Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Godaan 10JP: Oki-Doki Yang Comel

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid



Petikan daripada bab 9

IDRIZ terduduk di atas sofa di ruang tamu. Keletihan menyelinap ke segenap otot dan sendi. Tenaganya baharu sahaja digunakan bagi mengangkat keranda Pengiran Vincent dari besmen bangunan ke dalam rumah pangsapurinya. Dia tidak menyangka keranda itu sungguh berat.

Pengiran Vincent membongkok di sisi kerandanya yang tertutup, diperhatikan oleh Zohok yang tercegat di sampingnya. Idriz juga memerhatikan gelagat lelaki vampira itu. Nafasnya masih keras menarik udara segar, dengan harapan dapat menawarkan kelesuan yang berbisa.

Tangan Pengiran Vincent menjangkau ke pintu keranda lalu membukanya. Dia terhenti sejenak dan kemudian mengeluh dengan perlahan.

“Ah, kerandaku yang selesa,” katanya seperti berbisik.

Idriz dan Zohok sedar bahawa Pengiran Vincent sangat sayangkan kerandanya. Terasa keranda itu seperti rumah baginya. Kemudian Pengiran Vincent menghulurkan tangannya ke dalam keranda lalu mengeluarkan dua biji bantal.

“Zohok, tolong pegang sebentar,” pintanya dengan nada riang.

Zohok mengambil bantal-bantal yang dihulurkan oleh pengiran itu tanpa bersuara. Pada wajahnya jelas terukir sebuah kehairanan. Sejenak kemudian matanya bertaut dengan mata Idriz. Ternyata Idriz juga sepertinya, hairan melihat bantal-bantal yang dimiliki Pengiran Vincent.

“Adakah vampira juga tidur menggunakan bantal?” soal Idriz dengan nada pelik. Nafasnya semakin lembut.

Pengiran Vincent berpaling ke arah Idriz lalu mengangguk. “Sudah tentu, sudah tentu. Satu bantal untuk alas kepala..”

“Dan yang satu lagi?” tanya Zohok pula memotong sambil mengangkat sebiji bantal.

“Bantal peluk,” jawab Pengiran Vincent dengan tenang. Sejurus dia menyambung kerjanya yang tertangguh.

“Oh..” Idriz dan Zohok mengeluh serentak. Pandangan mereka bertaut lagi.

Pengiran Vincent terus mengeluarkan barang-barangnya dari dalam keranda. Kemudian dia menghulurkan sebuah teddy bear yang besar kepada Zohok.

“Temanku sewaktu kesunyian,” jelas Pengiran Vincent ringkas sebelum sempat Zohok mengajukan soalan. Keningnya terangkat sedikit. Kemudian dia mengeluarkan pula beberapa tin jus tomato.

“Apa ini?” soal Zohok bertambah hairan.

“Catuan darurat,” ujar Pengiran Vincent.

Tiba-tiba Oki-Doki keluar dari dalam bilik rekaan melintas di hadapan mereka menuju ke komputer Idriz. Pengiran Vincent terperanjat besar dengan kemunculan Oki-Doki.

“Adakah itu toyol moden?” soal Pengiran Vincent curiga.

“Bukan. Itu bukan toyol. Itu robot,” balas Zohok acuh tidak acuh.

“Robot itu apa?” soal Pengiran Vincent lagi. Terlalu banyak perkara baru pada kurun ke dua puluh satu yang perlu dia pelajari.

“Robot juga sejenis komputer, cuma ianya berkebolehan untuk bergerak,” jelas Zohok menerangkan tanpa melepaskan pandangan pada Oki-Doki. “Namanya Oki-Doki,” sambung Zohok memperkenalkan robotnya kepada Pengiran Vincent.

“Robot itu ada nama?”

“Sudah tentu. Aku yang memberi nama itu. Comel, bukan?” kata Zohok tersengih. Pengiran Vincent mengangguk mengiyakan tanpa kerelaan.

Mereka bertiga kemudiannya hanya memerhatikan Oki-Doki dengan mata yang terkedip-kedip tanpa sepatah bicara.

Lampu merah di atas kepala Oki-Doki berkelip-kelip seraya panel di hadapan badannya terbuka. Kemudian tangannya yang kecil dan panjang menjulur keluar dari dalam panel itu. Tangannya terus memanjang menuju slot yang terdapat pada konsol komputer Idriz.
Idriz bingkas bangun.

“Zohok, apa yang Oki-Doki sedang lakukan?” tanya Idriz lalu mendekati robot itu. Robot itu seolah-olah tidak menghiraukan kehadiran Idriz ke sisinya.

“Entah,” balas Zohok sambil menggaru pinggangnya yang gatal seperti kera menggaru badan. Pengiran Vincent masih memakukan pandangan pada robot itu, yang pada sangkaanya adalah toyol moden.

Paparan pada skrin komputer Idriz berubah-ubah dengan laju buat seketika. Idriz menjadi bingung melihatnya, takut kalau-kalau komputernya pula dirosakkan oleh robot ciptaan Zohok. Zohok juga akhirnya bangkit mendekati Idriz, melihat Oki-Doki dari dekat. Pengiran Vincent juga meniru perbuatannya.

Sebentar kemudian perubahan paparan pada skrin komputer Idriz berhenti. Oki-Doki menarik kembali tangannya ke dalam panel. Idriz mendekatkan matanya pada skrin.

“Ini penyata akaunku!” teriak Idriz terperanjat.

Zohok dan Pengiran Vincent merapati Idriz dari belakang. Idriz membaca baki akaunnya.

“Seribu pulus? Baki akaun aku sebanyak seribu pulus?” teriak Idriz tidak percaya.
Zohok menolak Idriz ke tepi. Dia juga tidak percaya dengan kata-kata rakannya itu. Kemudian mereka berpandangan sesama sendiri. Sedetik kemudian mereka menjerit melompat dan berpelukan gembira. Pengiran Vincent hanya memerhatikan gelagat dua orang rakan itu dengan senyuman.

“Kita boleh jadi kaya!” Idriz meleraikan pelukan rakannya. Dia terus mendapatkan Oki-Doki yang masih berada di hadapan konsol komputernya. “Oki-Doki, lakukan apa yang kau lakukan sebentar tadi sekali lagi.”

Lampu berkelip, panel terbuka dan tangan Oki-Doki meluncur menuju ke slot konsol. Paparan skrin berubah-ubah lagi. Laju. Mereka menanti dengan penuh debar.

“Tahniah! Tidak sia-sia kau mencipta robot ini,” kata Idriz kepada Zohok. Dia menggenggam tangan Zohok dengan erat lalu menggoncang-goncangkannya dengan kuat. Zohok hanya menyengih bangga dengan pujian itu. Pengiran Vincent masih lagi tersenyum sambil mengurut-urut dagunya yang licin.

Tiba-tiba lampu di atas kepala Oki-Doki terpadam menandakan kerjanya sudah selesai. Paparan pada skrin juga menunjukkan penyata akaun Idriz. Idriz dan Zohok cepat-cepat mendekatkan muka mereka ke skrin nipis dengan harapan jumlah baki yang berganda.

“Negatif satu pulus?!” teriak mereka serentak.

Pengiran Vincent ketawa terbahak-bahak.

******************************************************

Aku ingin memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri keramaian Baca@LRT Februari atas sebab-sebab peribadi.

www.tips-fb.com