Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan: 10JP bhgn III

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


“Seseorang ingin berjumpa dengan tuan,” kata komputer itu dengan suara metalik yang mendatar.

“Siapa?” tanya Encik Gah-Gah dengan nada yang tinggi.

“Kirol,” balas komputernya ringkas.

“Suruh dia masuk,” ujar Encik Gah-Gah pendek.

Seketika kemudian pintu pejabat Encik Gah-Gah terbuka dan seorang lelaki yang kurus dan sederhana tinggi masuk ke dalam. Sebuah topi besar seperti topi koboi menutup kepalanya yang kecil dan bulat.

Wajahnya mencuba sedaya upaya untuk menjadi kecil dan bulat tetapi agak kurang berjaya. Dia memakai sebuah kemeja yang berwarna merah. Tali leher yang terlilit di tengkuknya juga berwarna merah. Sebuah kot berjalur menutup kemejanya dan dia memakai sepasang seluar berjalur yang berpadan dengan kotnya itu.

Kirol merupakan setiausaha organisasi FAZZ dan juga orang kanan Encik Gah-Gah. Pejabatnya terletak dalam sebuah bilik rahsia di sisi pejabat Encik Gah-Gah.

“Selamat petang, bos!” ucapnya sebaik tiba di depan pintu bilik pejabat bosnya, Encik Gah-Gah.

Encik Gah-Gah yang baru hendak menyambung bacaannya mendongak terkejut disapa secara tiba-tiba. Spontan dia membetulkan kaca mata yang bertenggek di atas hidungnya. Wajah orang kanannya kian jelas.

“Petang, Kirol. Kenapa dengan kamu? Termengah-mengah macam baru lepas lari pecut,” balas Encik Gah-Gah disusuli dengan pertanyaan. Suaranya tenang bersahaja, namun raut wajahnya menegang serius. Nyata dia tidak gemar diganggu pada waktu itu.

“Memang baru lepas memecut, bos!” sahut Kirol seperti tidak memahami perasaan bosnya pada ketika itu.

“Ada berita untuk aku?” soal Encik Gah-Gah sejurus. Dia memadamkan skrin bacaannya di atas meja. Dia tahu dan dia sudah lali dengan perangai Kirol. Jika Kirol berada dalam keadaan seperti sekarang, ertinya ada perkara penting yang ingin disampaikan.

“Ada dua berita, bos,” balas Kirol sambil menyuakan ibu jari dan kelingkingnya ke hadapan. Cara dia menunjukkan simbol ‘dua’ begitu unik. Encik Gah-Gah sudah maklum tentang itu. Jika di awal perkenalan dahulu, dia pasti terbahak-bahak mentertawakan aksi orang kanannya itu.

“Berita baik atau berita buruk?” soal Encik Gah-Gah lagi. Keningnya terangkat meninggi sedikit.

“Satu berita baik,” balas Kirol cepat-cepat seraya menunjukkan ibu jarinya. “Satu lagi berita buruk,” sambungnya dengan menaikkan jari kelingking pula.

“Aku mahu mendengar berita baik dahulu.” Encik Gah-Gah bertukar nada.

“Berita baiknya adalah berkenaan Konsortium Cekik Darah. Mereka diisytiharkan muflis sebentar tadi,” beritahu Kirol dengan hidung yang kembang kempis. Bibirnya mengukir sengih panjang hingga ke telinga.

“Aku sudah maklum tentang itu. Aku melihat berita sebentar tadi,” balas Encik Gah-Gah dengan nada yang datar, melemaskan kemeriahan di wajah Kirol. “Cuma aku inginkan kepastian...”

“Professor?” soal Kirol cepat-cepat. Wajahnya seperti mendapat nafas baru. Menjadi satu kegembiraan kepadanya jika dapat membaca apa yang difikirkan oleh bosnya, Encik Gah-Gah.

“Ya. Adakah kemuflisan Cekik Darah disebabkan oleh Professor?” soal Encik Gah-Gah kemudian.

“Sudah tentu!”

“Bukti?”

“Ini buktinya,” sahut Kirol lalu menghulurkan cip memori kecil kepada bosnya. Encik Gah-Gah menyambut cip memori tersebut lalu dipadankan pada sisi terminal komputernya. “Failnya ada di dalam sampul Cekik Darah.”

“Komputer, sila buka fail di dalam sampul Cekik Darah,” arah Encik Gah-Gah sambil menghidupkan kembali skrin di atas meja. Lampu kecil menyala kehijauan di terminal dan berkelip-kelip.

“Maaf, tiada sampul bernama Cekik Darah.” Tiba-tiba komputer tersebut bersuara merungut. Encik Gah-Gah berpaling lalu melihat Kirol dengan ekor matanya.

“Eh, macam mana boleh tiada? Saya yakin saya simpan maklumat mereka di dalam sampul itu, bos!” kata Kirol membela diri.

“Komputer, namakan sampul-sampul yang berada di dalam cip memori,” arah Encik Gah-Gah kemudiannya. Lampu kecil sekali lagi menyala kehijauan di terminal dan berkelip-kelip.

“Ada tiga sampul di dalam cip memori. ‘Kirol Manja’, ‘Kirol Hangat’ dan ‘Cekik Dara’,” beritahu komputer sesaat kemudian. Encik Gah-Gah kembali menjeling Kirol.

“Oh, saya tersalah taip – kurang satu huruf. Ehee...” Kirol menyengih setelah menyedari kesilapannya.

“Komputer, buka fail di dalam sampul Cekik Dara.”

Dalam masa sedetik, paparan fail yang dibuka terpancar di skrin komputer Encik Gah-Gah. Encik Gah-Gah memerhatikan angka-angka yang tercatit dengan teliti. Dia mengurut-urut dagunya yang licin. Keningnya terturun dan bercantum, menyebabkan satu lapisan kerut terbentuk di dahinya.

“Kah! Kah! Kah!”

Tiba-tiba Encik Gah-Gah tertawa terbahak-bahak membuatkan Kirol membeliakkan mata terkejut. Spontan dia menekup dadanya dengan telapak tangan kerana dirasakan jantungnya seperti hendak terkeluar. Dua saat kemudian baru dia menyedari kegembiraan yang bersarang dalam dada bosnya.

“Gah! Gah! Gah!” Kirol turut tertawa menyertai kegembiraan Encik Gah-Gah. Malah dia bercekak pinggang seperti sengaja mahu menunjukkan kemeriahan yang berniat jahat.

Namun tindakannya itu membuatkan Encik Gah-Gah memberhentikan tawanya secara mendadak. Matanya merenung tajam wajah Kirol. Kirol pula menyedari hal itu dan sedikit demi sedikit memperlahankan tawanya, “Gah... gah... gah...”

Apabila tawanya habis, yang tinggal hanyalah barisan gigi yang kuning di sebalik satu leretan sengih.

“Maafkan saya, bos. Memang saya ketawa begitu,” kata Kirol bernada kecut. Pundi kencingnya bagai diramas-ramas pada ketika itu.

“Beritakan hal yang kedua!”

www.tips-fb.com