Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan KLS: Bab 7 (bhgn II)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Rimau Seru menangkap tangan lelaki itu yang sedang menepuk bahunya, lalu dipulas sehingga lelaki itu menjerit kesakitan. Suasana di sekitar warung tiba-tiba dipeluk kekalutan, dan hingar mengisi bingar. Hal itu turut menarik perhatian seorang polis peronda kota yang kebetulan berada di hadapan warung. Dia bergegas menghampiri persengketaan itu.

“Jangan kaucuba menyentuhku tanpa izin!” bentak Rimau Seru bengis mengancing gigi. Amarannya keras dan tiada tolak ansur. Lelaki itu merintih menahan sakit.

“Apa yang sedang terjadi?” soal polis peronda sebaik tiba di antara mereka. Wajahnya garang dengan mata yang menyorot wajah mereka berdua, selayaknya dia ditugaskan menjaga keamanan kota.

“Lelaki ini mengganggu urusanku!” balas Rimau Seru tanpa melepaskan pulasan tangan lelaki itu. Dia tidak gentar dengan kehadiran polis peronda itu. Orang ramai mula berkerumun mengepung menyaksikan pertelikahan mereka.

“Lepaskan dia! Jangan sampai aku mengheret kamu berdua ke bilik kurungan!”

Rimau Seru menghentak pulasan tangan lelaki itu sebelum melepaskannya. Lelaki itu merintih kelegaan seraya mengurut-urut bahunya. Mulutnya menyeringai, tidak mahu mengaku kalah.

“Sudah, bersurai semua!” jerit polis peronda itu kepada mereka dan orang ramai.

Mereka bertentang mata tatkala warga kota mula meninggalkan mereka.

“Aku akan datang lagi setelah anak kecil itu dewasa.”

“Terpulang padamu.”

**********************************


“Salam buatmu, wahai puteri. Kita bertemu lagi.” Cempaka Suri berlari mendapatkan Puteri Kenanga Mulya, lalu memeluk erat penuh rindu. Sejak pertemuan pertama, puteri itu dirasakan seperti keluarga.

“Salam kembali ke atasmu, wahai gadis. Kau nampak sihat dan ceria.” Puteri Kenanga Mulya membalas pelukan Cempaka Suri. Dia juga kelihatan gembira melihat kedatangan Cempaka Suri.

“Ya, daku tidak lagi dirundung canggung dengan mimpi-mimpiku. Ibuku juga tidak lagi bimbang dengan keadaanku,” ujar Cempaka Suri seraya melepaskan pelukannya. “Dia berkirim salam denganmu.”

“Salam kembali ke atasnya. Ibumu tahu hal sebenar?”

“Ya, daku telah ceritakan segala-galanya, termasuk tentang dirimu.”

“Baguslah jika begitu,” bicara puteri itu bersama ukiran senyum termanis di bibir. Dia membiarkan Cempaka Suri berlari mengelilinginya dengan riang.

Kemudian Cempaka Suri berhenti di depannya, lalu memindahkan kuntum cempaka dari celahan telinga ke telapak tangan.

“Lihat,” serunya tanpa menoleh ke arah puteri itu. Matanya merenung tepat kuntum cempaka di telapak tangannya, penuh fokus bersama senyum yang terpahat di hujung bibir. Tiba-tiba kuntum cempaka itu terapung-apung di udara, dan kemudian melayang gemalai mengikut rentak tari Sang Bayu.

“Sepertinya kau sudah bisa mengawal mimpimu tanpa rasa kekok,” puji Puteri Kenanga Mulya, bertumpang gembira dengan kemajuan Cempaka Suri. Dia tidak menyangka, dalam waktu yang singkat, Cempaka Suri mampu melakukannya. Sungguh, gadis itu terlalu istimewa.

