Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan KLS: Bab 7 (bhgn I)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Sang Mentari telah pun condong ke barat tika dia melangkah masuk ke dalam kota. Terik sinarnya semakin lemah, ditambah dengan kesejukan musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi. Barisan pepohon mapel berdiri telanjang di bahu jalan, seperti tangan-tangan kontang yang tidak sabar menadah kedatangan salju dari langit. Hembusan bayu di hari-hari terakhir musim luruh turut membawa haruman salju sesegar bugar.

Kota Indera Puspa terletak di utara Lapangan Puspa Seri, juga bersebelahan dengan Sungai Puspajaya yang padanya mengalir air sejernih embun sedingin salju dari banjaran Darapura. Kota ini merupakan kota pemerintahan bagi wilayah Indera Puspa yang terdiri daripada Lapangan Puspa Seri, Tanjung Dwipuspa dan juga kawasan kota sendiri.

Luas kota ini sama seperti Kota Indera Nila, tetapi kepadatan penduduknya menyamai kepadatan penduduk di Kota Indera Sura. Tidak seperti Kota Indera Sura dan Kota Indera Nila yang terkenal kerana pelabuhannya, Kota Indera Puspa lebih dikenali sebagai kota seni di Indera Wangsa.

Seandainya dikau berjalan di perut kota, setiap langkahmu pasti bertemu dengan seniman-seniman jalanan yang duduk berkarya di bahu-bahu jalan. Mereka bersyair, berpantun, berseloka, bergurindam dan ramai juga yang duduk melukiskan kembali apa yang tergambar di minda mereka. Karya-karya itu selalunya dijual kepada sesiapa yang menghargai hasil karya seni mereka, tetapi adakalanya mereka akan memberikannya secara percuma, jika kau pandai dalam ilmu tawar-menawar.

Ini bukanlah kali pertama dia menjejakkan kaki di Kota Indera Puspa, sudah berulang kali hingga tidak terhitung. Kebanyakkannya adalah atas urusan kerja, setelah upah dan maklumat diperoleh daripada insan-insan yang berhati busuk. Namun untuk kali ini kehadirannya lebih bersifat peribadi, bebas daripada upah dan bunuh. Sesuatu sedang berada di ruang legar pencariannya.

Haruman kopi dari sebuah warung menarik perhatiannya, bagai menggoda agar mendekat seketika bagi merehatkan lelah dan membasahkan tekak. Dia tidak menunggu lama, haruman itu berjaya menguak lebar pintu seleranya.

“Lagakmu seperti seorang musafir. Dari mana datangmu?” sapa seorang pelayan di warung itu, ramah dan sopan. Pelayan itu mengenakan teluk belanga dan menutup kepalanya dengan ketayap batik, sama seperti pelayan-pelayan yang lain di warung itu.

“Utara,” balas Rimau Seru sepatah, bicaranya keras. Dia seperti terkejut kerana tiba-tiba disapa sedang punggung baru sahaja dilabuhkan. “Aku datang dari Indera Kawi.” Rimau Seru membetulkan jawaban asalnya, kali ini bicaranya dilembutkan sedikit.

“Tempat di mana salju berkampung, indah dan memukau,” puji pelayan itu lagi.

“Terima kasih,” balas Rimau Seru seraya menguntum senyum yang dibuat-buat. “Boleh aku memberi pesanan?”

“Tentu sahaja boleh,” sahut pelayan itu pantas tanpa rasa canggung. Lidahnya petah dan perwatakannya ramah. Dia menghulurkan sejilid menu kepada Rimau Seru. “Apa yang menjadi pilihanmu?”

“Kopi,” jawab Rimau Seru ringkas tanpa membuka menu yang diberi. Dia terasa rimas dengan keramahan pelayan itu. “Hanya secangkir kopi buatku.”

“Baiklah, pesananmu akan dihantar sekejap lagi. Sila tunggu sebentar, ya.”

Rimau Seru mengangguk dan memerhatikan pelayan itu berlalu dengan ekor mata. Sejurus dia menarik nafas panjang dan dalam, sebelum dihembus bersama lelah yang bersarang di rusuk dada.

