Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan $epuluh Juta Pulu$

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid

Petikan awal Bab 7.

************************


“PUTAR Alam Berhad?”

Portfolio di tangannya dibaca buat kali kedua. Dia tidak melihat sebarang keretakan pada syarikat itu yang boleh disangsikan, sebagai penyebab kemuflisan Konsortium Cekik Darah. Tambahan pula, pemilik syarikat tersebut adalah seorang dermawan berhati mulia.

Katerina cuba mencari maklumat tambahan dengan menggunakan internet. Namun seperti tadi, dia tidak bertemu dengan apa yang dicari. Hatinya bungkam. Dia mula bosan dengan tugasan tersebut.

Daripada mencari maklumat mengenai Putar Alam Berhad, dia mula menyimpang sari tugasan yang dipikul. Di dalam kotak carian, dia memasukkan nama kekasihnya sebagai kata kunci carian, ‘Vincent’. Sudah banyak kali dia mencari dengan menggunakan enjin carian di internet, tetapi seringkali hampa. Kali ini dia berharap lagi.

Satu jujukan keputusan carian menjelma di depan mata. Dia memilih salah satu daripadanya, dan dia membaca maklumat yang dipaparkan.

Vincent Chung atau nama komersilnya, Vince kini dikatakan sudah mempunyai kekasih baru. Juara Pusat Latihan Fantasi musim pertama ini dikatakan sedang hangat bercinta dengan seorang pelakon wanita tersohor tanahair, Lis Surihan. Namun itu semua hanya babak-babak dalam filem terbaru lakonan mereka, Aku Tak Marah.

Ah, lain yang dicari, lain pula yang ketemu!

************************


Salam Maulidur Rasul 1431H

www.tips-fb.com

Ulasan KLS - Pendeta Gua Khayalan

Filed under: , , by: Masdalifadzlie M Saaid


Ulasan kali ini dipetik dari blog Torpedo. Terima kasih saudara Torpedo yang sudi membaca dan memberikan ulasan yang mengharukan. Ada juga yang membuatkan aku tergelak membacanya. Semoga saudara Torpedo dan yang lain-lain sabar menantikan siri kedua Kembara Lang Surya - Duyung Pulau Kenchana.




Gambar. Memainkan seribu tarikan dalam membujuk nafsu si cacing buku untuk menyentuhnya. Dari mata jatuh ke tangan, setelah isi perutnya dilihat begitu menyelerakan, maka jatuhlah pula ia ke dalam taklukan hati. Tetapi itu semua tidak bermakna jika kocekmu menghadapi kemarau fulus, apatah lagi jika ia terus berlarutan di saat mehnah hidup yang menjerit-jerit dahagakan fulus untuk membiayai perjalanan hidupnya. Rantaian untaian di atas itulah yang telah merantai daku dalam kuderat mendapatkan salah satu penghias dan penyeri rak bukuku. Gambar itu terlalu menangkap dan begitu seni. Suka sungguh daku dengan karya itu.

Masa. Dipenuhi dengan segala lekuk-lekuk dan lopak-lopak gangguan yang terus saja memperlahankan perjalanan penghayatan daku ke atas keikhlasan Si Tua menghamparkan hikayat seribu takjub mitos bangsanya, Kembara Lang Surya. Maaf Si Tua, daku terpaksa mendengar ceritamu berselang-seli dengan tanggungjawabku yang perlu ditunaikan sebagai insan maujud ciptaan Allah Rabbul Jalil.

Alhamdulillah. Segala puji hanya untuk-MU. Dengan keizinan-NYA, Si Tua berjaya menghabisi satu dari tiga kisah ajaibnyanya kepadaku. Ceriteranya membuatkan daku terpana, khayalan tingkat tinggi boleh saja kuumpamakan, bukannya senandung Peterpan dari tanah Jawa itu. Helaian kisahnya disulam serta dijahit rapi dengan tarian bahasa nan indah. Tiada apa yang daku dapat semburkan dari gua celotehku melainkan perkataan ‘WO…W!! FUYOOOOH!!’. Ya, benar! Perkataan-perkataan yang tersembur itu selalu saja membangkitkan rasa cuak Si Tua yang sedang asyik menceritakan Kisah Lang Surya kepadaku.Sesungguhnya Si Tua itu tidaklah mengerti langsung apakah maksud-maksud perkataan itu kerana tiada pernah dia dengari perkataan seumpama itu di Indera Nila, Indera Sura, Indera Meru mahupun seluruh bumi Indera Wangsa yang sudah dijejakinya.

