Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan: 10 Juta Pulu$

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


Aku sedang bertungkus lumus menyiapkan novel kedua, 10 Juta Pulu$, sebuah novel fantasi komedi. Ini adalah sedikit petikan daripada bab 6 novel tersebut.

*****


Katerina melangkah laju-laju masuk ke dalam ruang pejabatnya. Badannya dibongkokkan sedikit bagi merendahkan diri. Dia tidak mahu kemunculannya di pejabat pada hari itu disedari oleh Fahmi. Lelaki itu, semakin hari semakin miang terhadapnya. Dia bencikan keadaan itu.

Punggungnya baru sahaja dilabuhkan pada kerusi empuk apabila Fahmi tiba-tiba sahaja muncul dari sisi sambil tersengih. Barisan giginya tersusun elok, namun sedikit jongang di bahagian atas.

“Selamat pagi, Kate.”

“Pagi,” balas Katerina acuh tidak acuh, namun sempat mengukir senyum terpaksa. Dia mengeluarkan kertas-kertas kerjanya sebelum menghidupkan skrin komputernya di atas meja.

“Wangi awak pagi ini.” Fahmi masih mencuba. “Dari jauh saya dapat hidu keharuman awak.”

Katerina menarik muka. Dia malas mahu melayan gelagat Fahmi namun hatinya tertanya-tanya, adakah hari-hari sebelum ini badannya berbau busuk?

Fahmi mendiamkan diri buat seketika, hanya barisan gigi yang masih berkata-kata. Akalnya ligat mencari ayat baru bagi diucapkan kepada Katerina. Detik demi detik berlalu, malangnya ayat seterusnya masih belum dapat ditemukan. Akhirnya dia terpaksa menutup barisan giginya yang semakin sejuk dihembus udara dingin dari pendingin hawa.

“Apa yang awak mahu sebenarnya?” tanya Katerina kemudian. Dia ingin segera menghilangkan wajah Fahmi dari mejanya.

“Err.. tentang Konsortium Cekik Darah.”

“Ada berita terbaru?”

“Lebih kurang.” Barisan gigi kembali tertayang.

“Mengenai apa?”

“Konsortium Cekik Darah mempunyai saingan daripada dua syarikat lain di Metro Utama. Ada ura-ura mengatakan mereka dikhianati oleh saingan mereka hingga membawa kepada kemuflisan,” jawab Fahmi bersemangat. Dia menghulurkan beberapa helai kertas kepada Katerina.

“Apa ini?”

“Porfolio ringkas mengenai salah satu syarikat saingan Konstium Cekik Darah.”

“Syarikat yang satu lagi?”

“Ada pada saya. Saya mahu awak siasat syarikat ini. Syarikat yang satu lagi, biar saya yang siasat,” balas Fahmi sambil mengenyitkan mata. Katerina buat-buat tidak nampak. Dia memeriksa secara ringkas porfolio yang berada di tangannya.

“Baiklah, saya akan siasat,” ujar Katerina. Dia begitu mengharap agar Fahmi lekas pergi dari mejanya.

Malangnya Fahmi tidak berganjak. Katerina memandang wajah rakan pejabatnya itu. Fahmi masih berdiri menyengih memandangnya.

“Ada apa-apa lagi?” tanya Katerina tegas.

“Err.. ada!”

“Apa dia?”

Fahmi menyeluk ke dalam poket seluarnya. Kemudian dia menarik semula tangannya. Sesuatu berada dalam genggaman tangannya.

Katerina tertanya-tanya.

“Ini untuk awak,” kata Fahmi sambil meletakkan sebiji gula-gula oren ke atas meja Katerina. “Selamat bersarapan!”

Katerina terpinga-pinga. Pandangannya bersilih ganti antara gula-gula oren dan kelibat Fahmi yang beredar daripada mejanya.

‘Huh, tidak romantik langsung!’

www.tips-fb.com

Ampuni Aku, Tuan Editor!

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Hal kerja yang menimbun sejak akhir-akhir ini membuatkan aku tidak punya banyak masa untuk mencoretkan sesuatu di sini. Dalam pada itu, aku juga sedang menulis sebuah novel fiksyen sains dan fantasi berunsurkan komedi/humor bertajuk 10 Juta Pulu$ dan juga sebuah skrip filem fantasi yang masih belum bertajuk. Oleh itu, masa begitu mencemburui aku.

