Puteri Kenanga Mulya bisa membaca fikirannya, dan tugasnya bertambah mudah kerana puteri itu telah bertanya terlebih dahulu. Sememangnya dia berhajatkan sesuatu daripada puteri legenda itu, sesuatu yang belum ditemui jawabannya hingga detik itu.

“Ada sesuatu yang membuatkan hatiku berteman kemusykilan,” kata Cempaka Suri seraya memadamkan coretan sengih di wajahnya. “Daku tidak berpeluang bertanyakannya semasa pertemuan kita terdahulu.”

“Nyatakan kepadaku. Mungkin aku boleh membantu,” ujar puteri itu penuh keikhlasan.
Cempaka Suri mengumpul nafas di dada seraya benaknya menyusun perkataan yang bakal dilemparkan kepada puteri itu.

“Dalam mimpi pertamaku, daku bertemu dengan seorang anak lelaki, dan usiaku pada ketika itu turut sama dalam lingkungan usianya.” Cempaka Suri berhenti sejenak berhembus nafas. “Daku cuba bertemu kembali dengannya, tetapi daku gagal. Daku ingin tahu siapa anak lelaki itu. Adakah dikau tahu, wahai puteri?”

Puteri Kenanga Mulya tersenyum lagi, melewatkan jawaban yang sudah tersedia di benaknya.

“Aku tidak tahu gerangan namanya, tetapi aku tahu dia punya kaitan denganmu,” balasnya kemudian.

“Kaitan yang bagaimana?”

“Aku tidak tahu,” sahut Puteri Kenanga Mulya menggeleng.

“Tapi mengapa daku gagal bertemu lagi dengannya?” Cempaka Suri masih tidak berpuas hati. Wajahnya sedikit mencuka tanda hampa.

“Usah khuatir, kau akan bertemu lagi dengannya. Cuma sekarang aku merasakan anak lelaki itu berada di bawah satu lindungan magis yang menghalang mimpimu daripada bertemu dengannya,” jelas Puteri Kenanga Mulya lagi cuba memujuk jiwa berontak Cempaka Suri.

“Adakah magis itu bersifat baik atau jahat?”

“Itu juga di luar pengetahuanku.”

Cempaka Suri tertunduk lalu mengangguk-angguk. Wajahnya semakin sugul, namun dia tidak berhenti di situ sahaja.

“Jika benar dia punya kaitan denganku, bila agaknya daku berpeluang bertemu lagi dengannya?”

Senyum di bibir Puteri Kenanga Mulya menjadi tawar dengan pertanyaan itu. Dia tidak mahu memberi jawaban yang menghampakan. Namun dia tidak punya pilihan, dengan nada yang lembut dan memujuk, dia berbicara, “Pengetahuanku terbatas, wahai gadis. Yang Maha Mengetahui hanya Dia. Hanya Tuhan yang tahu.”



www.tips-fb.com

Godaan KLS: Bab 7 (bhgn I)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Sang Mentari telah pun condong ke barat tika dia melangkah masuk ke dalam kota. Terik sinarnya semakin lemah, ditambah dengan kesejukan musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi. Barisan pepohon mapel berdiri telanjang di bahu jalan, seperti tangan-tangan kontang yang tidak sabar menadah kedatangan salju dari langit. Hembusan bayu di hari-hari terakhir musim luruh turut membawa haruman salju sesegar bugar.

Kota Indera Puspa terletak di utara Lapangan Puspa Seri, juga bersebelahan dengan Sungai Puspajaya yang padanya mengalir air sejernih embun sedingin salju dari banjaran Darapura. Kota ini merupakan kota pemerintahan bagi wilayah Indera Puspa yang terdiri daripada Lapangan Puspa Seri, Tanjung Dwipuspa dan juga kawasan kota sendiri.

Luas kota ini sama seperti Kota Indera Nila, tetapi kepadatan penduduknya menyamai kepadatan penduduk di Kota Indera Sura. Tidak seperti Kota Indera Sura dan Kota Indera Nila yang terkenal kerana pelabuhannya, Kota Indera Puspa lebih dikenali sebagai kota seni di Indera Wangsa.

Seandainya dikau berjalan di perut kota, setiap langkahmu pasti bertemu dengan seniman-seniman jalanan yang duduk berkarya di bahu-bahu jalan. Mereka bersyair, berpantun, berseloka, bergurindam dan ramai juga yang duduk melukiskan kembali apa yang tergambar di minda mereka. Karya-karya itu selalunya dijual kepada sesiapa yang menghargai hasil karya seni mereka, tetapi adakalanya mereka akan memberikannya secara percuma, jika kau pandai dalam ilmu tawar-menawar.

Ini bukanlah kali pertama dia menjejakkan kaki di Kota Indera Puspa, sudah berulang kali hingga tidak terhitung. Kebanyakkannya adalah atas urusan kerja, setelah upah dan maklumat diperoleh daripada insan-insan yang berhati busuk. Namun untuk kali ini kehadirannya lebih bersifat peribadi, bebas daripada upah dan bunuh. Sesuatu sedang berada di ruang legar pencariannya.