Cantik. Itulah perkataan yang terbit dari kalbuku setelah beberapa helai kisah ini telah ku hayati. Cantik sungguh suasana Cempaka Suri mengapungkan bunga Cempakanya diatas telapak tangan. Cantik sungguh rupa indah Kota Indera Nila dan Kota Indera Sura yang digambar-haluskan Si Tua dengan arahan Masdalifadzlie M. Saaid. Cantik sungguh detik-detik Jurus Melibas Salju dimain oleh Rimau Seru bagi membunuh Singa Tama. Cantik sungguh bangunan-bangunan yang dibangunkan dengan bahan binaan dari cebisan-cebisan khayalan Masdalifadzliee M. Saaid. Cantik sungguh Pustaka Negeri yang dikunjung oleh Cempaka Suri bagi mencicip segala pengetahuan mengenai Puteri Kenanga Mulya. Cantik sungguh Cempaka Suri, heheheh!

Oh.. Daku sudah ,melalut..

Marah. Itu yang daku rasakan apabila Si Tua memberhentikan seketika kisah ajaibnya itu di kala asyik sudah menguasai diri ini. Mahu saja daku menggeleteknya sehingga pengsan kerana memperlakukan diriku sedemikian rupa. Sampai hati, sampai jantung. Namun, apakan daya apabila Si Tua itu berkata demikian ‘ Nak buat camna, Masdalifadzlie suruh aku berhenti takat ni. Ni novel dia. Sat lagi aku melawan, dia ganti aku dengan orang lain pulak. Hang pi balik dulu. Nanti aku sambung lain’. Terpaksalah daku akur kepada kehendaknya. Singkat sungguh ceriteranya kurasakan.

Lari. Apa yang lari? Kudaku lari gagah berani? Oh bukan. Penghayatanku lari apabila tiba-tiba Si Tua berpatah balik menemuiku yang baharu sahaja menghidupkan Honda bulatku bagi berangkat pergi. Dia berpatah balik semata-semata mahu menceriterakan kepadaku beberapa rahsia mengenai kisah ajaibnya itu. Rahsia-rahsia ini dinamakan sebagai Suntingan Editor. Hatiku digigit geli lucu apabila mendengar rahsia-rahsia ini. Dalam ruang waktu yang sama juga hatiku dicuit rasa ganggu yang begitu memberatkan. Terganggu kerana ia betul-betul menghancurkan penghayatanku terhadap Hikayat Lang Surya itu. Sampai hati sungguh si Tua ini.

Akhir kalam, maafkan daku jika sulaman bahasaku melangit beza dari tulisan-tulisanku yang sudah dilambuh senja. Jangan salahkan daku, salahkanlah Masdalifadzlie M. Saaid. Aku juga begitu ternanti-nanti akan dua dari tiga khayalannya yang tidak tahu bilakah akan dipersembahkan. Selamat Maju Jaya saudara Masdalifadzliee M. Saaid!

www.tips-fb.com

10 Juta Pulu$ menjadi $epuluh Juta Pulu$

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


Ilustrasi nukilan Rosh.

www.tips-fb.com

Godaan 10JP: Oki-Doki Yang Comel

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid



Petikan daripada bab 9

IDRIZ terduduk di atas sofa di ruang tamu. Keletihan menyelinap ke segenap otot dan sendi. Tenaganya baharu sahaja digunakan bagi mengangkat keranda Pengiran Vincent dari besmen bangunan ke dalam rumah pangsapurinya. Dia tidak menyangka keranda itu sungguh berat.

Pengiran Vincent membongkok di sisi kerandanya yang tertutup, diperhatikan oleh Zohok yang tercegat di sampingnya. Idriz juga memerhatikan gelagat lelaki vampira itu. Nafasnya masih keras menarik udara segar, dengan harapan dapat menawarkan kelesuan yang berbisa.

Tangan Pengiran Vincent menjangkau ke pintu keranda lalu membukanya. Dia terhenti sejenak dan kemudian mengeluh dengan perlahan.

“Ah, kerandaku yang selesa,” katanya seperti berbisik.

Idriz dan Zohok sedar bahawa Pengiran Vincent sangat sayangkan kerandanya. Terasa keranda itu seperti rumah baginya. Kemudian Pengiran Vincent menghulurkan tangannya ke dalam keranda lalu mengeluarkan dua biji bantal.