Dia memerhatikan sekitar ruang warung itu seraya memperkemas ikatan dalkin di lehernya. Dua pertiga daripada jumlah meja di situ dipenuhi pelanggan dan dia berani menyimpulkan bahawa warung itu punya pengaruh yang besar di kota itu.

“Salam ke atasmu.”

Suara itu milik seorang lelaki yang tiba-tiba duduk di hadapan Rimau Seru. Rimau Seru terpempan dan tanpa disedari jejari sudah menyentuh hulu Pedang Luka lantaran naluri kepahlawanan yang mengalir dalam dirinya.

“Siapa geranganmu?” soal Rimau Seru dengan nada rendah namun berdetak keras. Matanya merenung tajam ke dalam anak mata lelaki itu, mengawasi segala kemungkinan yang tidak pasti.

Lelaki itu mencoretkan senyum melihat reaksi Rimau Seru. Dia kelihatan tenang tanpa diusik sebarang rasa gentar. Dia mengangkat kedua belah tangannya, tanda dia datang secara aman dan bebas daripada membawa senjata.

“Nampaknya kau tidak mengingati diriku,” balas lelaki itu. “Mungkin kerana terlalu ramai pelanggan yang berurusan denganmu hingga kau lupa pada wajah-wajah mereka.”

“Kau tidak menjawab soalanku,” bentak Rimau Seru, mengawal rendah suaranya agar tidak didengari oleh pelanggan-pelanggan di restoran itu. Tangannya masih kekal di hulu pedang.

“Kau tidak tahu namaku, tetapi aku pernah berurusan denganmu,” ujar lelaki itu bersahaja. Bengis wajah Rimau Seru tidak sedikit pun melunturkan ceria pada wajahnya. “Dan aku sangat berpuas hati dengan khidmat yang telah kau berikan.”

“Bagiku, nama pengupah tidak pernah penting, yang penting adalah habuan yang ditawarkan.”

“Benar, dan aku setuju.”

“Adakah kedatanganmu ini membawa habuan untukku?”

“Kau punya intuitif yang luar biasa,” puji lelaki itu membenarkan tekaan Rimau Seru. Dia membetulkan duduknya agar lebih selesa.

“Tidak sukar bagi mengenali orang-orang sepertimu,” balas Rimau Seru bersama dekahan kecil, terselit di dalamnya nada yang memerli. Lelaki itu tidak mengambil hati dengan bicara Rimau Seru, lagaknya tetap bersahaja.

Seorang pelayan wanita datang membawa secangkir kopi lalu meletakkannya di hadapan Rimau Seru. Dia sempat menjeling tangan Rimau Seru mengusap-usap hulu pedangnya di bawah meja.

“Terima kasih kerana menunggu,” ucapnya kepada Rimau Seru sedikit gugup. “Boleh kuambil pesananmu?” tanya pelayan itu kepada lelaki di hadapan Rimau Seru pula. Dia ingin cepat beredar lantaran hati yang didakap cemas, tetapi lumrah kerjanya membuatkan dia bertangguh dan melontarkan tanya.

“Tidak, aku baru sahaja selesai. Terima kasih,” balas lelaki itu spontan.

“Baiklah, aku minta diri.”

“Bagaimana? Adakah kau setuju berurusan denganku lagi?” soal lelaki itu kemudian setelah pelayan wanita itu meninggalkan mereka tergsa-gesa.

Rimau Seru tidak lekas menjawab soalan yang dikemukakan lelaki itu, sebaliknya memusing-musingkan cangkir kopinya seperti sedang memikirkan sesuatu. Lelaki di hadapannya mendiamkan diri, setia menantikan jawaban daripadanya.

“Maafkan aku, wahai lelaki. Aku terpaksa menolak kerana aku sedang bercuti daripada urusan kerja. Buat masa ini, aku tidak mengambil sebarang upah,” balas Rimau Seru memecahkan ruang buntu antara mereka.

“Kau belum mendengar nilai upah yang bakal kau terima.”

“Tidak perlu. Aku sedang bercuti dan kau hanya boleh berurusan denganku setelah aku kembali dari cutiku,” tolak Rimau Seru dengan sopan, berkeras dengan pendiriannya.

“Baiklah, baiklah,” alah lelaki itu seraya mengangkat telapak tangannya dari permukaan meja. “Mungkin aku bisa mengubah pendirianmu seandainya aku tahu di mana kau boleh menjumpainya.”

