Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Ahmad Patria dan Roshfaizal

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Aku baru sahaja dipertemukan dengan satu bacaan oleh myownmind di blognya. Beliau begitu 'dengki' kepada aku kerana dua perkara: 1. Saudara Ahmad Patria memberikan mantera pelarisnya dalam Pendeta Gua Khayalan. 2. Ilustrasi kulit Pendeta Gua Khayalan adalah hasil tangan saudara Roshfaizal Ariffin.

Aku hanya tersenyum bila membaca coretan beliau. Sesungguhnya beliau tidak keseorangan, ramai juga yang berperasaan seperti beliau. Namun begitu aku tetap ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana membeli 'Sang Pendeta' yang kini sedang dalam pembacaannya.

Aku mengenali saudara Ahmad Patria (yang lebih mesra kupanggil Abang Pat) sejak di bangku sekolah lagi. Waktu itu, beliau hanya kukenali kerana novel bersiri fantasinya, Saga Artakusiad. Sehinggalah pada tahun 2002, barulah aku benar-benar mengenalinya dan bertemu beliau secara peribadi. Semuanya berlaku melalui artakus.net (sekarang artakus.my).

Pertemuan pertama membawa kepada pertemuan-pertemuan yang seterusnya. Aku sudah dikira sebagai peminat fanatiknya, dan beliau mula mengesan bakat penulisanku apabila membaca cerpen sains fiksyen yang aku tulis sewaktu di sekolah menengah. Dari detik itu, dia mengesyorkan agar aku tidak mensia-siakan bakat yang aku miliki.

Pada mulanya, aku tidak begitu yakin bagi menulis sebuah novel. Namun keyakinan itu hadir juga setelah kali kedua cerpen fiksyen sains yang aku tulis menggondol tempat pertama dalam Pertandingan Cereka Sains Kebangsaan (1996 dan 2005). Bermula detik itulah lahirnya manuskrip Hikayat Lang Surya, yang kini menjadi trilogi Kembara Lang Surya.

Sewaktu manuskrip ditolak oleh penerbit-penerbit novel (termasuk PTS sendiri), Abang Pat adalah insan yang tidak jemu memberi motivasi. Dia membaca manuskrip tersebut dan mencadangkan agar cerita itu dipecahkan kepada tiga buku menjadi trilogi. Pada masa yang sama, dia turut menurunkan ilmu-ilmu berguna dalam bidang penulisan secara formal dan tidak formal kepadaku.

Aku menerima pakai cadangan beliau. Bukan sekadar memecahkan manuskrip tersebut kepada tiga bahagian, namun turut mengolah semula jalan ceritanya supaya lebih banyak konflik dan lebih dramatik. Hasilnya, lahirlah siri pertama Kembara Lang Surya, 'Sang Pendeta'.

Bagi peminat komik dan ilustrasi tanahair pasti mengenail Rosh, atau nama sebenarnya Roshfaizal Ariffin. Aku mengenali beliau juga melalui artakus.my. Di kalangan warga Aurora, beliau juga selalu digelar Karmawizrosh. Kerja tangan beliau mendapat perhatian Abang Pat dan Abang Pat bersetuju menjadikan beliau sebagai ilustrator bagi kulit depan buku ketujuh siri Saga Artakusiad, Legenda Numerius.

Selepas tamat pengajian diploma di MMU Melaka, aku meneruskan pengajian peringkat sarjana muda di MMU Cyberjaya pula. Pada minggu pertama persekolahan, aku menumpang di apartment yang di sewa oleh Rosh di Putrajaya, sementara menunggu permohonan menginap di asrama MMU diluluskan. Dalam seminggu itu, aku melihat sendiri bagaimana tangan kidal Rosh menzahirkan lukisannya yang dipaparkan melalui skrin komputer.

Apabila beliau mengetahui yang aku sudah menyiapkan manuskrip novel sulungku, beliau serta-merta menawarkan khidmat ilustrasi kulit depan kepada aku. Beliau berjanji akan memberikan ilustrasi terbaik untuk manuskrip yang pada awalnya ditolak berulang kali oleh penerbit-penerbit. Dan beliau adalah orang yang paling kecewa dan marah apabila mengetahui manuskrip bergenre fantasi ini ditolak oleh penerbit-penerbit hanya atas alasan - pembaca Melayu belum bersedia membaca novel bergenre fantasi.

Dari tahun ke tahun, Rosh menjadi semakin berjaya. Dari ilustrasi, beliau kini menceburi bidang kesan grafik dalam filem/drama. Beliau mempunyai studio kesan grafik dan animasi sendiri, dan studio yang berusia setahun jagung ini baru sahaja menggondol 'The Most Promising Startup Studio Award' pada majlis MSC Malaysia Kre8tif 2009.

Pada aku, Abang Pat dan Rosh adalah kenalan rapat, juga insan-insan yang tidak pernah jemu memberi nasihat, tunjuk ajar dan pertolongan kepada aku. Aku sangat beruntung dan bersyukur kerana jalan hidup aku berselisih dengan mereka. Jadi janganlah di'dengki'kan dengan penglibatan dua insan ini dalam Pendeta Gua Khayalan. :p

www.tips-fb.com