“Zohok, tolong pegang sebentar,” pintanya dengan nada riang.

Zohok mengambil bantal-bantal yang dihulurkan oleh pengiran itu tanpa bersuara. Pada wajahnya jelas terukir sebuah kehairanan. Sejenak kemudian matanya bertaut dengan mata Idriz. Ternyata Idriz juga sepertinya, hairan melihat bantal-bantal yang dimiliki Pengiran Vincent.

“Adakah vampira juga tidur menggunakan bantal?” soal Idriz dengan nada pelik. Nafasnya semakin lembut.

Pengiran Vincent berpaling ke arah Idriz lalu mengangguk. “Sudah tentu, sudah tentu. Satu bantal untuk alas kepala..”

“Dan yang satu lagi?” tanya Zohok pula memotong sambil mengangkat sebiji bantal.

“Bantal peluk,” jawab Pengiran Vincent dengan tenang. Sejurus dia menyambung kerjanya yang tertangguh.

“Oh..” Idriz dan Zohok mengeluh serentak. Pandangan mereka bertaut lagi.

Pengiran Vincent terus mengeluarkan barang-barangnya dari dalam keranda. Kemudian dia menghulurkan sebuah teddy bear yang besar kepada Zohok.

“Temanku sewaktu kesunyian,” jelas Pengiran Vincent ringkas sebelum sempat Zohok mengajukan soalan. Keningnya terangkat sedikit. Kemudian dia mengeluarkan pula beberapa tin jus tomato.

“Apa ini?” soal Zohok bertambah hairan.

“Catuan darurat,” ujar Pengiran Vincent.

Tiba-tiba Oki-Doki keluar dari dalam bilik rekaan melintas di hadapan mereka menuju ke komputer Idriz. Pengiran Vincent terperanjat besar dengan kemunculan Oki-Doki.

“Adakah itu toyol moden?” soal Pengiran Vincent curiga.

“Bukan. Itu bukan toyol. Itu robot,” balas Zohok acuh tidak acuh.

“Robot itu apa?” soal Pengiran Vincent lagi. Terlalu banyak perkara baru pada kurun ke dua puluh satu yang perlu dia pelajari.

“Robot juga sejenis komputer, cuma ianya berkebolehan untuk bergerak,” jelas Zohok menerangkan tanpa melepaskan pandangan pada Oki-Doki. “Namanya Oki-Doki,” sambung Zohok memperkenalkan robotnya kepada Pengiran Vincent.

“Robot itu ada nama?”

“Sudah tentu. Aku yang memberi nama itu. Comel, bukan?” kata Zohok tersengih. Pengiran Vincent mengangguk mengiyakan tanpa kerelaan.

Mereka bertiga kemudiannya hanya memerhatikan Oki-Doki dengan mata yang terkedip-kedip tanpa sepatah bicara.

Lampu merah di atas kepala Oki-Doki berkelip-kelip seraya panel di hadapan badannya terbuka. Kemudian tangannya yang kecil dan panjang menjulur keluar dari dalam panel itu. Tangannya terus memanjang menuju slot yang terdapat pada konsol komputer Idriz.
Idriz bingkas bangun.

“Zohok, apa yang Oki-Doki sedang lakukan?” tanya Idriz lalu mendekati robot itu. Robot itu seolah-olah tidak menghiraukan kehadiran Idriz ke sisinya.

“Entah,” balas Zohok sambil menggaru pinggangnya yang gatal seperti kera menggaru badan. Pengiran Vincent masih memakukan pandangan pada robot itu, yang pada sangkaanya adalah toyol moden.

Paparan pada skrin komputer Idriz berubah-ubah dengan laju buat seketika. Idriz menjadi bingung melihatnya, takut kalau-kalau komputernya pula dirosakkan oleh robot ciptaan Zohok. Zohok juga akhirnya bangkit mendekati Idriz, melihat Oki-Doki dari dekat. Pengiran Vincent juga meniru perbuatannya.

Sebentar kemudian perubahan paparan pada skrin komputer Idriz berhenti. Oki-Doki menarik kembali tangannya ke dalam panel. Idriz mendekatkan matanya pada skrin.

“Ini penyata akaunku!” teriak Idriz terperanjat.

Zohok dan Pengiran Vincent merapati Idriz dari belakang. Idriz membaca baki akaunnya.

