Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan: 10JP bhgn II

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


Alhamdulillah, aku baru sahaja selesai menyiapkan novel fiksyen sains dan fantasi komedi berjudul 10 Juta Pulu$ (10JP). Novel ini khabarnya bakal dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa KL 2010 pada bulan Mac nanti.

Sebagai hadiah untuk pembaca setia, ini adalah godaan kedua yang diambil daripada bab ke enam.

----------------------------------


Zohok cuba mengingat-ingat di mana dia meletakkan barang-barangnya, kerana di dalam peti simpanannya itu terletak sebuah tiub diod separa konduktor yang perlu bagi modifikasi Oki-Doki. Dia menghayun langkah, matanya merayap dari satu penjuru ke satu penjuru, mencari kedudukan peti simpanannya. Dia sudah lupa di mana letaknya peti itu.

Dalam keadaan matanya yang melilau itu, tiba-tiba pandangannya terhenti pada satu peti kayu yang besar. Di permukaan peti tersebut dipenuhi dengan ukiran bunga yang cantik. Panjangnya melebihi dua meter, diperbuat daripada kayu hitam yang kukuh. Di atas peti tersebut tertampal satu kertas yang sudah usang.

“JANGAN BUKA PETI INI. MAIN JAUH-JAUH!”

Zohok berkerut dahi buat seketika sejurus membaca amaran yang tertulis pada kertas itu. Dia memberanikan diri menghampiri peti itu. Semangat ingin tahunya semakin berkobar-kobar.

Zohok membaca lagi amaran itu, dan tiba-tiba dia tertawa sendiri.

“Lagi ditegah, lagilah aku mahu buat!” ujarnya bersama dekahan kecil. Dia mengoyakkan kertas amaran itu.

Dia memerhatikan peti tersebut lebih dekat. Kemudian tawanya berhenti perlahan-lahan menjadi senyum, dan akhirnya senyum itu juga turut mati dalam tanda tanya. Peti itu bukan sebarang peti!

Tanpa disedari, dia berundur langkah setapak.

Keranda? Benarkah peti itu sebuah keranda?

Zohok terkejut besar. Matanya membulat tanpa kerdip. Jantungnya mula berdegup dengan kencang. Bunyi jantung memukul dadanya seolah-olah dapat didengar ke seluruh besmen seperti gendang perang. Tapak tangannya mula kesejukan. Kakinya bergegar kecil tapi laju. Bulu roma di tengkuk sudah lama berdiri.

Dengan hati-hati dia merapati kembali keranda itu. Siapakah yang menyimpan keranda di dalam besmen bangunan? Keranda siapa?

Zohok tercegat memerhatikan keranda itu buat beberapa ketika. Kemudian gigilnya semakin menjadi-jadi lalu dia pun berpaling. Tanpa membuang masa lagi dia pun kembali melangkah. Keranda itu bukan urusannya.

“Kreeoookk!”

Tiba-tiba sebuah bunyi yang aneh memecahkan keheningan suasana besmen. Kaki Zohok tertanam ke lantai. Bulu romanya meremang seluruh badan.

‘Bunyi apa itu?’ bisik hatinya dengan rasa takut. Kemudian dia menguasai kembali dirinya dan terus menyambung langkah.

“Kreeoookk!”

Bunyi itu kedengaran lagi. Zohok menoleh ke belakang. Kelihatan penutup keranda hitam itu terangkat perlahan-lahan. Bulu kening Zohok melangit, sementara dagunya melendut ke bawah, menarik mulutnya terbuka. Ketakutan yang tidak mengenal waras mula mencengkam dirinya.

Keranda hitam itu terbuka.

Zohok menyaksikannya. Dia melihat sebatang tangan berkulit pucat menolak pintu keranda hingga terbuka sepenuhnya. Dadanya dirasakan seperti mahu pecah akibat debaran yang semakin kuat.

Seorang lelaki tiba-tiba muncul dari dasar keranda, memperlihatkan tubuhnya yang tegap, juga sepasang gigi taring yang meruncing. Lelaki itu berumur kira-kira tiga puluh tahun dan berpakaian klasik ala barat, lengkap dengan kot dan sehelai kloak. Pakaiannya yang serba hitam berkontras dengan tali lehernya yang putih. Kloaknya pula merupakan sehelai kain panjang yang berwarna hitam di bahagian luar dan merah di bahagian dalamnya.

Lelaki itu memiliki wajah yang klasik seperti pakaiannya. Hidungnya sangat mancung sementara bibirnya pula sangat nipis. Bulu keningnya menghala ke atas dengan tajam, menirus menjolok dahinya dan kemudian mencuram kembali ke paras mata.

Rambutnya yang lurus dan panjang berkilat di dalam kesuraman cahaya lampu besmen, seperti di bubuh minyak dan disikat ke belakang dengan rapi. Sepasang cermin mata bertenggek pada pangkal hidungnya.

Dari sebalik cermin mata itulah sepasang mata yang merah melemparkan pandangan ke sekeliling. Tatkala Zohok memerhatikannya, lelaki tersebut sedang menggosok mata setelah dia menanggalkan cermin matanya.

Lelaki itu menguap panjang seolah-olah tidak puas menghela udara kusam di bilik itu.Kemudian dia menggeliat kepuasan. Cermin mata diangkat dan diletakkan kembali di atas hidung. Dia merenung ke arah Zohok yang masih terpukau oleh sihir yang dicipta dari ketakutannya.

Tanpa disangka, lelaki itu tersenyum melihatkan dirinya.

“Kurun yang ke berapakah ini?” tanya lelaki itu.

www.tips-fb.com