Haruman kopi dari sebuah warung menarik perhatiannya, bagai menggoda agar mendekat seketika bagi merehatkan lelah dan membasahkan tekak. Dia tidak menunggu lama, haruman itu berjaya menguak lebar pintu seleranya.

“Lagakmu seperti seorang musafir. Dari mana datangmu?” sapa seorang pelayan di warung itu, ramah dan sopan. Pelayan itu mengenakan teluk belanga dan menutup kepalanya dengan ketayap batik, sama seperti pelayan-pelayan yang lain di warung itu.

“Utara,” balas Rimau Seru sepatah, bicaranya keras. Dia seperti terkejut kerana tiba-tiba disapa sedang punggung baru sahaja dilabuhkan. “Aku datang dari Indera Kawi.” Rimau Seru membetulkan jawaban asalnya, kali ini bicaranya dilembutkan sedikit.

“Tempat di mana salju berkampung, indah dan memukau,” puji pelayan itu lagi.

“Terima kasih,” balas Rimau Seru seraya menguntum senyum yang dibuat-buat. “Boleh aku memberi pesanan?”

“Tentu sahaja boleh,” sahut pelayan itu pantas tanpa rasa canggung. Lidahnya petah dan perwatakannya ramah. Dia menghulurkan sejilid menu kepada Rimau Seru. “Apa yang menjadi pilihanmu?”

“Kopi,” jawab Rimau Seru ringkas tanpa membuka menu yang diberi. Dia terasa rimas dengan keramahan pelayan itu. “Hanya secangkir kopi buatku.”

“Baiklah, pesananmu akan dihantar sekejap lagi. Sila tunggu sebentar, ya.”

Rimau Seru mengangguk dan memerhatikan pelayan itu berlalu dengan ekor mata. Sejurus dia menarik nafas panjang dan dalam, sebelum dihembus bersama lelah yang bersarang di rusuk dada.

Dia memerhatikan sekitar ruang warung itu seraya memperkemas ikatan dalkin di lehernya. Dua pertiga daripada jumlah meja di situ dipenuhi pelanggan dan dia berani menyimpulkan bahawa warung itu punya pengaruh yang besar di kota itu.

“Salam ke atasmu.”

Suara itu milik seorang lelaki yang tiba-tiba duduk di hadapan Rimau Seru. Rimau Seru terpempan dan tanpa disedari jejari sudah menyentuh hulu Pedang Luka lantaran naluri kepahlawanan yang mengalir dalam dirinya.

“Siapa geranganmu?” soal Rimau Seru dengan nada rendah namun berdetak keras. Matanya merenung tajam ke dalam anak mata lelaki itu, mengawasi segala kemungkinan yang tidak pasti.

Lelaki itu mencoretkan senyum melihat reaksi Rimau Seru. Dia kelihatan tenang tanpa diusik sebarang rasa gentar. Dia mengangkat kedua belah tangannya, tanda dia datang secara aman dan bebas daripada membawa senjata.

“Nampaknya kau tidak mengingati diriku,” balas lelaki itu. “Mungkin kerana terlalu ramai pelanggan yang berurusan denganmu hingga kau lupa pada wajah-wajah mereka.”

“Kau tidak menjawab soalanku,” bentak Rimau Seru, mengawal rendah suaranya agar tidak didengari oleh pelanggan-pelanggan di restoran itu. Tangannya masih kekal di hulu pedang.

“Kau tidak tahu namaku, tetapi aku pernah berurusan denganmu,” ujar lelaki itu bersahaja. Bengis wajah Rimau Seru tidak sedikit pun melunturkan ceria pada wajahnya. “Dan aku sangat berpuas hati dengan khidmat yang telah kau berikan.”

“Bagiku, nama pengupah tidak pernah penting, yang penting adalah habuan yang ditawarkan.”

“Benar, dan aku setuju.”

“Adakah kedatanganmu ini membawa habuan untukku?”

“Kau punya intuitif yang luar biasa,” puji lelaki itu membenarkan tekaan Rimau Seru. Dia membetulkan duduknya agar lebih selesa.

“Tidak sukar bagi mengenali orang-orang sepertimu,” balas Rimau Seru bersama dekahan kecil, terselit di dalamnya nada yang memerli. Lelaki itu tidak mengambil hati dengan bicara Rimau Seru, lagaknya tetap bersahaja.

Seorang pelayan wanita datang membawa secangkir kopi lalu meletakkannya di hadapan Rimau Seru. Dia sempat menjeling tangan Rimau Seru mengusap-usap hulu pedangnya di bawah meja.

“Terima kasih kerana menunggu,” ucapnya kepada Rimau Seru sedikit gugup. “Boleh kuambil pesananmu?” tanya pelayan itu kepada lelaki di hadapan Rimau Seru pula. Dia ingin cepat beredar lantaran hati yang didakap cemas, tetapi lumrah kerjanya membuatkan dia bertangguh dan melontarkan tanya.

“Tidak, aku baru sahaja selesai. Terima kasih,” balas lelaki itu spontan.

“Baiklah, aku minta diri.”