“Seribu pulus? Baki akaun aku sebanyak seribu pulus?” teriak Idriz tidak percaya.
Zohok menolak Idriz ke tepi. Dia juga tidak percaya dengan kata-kata rakannya itu. Kemudian mereka berpandangan sesama sendiri. Sedetik kemudian mereka menjerit melompat dan berpelukan gembira. Pengiran Vincent hanya memerhatikan gelagat dua orang rakan itu dengan senyuman.

“Kita boleh jadi kaya!” Idriz meleraikan pelukan rakannya. Dia terus mendapatkan Oki-Doki yang masih berada di hadapan konsol komputernya. “Oki-Doki, lakukan apa yang kau lakukan sebentar tadi sekali lagi.”

Lampu berkelip, panel terbuka dan tangan Oki-Doki meluncur menuju ke slot konsol. Paparan skrin berubah-ubah lagi. Laju. Mereka menanti dengan penuh debar.

“Tahniah! Tidak sia-sia kau mencipta robot ini,” kata Idriz kepada Zohok. Dia menggenggam tangan Zohok dengan erat lalu menggoncang-goncangkannya dengan kuat. Zohok hanya menyengih bangga dengan pujian itu. Pengiran Vincent masih lagi tersenyum sambil mengurut-urut dagunya yang licin.

Tiba-tiba lampu di atas kepala Oki-Doki terpadam menandakan kerjanya sudah selesai. Paparan pada skrin juga menunjukkan penyata akaun Idriz. Idriz dan Zohok cepat-cepat mendekatkan muka mereka ke skrin nipis dengan harapan jumlah baki yang berganda.

“Negatif satu pulus?!” teriak mereka serentak.

Pengiran Vincent ketawa terbahak-bahak.

******************************************************

Aku ingin memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri keramaian Baca@LRT Februari atas sebab-sebab peribadi.

www.tips-fb.com

10 Juta Pulu$ di PWTC pada 28 Mac 2010

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Alhamdulillah, aku baru sahaja selesai menghantar pengesahan suntingan manuskrip 10 Juta Pulu$ (10JP) kepada pihak PTS Fortuna. Insya'Allah, 10JP akan masuk kilang cetak pada minggu hadapan.

Menurut Tuan Syafiq, 10JP akan dilancarkan bersama sebuah lagi novel komedi Karipap-Karipap Cinta (K2C) karya Vovin, atau nama sebenarnya Nazri M Annuar. Pihak PTS Fortuna kini dalam perancangan melancarkan 10JP dan K2C pada 28 Mac 2010, bertempat di PWTC ketika Pesta Buku Antarabangsa KL 2010 nanti.

Pada 28 Mac nanti, aku dan Vovin akan berada di majlis pelancaran yang pastinya bakal diwarnai dengan sedikit aktiviti terutamanya sesi menandatangan. Jadi kepada sesiapa yang teruja mendapatkan novel komedi dekad baru, jemput datang beramai-ramai ke PWTC pada 28 Mac nanti!

www.tips-fb.com

Puan Habshah Syorkan 'Sang Pendeta'

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


Puan Habshah bergambar bersama 'Sang Pendeta' sebagai kenang-kenangan.


'Sang Pendeta' mendapat rak istimewa di Popular Bookstore, Wangsa Walk.

www.tips-fb.com

Baca@LRT - 20 Feb 2010

Filed under: , , by: Masdalifadzlie M Saaid

Pada hari Sabtu, 20hb Februari 2010 nanti akan diadakan Kempen Baca@LRT kali kedua dengan tema sastera. Kempen ini mengajak orang ramai membudayakan buku di dalam LRT. Seperti kempen yang pertama pada Januari lalu, aktiviti dimulakan di stesen LRT Terminal Putra, Gombak pada kira-kira jam 10 pagi. Dari terminal tersebut, peserta akan menaiki LRT ke stesen Kelana Jaya, dan kemudiannya kembali semula ke stesen Terminal Putra.

Sepanjang perjalanan, peserta akan membaca buku yang dibawa. Untuk kempen kali kedua ini, pembaca digalakkan membaca buku berunsur sastera. Jika tiada buku sastera, peserta masih boleh membawa buku yang disukai. Maklumat lanjut boleh didapati di laman Facebook rasmi Baca@LRT.


Insya'Allah aku akan turut serta meramaikan lagi aktiviti ini. Aku akan membawa bersama 'Sang Pendeta', dan membacanya sepanjang perjalanan (penganjur beritahu boleh baca buku tulisan sendiri!).