Secara ringkas, 10 Juta Pulu$ menceritakan tentang dua orang sahabat yang teraniaya kerana dikehendaki membayar 10 juta pulus kepada kerajaan sebagai pembiayaan perang persekutuan. Mereka bertemu seorang vampira (anak saudara kepada Pengiran Drakula) yang tidak menghirup darah, sebaliknya hanya dahagakan jus tomato! Bersama-sama vampira itu, mereka bertiga mencari jalan bagi membayar 10 juta pulus kepada kerajaan.

Cerita ini adalah idea asal saudara Ahmad Patria Abdullah. Manuskrip asal kisah ini bertajuk Pengembaraan Idriz, Zohok dan Pengiran Vincent. Manuskrip tersebut telah diberikan kepada aku pada tahun 2003. Beliau mahu aku mengolah cerita tersebut supaya watak-watak utama tidak melakukan dosa bagi mencapai matlamat mereka. Hanya selepas kemunculan Pendeta Gua Khayalan baru aku mula menyentuh kembali manuskrip ini. Namun atas faktor-faktor komedi dan komersil, manuskrip tersebut aku judulkan semula dan mengolah jalan ceritanya sebanyak 80 peratus bagi memenuhi permintaan beliau.

Proposal 10 Juta Pulu$ telah pun diluluskan oleh pihak PTS. Sehingga kini aku hanya berjaya menulis enam bab terawal. Nampak gayanya, tempoh sehingga akhir Januari yang diberikan oleh Vovin terpaksa dilangkah dengan 'buat-buat tak tahu'. Harapnya, mereka memahami kesibukan seorang pengaturcara bahasa Jawa seperi aku.

Ampuni aku, Tuan Editor!

www.tips-fb.com

Singapura Dilanggar Pendeta

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


Aku baru sahaja diberitakan, 'Sang Pendeta' kini ditempatkan di 21 rangkaian Pustaka Kebangsaan Singapura (
National Library Board of Singapore). 2 naskah ditempatkan di setiap perpustakaan di Bedok, Jurong, Tampines dan Woodlands, selebihnya senaskah di setiap perpustakaan yang lain.



Alangkah bagusnya jika 'Sang Pendeta' ditempatkan di semua perpustakaan tanahair.

www.tips-fb.com

Perjumpaan Editor-Penulis PTS Fortuna

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Sabtu, 9 Januari 2010, 1000-1230 GMT+8

Hasrat bermalas-malasan di atas katil pada hujung minggu terpaksa dilupakan kerana pada hari ini, ada satu perjumpaan antara editor-editor PTS Fortuna dengan penulis-penulis PTS Fortuna. Atas jemputan melalui email, aku turut serta bagi meramaikan majlis.

Dalam penerangan Vovin selaku penghulu di PTS Fortuna, selain fiksyen sains, fantasi dan thriller, 2010 bakal menyaksikan pertambahan genre-genre baru seperti humor, militari dan seram. Malah, PTS Fortuna juga bakal mengembangkan sasaran pembaca kepada remaja dan kanak-kanak dengan perancangan penerbitan novel kanak-kanak/remaja dalam genre-genre tersebut. PTS Fortuna juga bakal memperbanyakkan lagi penterjemahan buku-buku luar dalam genre-genre tersebut seperti yang telah dilakukan terhadap buku-buku karya John Grisham.

Dalam perjumpaan ini, aku mendapat sedikit maklumat tentang Pendeta Gua Khayalan. Sepanjang tahun 2009, Pendeta Gua Khayalan berjaya menduduki carta lima teratas dalam jumlah buku yang keluar dari gudang PTS (bagi buku-buku yang dikelolakan oleh PTS Fortuna). Pada aku, ianya satu pencapaian yang boleh dibanggakan kerana sepanjang 2009, 'Sang Pendeta' hanya berada di pasaran selama dua bulan terakhir (November dan Disember). Alhamdulillah syukur. Semoga prestasi ini berkekalan bagi tahun 2010.

