Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan: 10 Juta Pulu$

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


Aku sedang bertungkus lumus menyiapkan novel kedua, 10 Juta Pulu$, sebuah novel fantasi komedi. Ini adalah sedikit petikan daripada bab 6 novel tersebut.

*****


Katerina melangkah laju-laju masuk ke dalam ruang pejabatnya. Badannya dibongkokkan sedikit bagi merendahkan diri. Dia tidak mahu kemunculannya di pejabat pada hari itu disedari oleh Fahmi. Lelaki itu, semakin hari semakin miang terhadapnya. Dia bencikan keadaan itu.

Punggungnya baru sahaja dilabuhkan pada kerusi empuk apabila Fahmi tiba-tiba sahaja muncul dari sisi sambil tersengih. Barisan giginya tersusun elok, namun sedikit jongang di bahagian atas.

“Selamat pagi, Kate.”

“Pagi,” balas Katerina acuh tidak acuh, namun sempat mengukir senyum terpaksa. Dia mengeluarkan kertas-kertas kerjanya sebelum menghidupkan skrin komputernya di atas meja.

“Wangi awak pagi ini.” Fahmi masih mencuba. “Dari jauh saya dapat hidu keharuman awak.”

Katerina menarik muka. Dia malas mahu melayan gelagat Fahmi namun hatinya tertanya-tanya, adakah hari-hari sebelum ini badannya berbau busuk?

Fahmi mendiamkan diri buat seketika, hanya barisan gigi yang masih berkata-kata. Akalnya ligat mencari ayat baru bagi diucapkan kepada Katerina. Detik demi detik berlalu, malangnya ayat seterusnya masih belum dapat ditemukan. Akhirnya dia terpaksa menutup barisan giginya yang semakin sejuk dihembus udara dingin dari pendingin hawa.

“Apa yang awak mahu sebenarnya?” tanya Katerina kemudian. Dia ingin segera menghilangkan wajah Fahmi dari mejanya.

“Err.. tentang Konsortium Cekik Darah.”

“Ada berita terbaru?”

“Lebih kurang.” Barisan gigi kembali tertayang.

“Mengenai apa?”

“Konsortium Cekik Darah mempunyai saingan daripada dua syarikat lain di Metro Utama. Ada ura-ura mengatakan mereka dikhianati oleh saingan mereka hingga membawa kepada kemuflisan,” jawab Fahmi bersemangat. Dia menghulurkan beberapa helai kertas kepada Katerina.

“Apa ini?”

“Porfolio ringkas mengenai salah satu syarikat saingan Konstium Cekik Darah.”

“Syarikat yang satu lagi?”

“Ada pada saya. Saya mahu awak siasat syarikat ini. Syarikat yang satu lagi, biar saya yang siasat,” balas Fahmi sambil mengenyitkan mata. Katerina buat-buat tidak nampak. Dia memeriksa secara ringkas porfolio yang berada di tangannya.

“Baiklah, saya akan siasat,” ujar Katerina. Dia begitu mengharap agar Fahmi lekas pergi dari mejanya.

Malangnya Fahmi tidak berganjak. Katerina memandang wajah rakan pejabatnya itu. Fahmi masih berdiri menyengih memandangnya.

“Ada apa-apa lagi?” tanya Katerina tegas.

“Err.. ada!”

“Apa dia?”

Fahmi menyeluk ke dalam poket seluarnya. Kemudian dia menarik semula tangannya. Sesuatu berada dalam genggaman tangannya.

Katerina tertanya-tanya.

“Ini untuk awak,” kata Fahmi sambil meletakkan sebiji gula-gula oren ke atas meja Katerina. “Selamat bersarapan!”

Katerina terpinga-pinga. Pandangannya bersilih ganti antara gula-gula oren dan kelibat Fahmi yang beredar daripada mejanya.

‘Huh, tidak romantik langsung!’

www.tips-fb.com