Kemungkinan besar aku akan membawa beberapa stok 'Sang Pendeta' bagi sesiapa yang ingin membeli, dan bagi yang sudah memiliki 'Sang Pendeta', boleh mendapatkan tandatangan secara percuma pada hari tersebut.

Marilah sama-sama kita membudayakan buku di dalam LRT pada 20 Februari nanti!

www.tips-fb.com

Godaan: 10JP bhgn III

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


“Seseorang ingin berjumpa dengan tuan,” kata komputer itu dengan suara metalik yang mendatar.

“Siapa?” tanya Encik Gah-Gah dengan nada yang tinggi.

“Kirol,” balas komputernya ringkas.

“Suruh dia masuk,” ujar Encik Gah-Gah pendek.

Seketika kemudian pintu pejabat Encik Gah-Gah terbuka dan seorang lelaki yang kurus dan sederhana tinggi masuk ke dalam. Sebuah topi besar seperti topi koboi menutup kepalanya yang kecil dan bulat.

Wajahnya mencuba sedaya upaya untuk menjadi kecil dan bulat tetapi agak kurang berjaya. Dia memakai sebuah kemeja yang berwarna merah. Tali leher yang terlilit di tengkuknya juga berwarna merah. Sebuah kot berjalur menutup kemejanya dan dia memakai sepasang seluar berjalur yang berpadan dengan kotnya itu.

Kirol merupakan setiausaha organisasi FAZZ dan juga orang kanan Encik Gah-Gah. Pejabatnya terletak dalam sebuah bilik rahsia di sisi pejabat Encik Gah-Gah.

“Selamat petang, bos!” ucapnya sebaik tiba di depan pintu bilik pejabat bosnya, Encik Gah-Gah.

Encik Gah-Gah yang baru hendak menyambung bacaannya mendongak terkejut disapa secara tiba-tiba. Spontan dia membetulkan kaca mata yang bertenggek di atas hidungnya. Wajah orang kanannya kian jelas.

“Petang, Kirol. Kenapa dengan kamu? Termengah-mengah macam baru lepas lari pecut,” balas Encik Gah-Gah disusuli dengan pertanyaan. Suaranya tenang bersahaja, namun raut wajahnya menegang serius. Nyata dia tidak gemar diganggu pada waktu itu.

“Memang baru lepas memecut, bos!” sahut Kirol seperti tidak memahami perasaan bosnya pada ketika itu.

“Ada berita untuk aku?” soal Encik Gah-Gah sejurus. Dia memadamkan skrin bacaannya di atas meja. Dia tahu dan dia sudah lali dengan perangai Kirol. Jika Kirol berada dalam keadaan seperti sekarang, ertinya ada perkara penting yang ingin disampaikan.

“Ada dua berita, bos,” balas Kirol sambil menyuakan ibu jari dan kelingkingnya ke hadapan. Cara dia menunjukkan simbol ‘dua’ begitu unik. Encik Gah-Gah sudah maklum tentang itu. Jika di awal perkenalan dahulu, dia pasti terbahak-bahak mentertawakan aksi orang kanannya itu.

“Berita baik atau berita buruk?” soal Encik Gah-Gah lagi. Keningnya terangkat meninggi sedikit.

“Satu berita baik,” balas Kirol cepat-cepat seraya menunjukkan ibu jarinya. “Satu lagi berita buruk,” sambungnya dengan menaikkan jari kelingking pula.

“Aku mahu mendengar berita baik dahulu.” Encik Gah-Gah bertukar nada.

“Berita baiknya adalah berkenaan Konsortium Cekik Darah. Mereka diisytiharkan muflis sebentar tadi,” beritahu Kirol dengan hidung yang kembang kempis. Bibirnya mengukir sengih panjang hingga ke telinga.

“Aku sudah maklum tentang itu. Aku melihat berita sebentar tadi,” balas Encik Gah-Gah dengan nada yang datar, melemaskan kemeriahan di wajah Kirol. “Cuma aku inginkan kepastian...”

“Professor?” soal Kirol cepat-cepat. Wajahnya seperti mendapat nafas baru. Menjadi satu kegembiraan kepadanya jika dapat membaca apa yang difikirkan oleh bosnya, Encik Gah-Gah.

“Ya. Adakah kemuflisan Cekik Darah disebabkan oleh Professor?” soal Encik Gah-Gah kemudian.