Majlis ini juga menyaksikan terdapat satu tempoh perdebatan ilmiah khusus tentang Pendeta Gua Khayalan. Topik perdebatan menyentuh jalan cerita hingga ke ilustrasi muka hadapan. Ada pujian dan ada juga kritikan. Apa-apa pun, aku melihat perdebatan dan pendapat-pendapat yang dibincangkan dari sudut yang positif.

Aku menganggap inisiatif PTS Fortuna mengumpulkan penulis dan editor dalam satu majlis adalah satu usaha yang bagus. Apabila misi dan hala tuju PTS Fortuna dijelaskan, mudah bagi penulis merangka strategi penulisan atau pun sekurang-kurangnya memberi idea kepada penulis, genre novel yang bakal ditulis.

Nota: Agak gementar apabila Tuan Fauzul, salah seorang orang besar di PTS menggelar aku sebagai 'otai' penulisan fantasi. Sepertinya nama Masdalifadzlie kian dikenali di kalangan warga atasan PTS. Semoga pujian yang diterima semua pihak tidak membuatkan aku lalai dan meninggi diri. Amin.

www.tips-fb.com

Rayuan Pengikut Sang Pendeta

Filed under: , , by: Masdalifadzlie M Saaid


Semalam, adik aku yang bernama Dali Ainie memberikan satu pautan blog kepunyaan temannya. Rupa-rupanya, teman adik aku telah terkena panahan magis 'Sang Pendeta'. Mari kita baca ulasan (atau mungking rayuan) temannya itu.

****************
Guys.
Aku tahu korang semua sgt suka membaca kan?
Kalau tak takdenyalah korang nak singgah di blog2 orang meluangkan masa membaca repekan, carutan, dan makian2 semua orang. Maka, aku ada sebuah novel untuk korang melampiaskan nafsu serakah membaca korang yang aku rasa sgt worth it lah! jangan risau kalau korang sangat malas membaca pun korang akan rasa high orgasmic jika korang baca novel ni. Percaya lah aku pun seorang yang pemalas tahap nyawa2 ikan kena kelar kalau disuruh membaca novel. Tengok ajalah novel2 ramlee awang murshid yang rentap beli tu aku cuma baca dua chapter depan terus skip sampai chapter terakhir. Haha.


Kembara Lang Surya:Pendeta Gua Khayalan (rm 14, can get dari MPH or bookstore)
Ini lah novel dia. Sinopsis yang aku copy terus dari blog penulis dia:

Pendeta Gua Khayalan adalah novel pertama daripada trilogi Kembara Lang Surya (KLS). Kisah ini bertunjang pada tiga watak utama - Lang Surya, Rimau Seru dan Cempaka Suri, masing-masing dengan konflik tersendiri.

Konflik Lang Surya dengan ibunya menjadi topik utama. Setelah diusir oleh ibunya, dia bertekad mencari ayahnya, Lang Merah - bekas Laksamana Utama Indera Wangsa yang diyakini masih hidup walaupun ramai yang mengatakan ayahnya telah mati ditelan sihir Hutan Jardi. Dia percaya, ayahnya dapat menjernihkan kembali hubungannya dengan ibunya. Dari detik itu, bermulalah pengembaraan penuh magis dan teka-teki. Waizuri Rengga Api mencadangkan agar dia mencari seorang pendeta di pergunungan Tujupuri, bagi mendapatkan maklumat tentang ayahnya. Namun jalan yang memimpin ke arah pendeta itu tidaklah semudah yang dirancang. Godaan-godaan khayalan harus ditempuh sebelum dia bisa bertemu pendeta yang mendiami Gua Khayalan di Banjaran Tujupuri.

Rimau Seru adalah seorang pembunuh upahan yang setia pada prinsip yang unik. Setelah membunuh gurunya sendiri, dia mengembara ke seluruh Indera Wangsa bagi mencari sesuatu yang sangat diidamkan. Sewaktu di Indera Puspa, dia didatangi oleh seorang pengupah yang inginkan dia membunuh keluarga Lang Merah, tetapi Rimau Seru menolak upahan itu. Dia mahu meninggalkan dunia seorang pembunuh upahan. Seorang nenek tua di Indera Nila memberikan klu kepada pencariannya, dan dia bermati-matian mempertaruhkan nyawa bagi merebut pencariannya.