Rimau Seru mengangkat kepalanya, menyeluruhi wajah lelaki tersebut dengan kening yang terangkat separuh dahi. Apa benar lelaki ini mengetahui apa yang sedang dicarinya?

“Apa yang kautahu, wahai lelaki?” Rimau Seru menyoal penuh curiga.

“Pencarianmu dalam pengetahuanku. Kau tidak akan bertemu dengannya di sini, dan aku tahu di mana kau bisa bertemu dengannya,” jawab lelaki itu, masih bersahaja memandangkan dirinya punya kelebihan pada waktu itu.

“Bagaimana kau tahu tentang pencarianku?”

“Tidak sukar bagi mengenali orang-orang sepertimu,” jawab lelaki itu membalas perlian Rimau Seru sebentar tadi. Rimau Seru tersenyum dalam geram.

“Baiklah, nyatakan kepadaku. Aku sedia mendengar.”

“Adakah kau sudah kembali dari cutimu?”


“Siapa sasaranku?” Rimau Seru tidak mengendahkan soalan lelaki itu. Wajahnya tegang ditarik serius, menyebabkan lelaki itu menyimpan kembali jenakanya.

“Kau pasti pernah mendengar nama Laksamana Utama Lang Merah, bukan?”

“Ya, sudah pasti. Aku mengagumi keperwiraannya di waktu remajaku. Lebih sedekad lalu dia menghilangkan diri di Hutan Jardi. Adakah kau mahu aku membunuhnya?” soal Rimau Seru sedikit meninggi. Tubuhnya pula sedikit terkedepan.

“Tidak. Aku tidak fikir dia masih hidup. Hutan Jardi penuh dengan sihir, tiada siapa yang pernah keluar darinya hidup-hidup,” balas lelaki itu.

“Jadi siapa?”

“Isteri dan anak lelakinya.”

Rimau Seru menyandarkan kembali badannya. Jawaban daripada lelaki itu gagal menghadirkan rasa ghairah buat dirinya. Cangkir kopi yang masih hangat diangkat lalu dihirup perlahan-lahan, namun matanya tidak melepaskan gerak-geri lelaki itu.

Dia ingin bertanyakan mengapa mereka yang ingin dibunuh, namun didiamkan kerana seorang pembunuh upahan tidak pernah menyoal sebab musababnya. Pembunuh upahan hanya membunuh setelah dibayar. Itulah yang diajarkan oleh gurunya.

“Setahuku, anak lelakinya masih kecil,” ujar Rimau Seru seraya meletakkan kembali cangkir kopi ke atas meja. Lidahnya dikemam, menyerap kelazatan manisan kopi.

“Ya. Awal belasan tahun, barangkali,” sahut lelaki tersebut mengiyakan telahan Rimau Seru. Dia amat yakin Rimau Seru pasti menerima misi yang diberi.

“Jika begitu, maafkan aku. Tawar-menawar kita tamat di sini.”

“Mengapa?” tanya lelaki itu tidak mengerti.

“Kau harus faham dengan prinsip kerjaku, wahai lelaki. Wanita dan anak kecil tidak berhak dibunuh, walau dengan alasan apa sekali pun,” balas Rimau Seru dengan suara yang tegas. Dia meletakkan sekeping perak di atas meja, kemudian bangkit dan berlalu pergi meninggalkan lelaki itu dalam kepingaan.

“Sebentar!” teriak lelaki itu sebelum sempat Rimau Seru melangkah keluar dari warung itu. Tanpa menoleh, Rimau Seru mematikan langkah.

“Apa lagi yang kaumahu?”

Lelaki itu mengorak menghampiri Rimau Seru. Dia menepuk bahu Rimau Seru dari belakang seperti seorang sahabat. Malangnya tindakan itu mengundang rasa meluat di hati Rimau Seru, dan sengketa pun bermula.

www.tips-fb.com

2 comments:

On 4 Ogos 2009 11:03 PTG , k0m4nd3r berkata...

4 thumbs up! plus 1! hehehe

 
On 5 Ogos 2009 4:24 PTG , Odetakhun Jundak berkata...

minus 1.. hahaha