“Sudah tentu!”

“Bukti?”

“Ini buktinya,” sahut Kirol lalu menghulurkan cip memori kecil kepada bosnya. Encik Gah-Gah menyambut cip memori tersebut lalu dipadankan pada sisi terminal komputernya. “Failnya ada di dalam sampul Cekik Darah.”

“Komputer, sila buka fail di dalam sampul Cekik Darah,” arah Encik Gah-Gah sambil menghidupkan kembali skrin di atas meja. Lampu kecil menyala kehijauan di terminal dan berkelip-kelip.

“Maaf, tiada sampul bernama Cekik Darah.” Tiba-tiba komputer tersebut bersuara merungut. Encik Gah-Gah berpaling lalu melihat Kirol dengan ekor matanya.

“Eh, macam mana boleh tiada? Saya yakin saya simpan maklumat mereka di dalam sampul itu, bos!” kata Kirol membela diri.

“Komputer, namakan sampul-sampul yang berada di dalam cip memori,” arah Encik Gah-Gah kemudiannya. Lampu kecil sekali lagi menyala kehijauan di terminal dan berkelip-kelip.

“Ada tiga sampul di dalam cip memori. ‘Kirol Manja’, ‘Kirol Hangat’ dan ‘Cekik Dara’,” beritahu komputer sesaat kemudian. Encik Gah-Gah kembali menjeling Kirol.

“Oh, saya tersalah taip – kurang satu huruf. Ehee...” Kirol menyengih setelah menyedari kesilapannya.

“Komputer, buka fail di dalam sampul Cekik Dara.”

Dalam masa sedetik, paparan fail yang dibuka terpancar di skrin komputer Encik Gah-Gah. Encik Gah-Gah memerhatikan angka-angka yang tercatit dengan teliti. Dia mengurut-urut dagunya yang licin. Keningnya terturun dan bercantum, menyebabkan satu lapisan kerut terbentuk di dahinya.

“Kah! Kah! Kah!”

Tiba-tiba Encik Gah-Gah tertawa terbahak-bahak membuatkan Kirol membeliakkan mata terkejut. Spontan dia menekup dadanya dengan telapak tangan kerana dirasakan jantungnya seperti hendak terkeluar. Dua saat kemudian baru dia menyedari kegembiraan yang bersarang dalam dada bosnya.

“Gah! Gah! Gah!” Kirol turut tertawa menyertai kegembiraan Encik Gah-Gah. Malah dia bercekak pinggang seperti sengaja mahu menunjukkan kemeriahan yang berniat jahat.

Namun tindakannya itu membuatkan Encik Gah-Gah memberhentikan tawanya secara mendadak. Matanya merenung tajam wajah Kirol. Kirol pula menyedari hal itu dan sedikit demi sedikit memperlahankan tawanya, “Gah... gah... gah...”

Apabila tawanya habis, yang tinggal hanyalah barisan gigi yang kuning di sebalik satu leretan sengih.

“Maafkan saya, bos. Memang saya ketawa begitu,” kata Kirol bernada kecut. Pundi kencingnya bagai diramas-ramas pada ketika itu.

“Beritakan hal yang kedua!”

www.tips-fb.com

Godaan: 10JP bhgn II

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


Alhamdulillah, aku baru sahaja selesai menyiapkan novel fiksyen sains dan fantasi komedi berjudul 10 Juta Pulu$ (10JP). Novel ini khabarnya bakal dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa KL 2010 pada bulan Mac nanti.

Sebagai hadiah untuk pembaca setia, ini adalah godaan kedua yang diambil daripada bab ke enam.

----------------------------------


Zohok cuba mengingat-ingat di mana dia meletakkan barang-barangnya, kerana di dalam peti simpanannya itu terletak sebuah tiub diod separa konduktor yang perlu bagi modifikasi Oki-Doki. Dia menghayun langkah, matanya merayap dari satu penjuru ke satu penjuru, mencari kedudukan peti simpanannya. Dia sudah lupa di mana letaknya peti itu.

Dalam keadaan matanya yang melilau itu, tiba-tiba pandangannya terhenti pada satu peti kayu yang besar. Di permukaan peti tersebut dipenuhi dengan ukiran bunga yang cantik. Panjangnya melebihi dua meter, diperbuat daripada kayu hitam yang kukuh. Di atas peti tersebut tertampal satu kertas yang sudah usang.