“Bagaimana? Adakah kau setuju berurusan denganku lagi?” soal lelaki itu kemudian setelah pelayan wanita itu meninggalkan mereka tergsa-gesa.

Rimau Seru tidak lekas menjawab soalan yang dikemukakan lelaki itu, sebaliknya memusing-musingkan cangkir kopinya seperti sedang memikirkan sesuatu. Lelaki di hadapannya mendiamkan diri, setia menantikan jawaban daripadanya.

“Maafkan aku, wahai lelaki. Aku terpaksa menolak kerana aku sedang bercuti daripada urusan kerja. Buat masa ini, aku tidak mengambil sebarang upah,” balas Rimau Seru memecahkan ruang buntu antara mereka.

“Kau belum mendengar nilai upah yang bakal kau terima.”

“Tidak perlu. Aku sedang bercuti dan kau hanya boleh berurusan denganku setelah aku kembali dari cutiku,” tolak Rimau Seru dengan sopan, berkeras dengan pendiriannya.

“Baiklah, baiklah,” alah lelaki itu seraya mengangkat telapak tangannya dari permukaan meja. “Mungkin aku bisa mengubah pendirianmu seandainya aku tahu di mana kau boleh menjumpainya.”

Rimau Seru mengangkat kepalanya, menyeluruhi wajah lelaki tersebut dengan kening yang terangkat separuh dahi. Apa benar lelaki ini mengetahui apa yang sedang dicarinya?

“Apa yang kautahu, wahai lelaki?” Rimau Seru menyoal penuh curiga.

“Pencarianmu dalam pengetahuanku. Kau tidak akan bertemu dengannya di sini, dan aku tahu di mana kau bisa bertemu dengannya,” jawab lelaki itu, masih bersahaja memandangkan dirinya punya kelebihan pada waktu itu.

“Bagaimana kau tahu tentang pencarianku?”

“Tidak sukar bagi mengenali orang-orang sepertimu,” jawab lelaki itu membalas perlian Rimau Seru sebentar tadi. Rimau Seru tersenyum dalam geram.

“Baiklah, nyatakan kepadaku. Aku sedia mendengar.”

“Adakah kau sudah kembali dari cutimu?”


“Siapa sasaranku?” Rimau Seru tidak mengendahkan soalan lelaki itu. Wajahnya tegang ditarik serius, menyebabkan lelaki itu menyimpan kembali jenakanya.

“Kau pasti pernah mendengar nama Laksamana Utama Lang Merah, bukan?”

“Ya, sudah pasti. Aku mengagumi keperwiraannya di waktu remajaku. Lebih sedekad lalu dia menghilangkan diri di Hutan Jardi. Adakah kau mahu aku membunuhnya?” soal Rimau Seru sedikit meninggi. Tubuhnya pula sedikit terkedepan.

“Tidak. Aku tidak fikir dia masih hidup. Hutan Jardi penuh dengan sihir, tiada siapa yang pernah keluar darinya hidup-hidup,” balas lelaki itu.

“Jadi siapa?”

“Isteri dan anak lelakinya.”

Rimau Seru menyandarkan kembali badannya. Jawaban daripada lelaki itu gagal menghadirkan rasa ghairah buat dirinya. Cangkir kopi yang masih hangat diangkat lalu dihirup perlahan-lahan, namun matanya tidak melepaskan gerak-geri lelaki itu.

Dia ingin bertanyakan mengapa mereka yang ingin dibunuh, namun didiamkan kerana seorang pembunuh upahan tidak pernah menyoal sebab musababnya. Pembunuh upahan hanya membunuh setelah dibayar. Itulah yang diajarkan oleh gurunya.

“Setahuku, anak lelakinya masih kecil,” ujar Rimau Seru seraya meletakkan kembali cangkir kopi ke atas meja. Lidahnya dikemam, menyerap kelazatan manisan kopi.

“Ya. Awal belasan tahun, barangkali,” sahut lelaki tersebut mengiyakan telahan Rimau Seru. Dia amat yakin Rimau Seru pasti menerima misi yang diberi.

“Jika begitu, maafkan aku. Tawar-menawar kita tamat di sini.”

“Mengapa?” tanya lelaki itu tidak mengerti.

“Kau harus faham dengan prinsip kerjaku, wahai lelaki. Wanita dan anak kecil tidak berhak dibunuh, walau dengan alasan apa sekali pun,” balas Rimau Seru dengan suara yang tegas. Dia meletakkan sekeping perak di atas meja, kemudian bangkit dan berlalu pergi meninggalkan lelaki itu dalam kepingaan.

“Sebentar!” teriak lelaki itu sebelum sempat Rimau Seru melangkah keluar dari warung itu. Tanpa menoleh, Rimau Seru mematikan langkah.

“Apa lagi yang kaumahu?”

Lelaki itu mengorak menghampiri Rimau Seru. Dia menepuk bahu Rimau Seru dari belakang seperti seorang sahabat. Malangnya tindakan itu mengundang rasa meluat di hati Rimau Seru, dan sengketa pun bermula.

www.tips-fb.com