“Tidak juga. Pernah suatu ketika daku ingin berjalan di atas air, tetapi usahaku tidak berhasil. Lencun pakaianku turut membasahi perbaringanku saat daku terjaga,” cerita Cempaka Suri diselangi dengan derai tawa. Kuntum cempaka melayang turun ke telapak tangannya lalu diselitkan kembali di celah telinga. Manis.

“Kau harus menepikan hukum alam tatkala bermimpi, dan yakin dalam segala kehendakmu. Dengan izin Tuhan, pasti kau beroleh kejayaan,” nasihat Puteri Kenanga Mulya memberi petua kepada Cempaka Suri.

“Ya, daku sedang berusaha ke arah itu,” balas Cempaka Suri penuh semangat, tidak seperti waktu pertama kali bersua muka dengan puteri itu. Dia bertambah yakin dengan dirinya, juga mimpi-mimpinya.

“Apa yang membuatkan kau datang bertemu denganku?” soal Puteri Kenanga Mulya sejurus. Dia dapat merasakan kedatangan gadis itu punya tujuan yang lebih penting daripada memperlihatkan layangan bunga cempaka.

Soalan itu membuatkan wajah Cempaka Suri dicoret sengih mencuit hati. Puteri Kenanga Mulya bisa membaca fikirannya, dan tugasnya bertambah mudah kerana puteri itu telah bertanya terlebih dahulu. Sememangnya dia berhajatkan sesuatu daripada puteri legenda itu, sesuatu yang belum ditemui jawabannya hingga detik itu.

“Ada sesuatu yang membuatkan hatiku berteman kemusykilan,” kata Cempaka Suri seraya memadamkan coretan sengih di wajahnya. “Daku tidak berpeluang bertanyakannya semasa pertemuan kita terdahulu.”

“Nyatakan kepadaku. Mungkin aku boleh membantu,” ujar puteri itu penuh keikhlasan.
Cempaka Suri mengumpul nafas di dada seraya benaknya menyusun perkataan yang bakal dilemparkan kepada puteri itu.

“Dalam mimpi pertamaku, daku bertemu dengan seorang anak lelaki, dan usiaku pada ketika itu turut sama dalam lingkungan usianya.” Cempaka Suri berhenti sejenak berhembus nafas. “Daku cuba bertemu kembali dengannya, tetapi daku gagal. Daku ingin tahu siapa anak lelaki itu. Adakah dikau tahu, wahai puteri?”

Puteri Kenanga Mulya tersenyum lagi, melewatkan jawaban yang sudah tersedia di benaknya.

“Aku tidak tahu gerangan namanya, tetapi aku tahu dia punya kaitan denganmu,” balasnya kemudian.

“Kaitan yang bagaimana?”

“Aku tidak tahu,” sahut Puteri Kenanga Mulya menggeleng.

“Tapi mengapa daku gagal bertemu lagi dengannya?” Cempaka Suri masih tidak berpuas hati. Wajahnya sedikit mencuka tanda hampa.

“Usah khuatir, kau akan bertemu lagi dengannya. Cuma sekarang aku merasakan anak lelaki itu berada di bawah satu lindungan magis yang menghalang mimpimu daripada bertemu dengannya,” jelas Puteri Kenanga Mulya lagi cuba memujuk jiwa berontak Cempaka Suri.

“Adakah magis itu bersifat baik atau jahat?”

“Itu juga di luar pengetahuanku.”

Cempaka Suri tertunduk lalu mengangguk-angguk. Wajahnya semakin sugul, namun dia tidak berhenti di situ sahaja.

“Jika benar dia punya kaitan denganku, bila agaknya daku berpeluang bertemu lagi dengannya?”

Senyum di bibir Puteri Kenanga Mulya menjadi tawar dengan pertanyaan itu. Dia tidak mahu memberi jawaban yang menghampakan. Namun dia tidak punya pilihan, dengan nada yang lembut dan memujuk, dia berbicara, “Pengetahuanku terbatas, wahai gadis. Yang Maha Mengetahui hanya Dia. Hanya Tuhan yang tahu.”



www.tips-fb.com