“JANGAN BUKA PETI INI. MAIN JAUH-JAUH!”

Zohok berkerut dahi buat seketika sejurus membaca amaran yang tertulis pada kertas itu. Dia memberanikan diri menghampiri peti itu. Semangat ingin tahunya semakin berkobar-kobar.

Zohok membaca lagi amaran itu, dan tiba-tiba dia tertawa sendiri.

“Lagi ditegah, lagilah aku mahu buat!” ujarnya bersama dekahan kecil. Dia mengoyakkan kertas amaran itu.

Dia memerhatikan peti tersebut lebih dekat. Kemudian tawanya berhenti perlahan-lahan menjadi senyum, dan akhirnya senyum itu juga turut mati dalam tanda tanya. Peti itu bukan sebarang peti!

Tanpa disedari, dia berundur langkah setapak.

Keranda? Benarkah peti itu sebuah keranda?

Zohok terkejut besar. Matanya membulat tanpa kerdip. Jantungnya mula berdegup dengan kencang. Bunyi jantung memukul dadanya seolah-olah dapat didengar ke seluruh besmen seperti gendang perang. Tapak tangannya mula kesejukan. Kakinya bergegar kecil tapi laju. Bulu roma di tengkuk sudah lama berdiri.

Dengan hati-hati dia merapati kembali keranda itu. Siapakah yang menyimpan keranda di dalam besmen bangunan? Keranda siapa?

Zohok tercegat memerhatikan keranda itu buat beberapa ketika. Kemudian gigilnya semakin menjadi-jadi lalu dia pun berpaling. Tanpa membuang masa lagi dia pun kembali melangkah. Keranda itu bukan urusannya.

“Kreeoookk!”

Tiba-tiba sebuah bunyi yang aneh memecahkan keheningan suasana besmen. Kaki Zohok tertanam ke lantai. Bulu romanya meremang seluruh badan.

‘Bunyi apa itu?’ bisik hatinya dengan rasa takut. Kemudian dia menguasai kembali dirinya dan terus menyambung langkah.

“Kreeoookk!”

Bunyi itu kedengaran lagi. Zohok menoleh ke belakang. Kelihatan penutup keranda hitam itu terangkat perlahan-lahan. Bulu kening Zohok melangit, sementara dagunya melendut ke bawah, menarik mulutnya terbuka. Ketakutan yang tidak mengenal waras mula mencengkam dirinya.

Keranda hitam itu terbuka.

Zohok menyaksikannya. Dia melihat sebatang tangan berkulit pucat menolak pintu keranda hingga terbuka sepenuhnya. Dadanya dirasakan seperti mahu pecah akibat debaran yang semakin kuat.

Seorang lelaki tiba-tiba muncul dari dasar keranda, memperlihatkan tubuhnya yang tegap, juga sepasang gigi taring yang meruncing. Lelaki itu berumur kira-kira tiga puluh tahun dan berpakaian klasik ala barat, lengkap dengan kot dan sehelai kloak. Pakaiannya yang serba hitam berkontras dengan tali lehernya yang putih. Kloaknya pula merupakan sehelai kain panjang yang berwarna hitam di bahagian luar dan merah di bahagian dalamnya.

Lelaki itu memiliki wajah yang klasik seperti pakaiannya. Hidungnya sangat mancung sementara bibirnya pula sangat nipis. Bulu keningnya menghala ke atas dengan tajam, menirus menjolok dahinya dan kemudian mencuram kembali ke paras mata.

Rambutnya yang lurus dan panjang berkilat di dalam kesuraman cahaya lampu besmen, seperti di bubuh minyak dan disikat ke belakang dengan rapi. Sepasang cermin mata bertenggek pada pangkal hidungnya.

Dari sebalik cermin mata itulah sepasang mata yang merah melemparkan pandangan ke sekeliling. Tatkala Zohok memerhatikannya, lelaki tersebut sedang menggosok mata setelah dia menanggalkan cermin matanya.

Lelaki itu menguap panjang seolah-olah tidak puas menghela udara kusam di bilik itu.Kemudian dia menggeliat kepuasan. Cermin mata diangkat dan diletakkan kembali di atas hidung. Dia merenung ke arah Zohok yang masih terpukau oleh sihir yang dicipta dari ketakutannya.

Tanpa disangka, lelaki itu tersenyum melihatkan dirinya.

“Kurun yang ke berapakah ini?” tanya lelaki itu.

www.tips-fb.com