Cempaka Suri punya mimpi yang istimewa. Mimpinya adalah realiti, namun dia bisa berfantasi menggerakkan mimpi mengikut kemahuannya. Magis di dalam mimpi adalah senjata utamanya. Mimpi-mimpinya mempertemukan dia dan Lang Surya, yang menyimpan bunga cempaka pemberian Puteri Kenanga Mulya. Dia mengembara ke dalam mimpi bagi mendapatkan kembali bunga cempaka miliknya.

Plot demi plot menyatukan pengembaraan mereka hingga ditimpa musibah yang tidak terjangka. Dapatkah Lang Surya menembus godaan-godaan sepanjang perjalanan ke Gua Khayalan? Berjayakah Rimau Seru dalam pencariannya, juga meninggalkan pekerjaannya sebagai seorang pembunuh upahan? Mampukah mimpi-mimpi Cempaka Suri mengembalikan bunga cempaka miliknya? Apakah mereka bertiga lolos daripada malapetaka yang menimpa mereka?

Leraikan permasalahan ini dengan membaca KLS: Pendeta Gua Khayalan!

Bukan nak tipu tapi ini memang novel terbaik pernah aku baca. 2nd Konserto Terakhir la. Haha. Bayangkan, bangun tidur 7 pagi tak tahu nak buat apa grab buku ini pukul 830 pagi da abes da baca! Novel beb! Seriously bila baca buku ni terasa Lord of the Ring pun ada. Sedangkan LotR pun aku tak berapa minat tapi memang puas hati lah baca buku ni.

Harga pun berbaloi RM 14 je. Lepas aku habis baca buku ni aku rasa letak RM 35 pun takpe aku sanggup beli. Even korang berjiwa underground,rock, metal, hardcore, perogol, penjenayah, bapuk sekalipun aku jamin korang akan suka baca novel ni. Bes kaw sat. So, stop baca blog aku sekarang dan gi beli now now.haha.
Buku ni boleh dapat dekat MPH & Popular bookstore. dekat ENews.com pun ada rasanya. Info lanjut sila gi blog penulisnya dengan klik sini.

Betul ni. Please la baca. Tolong lah. Memang terbaik. (Siap merayu2 ni. Haha)

www.tips-fb.com

Ulasan Dari Rakan Penulis

Filed under: , , by: Masdalifadzlie M Saaid

Petikan ini diambil dari blog penulis Virus L, Suri Mawarne (bekas teman sepejabat di Putrajaya).

************

Akhirnya setelah beberapa bulan dan berganti tahun, akhirnya dapat juga saya mengkhatamkan buku pertama daripada siri Kembara Lang Surya ini. Bukan soal cerita yang kurang menarik ataupun halaman yang terlalu tebal, tetapi kerana terhenti dek tugasan lain dan seterusnya untuk mengumpulkan semangat menyambung kembali bacaan bukannya suatu perkara yang mudah.

Pertama kali membaca buku tulisan Masdalifadzlie ini, tidak dapat tidak, saya akan membandingkannya dengan komik-komik kepahlawanan Hong Kong seperti Pedang Setiawan, Pendekar Laut dan seumpamanya. Namun begitu, siri Kembara Lang Surya ini mampu berdiri sendiri dengan identiti mirip kepada dunia Melayu terutama pada penggunaan nama watak dan tempat.

Pendeta Gua Khayalan membawa pembaca menyelusuri perjalanan hidup Lang Surya daripada seorang kanak-kanak bertukar menjadi seorang pendekar. Kemudian, dalam pengembaraannya untuk menjejaki ayah yang hilang, Lang Surya dipertemukan dengan pelbagai watak seperti Cempaka Suri yang mempunyai magis, Rimau Seru yang mahir berpedang, waizuri kota serta ramai lagi.

Tidak sukar untuk menduga ke manakah hala tuju Lang Surya kerana penulis telah memberi satu hint yang sangat besar pada kulit buku. Namun begitu, permainan bahasa yang indah serta susunan peristiwa yang mendebarkan, menjadikan pembaca ingin terus membaca dan membaca. (Saya terkecuali kerana terhenti lama :D)

Buku pertama ini lebih kepada pengenalan watak-watak, Dunia Indera Wangsa, keadaan ekonomi serta iklimnya. Turut disertakan peta dunia Indera Wangsa sebagai rujukan.

Saya mengharapkan perjalanan Lang Surya akan menjadi lebih mencabar pada siri yang akan datang. Walaubagaimanapun, tahniah diucapkan kepada penulis, kerana berjaya menghasilkan novel yang sangat menarik ini!

www.tips-fb.com

Paling Laris

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid

Tatkala aku sedang berkerut dahi mencari penyelesaian masalah dalam bahasa pengaturcaraan Jawa (Java programming language), seorang bekas teman sepejabat di Putrajaya yang berketurunan Jawa tiba-tiba menegur melalui YM. Namanya Khirul, juga seorang pengaturcara bahasa Jawa seperti aku. Walaupun kami berketurunan Jawa, kami hanya mampu menulis dan membaca dalam bahasa Jawa. Kami tidak punya kebolehan bertutur atau memahami pertuturan dalam bahasa Jawa.

Khirul memberitakan bahawa dia telah pergi bercuti ke Bukit Tinggi pada hujung minggu yang lalu. Beliau sempat singgah di Popular Bookstore di Jusco Bukit Tinggi dan sempat meninjau 'Sang Pendeta'. Ini adalah gambar yang diambil oleh beliau di sana.



Terkedu juga aku bila melihat gambar dikirimkan melalui teknologi MMS ini. Tidak pernah tersangka 'Sang Pendeta' ditempatkan di rak Paling Laris! Syukur Alhamdulillah..

Satu lagi berita gembira yang aku terima datang daripada Puan Nisah Haron yang mesra aku panggil Kak Nisah. Beliau adalah penulis novel prolifik tanahair dan kami sama-sama meminati karya Ahmad Patria Abdullah.

Beliau menghantarkan email memberitahu bahawa 'Sang Pendeta' kini dijual di kedai buku sesawangnya, www.ujanailmu.com.my. Jadi, bertambahlah satu lagi laman sesawang yang memberi khidmat menjual 'Sang Pendeta'. Terima kasih tidak terhingga buat Kak Nisah yang sudi menempatkan 'Sang Pendeta' di ujanailmu.

www.tips-fb.com

Reaksi Kepada Surat Untuk Puan Ainon

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Lebih kurang dua minggu yang lalu, Puan Ainon berkongsi surat yang diterima daripada saudara Amirul Hadi di blog beliau. Kemudian aku dapati Tuan Zamri Mohamad, orang bawahan Puan Ainon turut menyiarkan surat tersebut di blog dan juga facebooknya. Laman rasmi PTS di facebook juga turut memuatkan surat tersebut.

Pada aku isi surat tersebut lebih dahsyat daripada 'Sang Pendeta' yang aku tulis! Surat tersebut boleh dibaca di sini.

Mari kita lihat apa komen reaksi daripada sebahagian pembaca ulasan Amirul Hadi. Di bawah ini adalah komen-komen yang terdapat di blog Puan Ainon.




Ini pula adalah komen-komen di facebook Tuan Zamri Mohamad.



Dan yang terakhir, adalah komen-komen di facebook PTS.



Bukankah ulasan Amirul Hadi lebih dahsyat daripada 'Sang Pendeta'?

www.tips-fb.com

Salam Dekad Baru 2010

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Dikesempatan ini aku ingin mengucapkan Salam Dekad Baru 2010 kepada semua pembaca 'Sang Pendeta' dan musafir-musafir yang sudi singgah di dunia Indera Wangsa ini. Seperi kebiasaan, tahun baru akan disertai dengan azam baru.

Azam lama sudah tercapai - menerbitkan 'Sang Pendeta'. Jadi tahun ini aku berazam menggandakan terbitan buku kepada dua judul - 10 Juta Pulu$ dan sambungan kepada 'Sang Pendeta' iaitu Duyung Pulau Kenchana atau timangannya 'Sang Duyung'.

Doakan sahaja aku punya kesihatan dan waktu bagi menulis dua buku tersebut dalam tahun ini. Jika 'tertulis' lebih daripada dua buku, itu dikira bonus! Insya'Allah.

www.tips-fb.com