Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Ulasan KLS - Pendeta Gua Khayalan

Filed under: , , by: Masdalifadzlie M Saaid


Ulasan kali ini dipetik dari blog Torpedo. Terima kasih saudara Torpedo yang sudi membaca dan memberikan ulasan yang mengharukan. Ada juga yang membuatkan aku tergelak membacanya. Semoga saudara Torpedo dan yang lain-lain sabar menantikan siri kedua Kembara Lang Surya - Duyung Pulau Kenchana.




Gambar. Memainkan seribu tarikan dalam membujuk nafsu si cacing buku untuk menyentuhnya. Dari mata jatuh ke tangan, setelah isi perutnya dilihat begitu menyelerakan, maka jatuhlah pula ia ke dalam taklukan hati. Tetapi itu semua tidak bermakna jika kocekmu menghadapi kemarau fulus, apatah lagi jika ia terus berlarutan di saat mehnah hidup yang menjerit-jerit dahagakan fulus untuk membiayai perjalanan hidupnya. Rantaian untaian di atas itulah yang telah merantai daku dalam kuderat mendapatkan salah satu penghias dan penyeri rak bukuku. Gambar itu terlalu menangkap dan begitu seni. Suka sungguh daku dengan karya itu.

Masa. Dipenuhi dengan segala lekuk-lekuk dan lopak-lopak gangguan yang terus saja memperlahankan perjalanan penghayatan daku ke atas keikhlasan Si Tua menghamparkan hikayat seribu takjub mitos bangsanya, Kembara Lang Surya. Maaf Si Tua, daku terpaksa mendengar ceritamu berselang-seli dengan tanggungjawabku yang perlu ditunaikan sebagai insan maujud ciptaan Allah Rabbul Jalil.

Alhamdulillah. Segala puji hanya untuk-MU. Dengan keizinan-NYA, Si Tua berjaya menghabisi satu dari tiga kisah ajaibnyanya kepadaku. Ceriteranya membuatkan daku terpana, khayalan tingkat tinggi boleh saja kuumpamakan, bukannya senandung Peterpan dari tanah Jawa itu. Helaian kisahnya disulam serta dijahit rapi dengan tarian bahasa nan indah. Tiada apa yang daku dapat semburkan dari gua celotehku melainkan perkataan ‘WO…W!! FUYOOOOH!!’. Ya, benar! Perkataan-perkataan yang tersembur itu selalu saja membangkitkan rasa cuak Si Tua yang sedang asyik menceritakan Kisah Lang Surya kepadaku.Sesungguhnya Si Tua itu tidaklah mengerti langsung apakah maksud-maksud perkataan itu kerana tiada pernah dia dengari perkataan seumpama itu di Indera Nila, Indera Sura, Indera Meru mahupun seluruh bumi Indera Wangsa yang sudah dijejakinya.

Cantik. Itulah perkataan yang terbit dari kalbuku setelah beberapa helai kisah ini telah ku hayati. Cantik sungguh suasana Cempaka Suri mengapungkan bunga Cempakanya diatas telapak tangan. Cantik sungguh rupa indah Kota Indera Nila dan Kota Indera Sura yang digambar-haluskan Si Tua dengan arahan Masdalifadzlie M. Saaid. Cantik sungguh detik-detik Jurus Melibas Salju dimain oleh Rimau Seru bagi membunuh Singa Tama. Cantik sungguh bangunan-bangunan yang dibangunkan dengan bahan binaan dari cebisan-cebisan khayalan Masdalifadzliee M. Saaid. Cantik sungguh Pustaka Negeri yang dikunjung oleh Cempaka Suri bagi mencicip segala pengetahuan mengenai Puteri Kenanga Mulya. Cantik sungguh Cempaka Suri, heheheh!

Oh.. Daku sudah ,melalut..

Marah. Itu yang daku rasakan apabila Si Tua memberhentikan seketika kisah ajaibnya itu di kala asyik sudah menguasai diri ini. Mahu saja daku menggeleteknya sehingga pengsan kerana memperlakukan diriku sedemikian rupa. Sampai hati, sampai jantung. Namun, apakan daya apabila Si Tua itu berkata demikian ‘ Nak buat camna, Masdalifadzlie suruh aku berhenti takat ni. Ni novel dia. Sat lagi aku melawan, dia ganti aku dengan orang lain pulak. Hang pi balik dulu. Nanti aku sambung lain’. Terpaksalah daku akur kepada kehendaknya. Singkat sungguh ceriteranya kurasakan.

Lari. Apa yang lari? Kudaku lari gagah berani? Oh bukan. Penghayatanku lari apabila tiba-tiba Si Tua berpatah balik menemuiku yang baharu sahaja menghidupkan Honda bulatku bagi berangkat pergi. Dia berpatah balik semata-semata mahu menceriterakan kepadaku beberapa rahsia mengenai kisah ajaibnya itu. Rahsia-rahsia ini dinamakan sebagai Suntingan Editor. Hatiku digigit geli lucu apabila mendengar rahsia-rahsia ini. Dalam ruang waktu yang sama juga hatiku dicuit rasa ganggu yang begitu memberatkan. Terganggu kerana ia betul-betul menghancurkan penghayatanku terhadap Hikayat Lang Surya itu. Sampai hati sungguh si Tua ini.

Akhir kalam, maafkan daku jika sulaman bahasaku melangit beza dari tulisan-tulisanku yang sudah dilambuh senja. Jangan salahkan daku, salahkanlah Masdalifadzlie M. Saaid. Aku juga begitu ternanti-nanti akan dua dari tiga khayalannya yang tidak tahu bilakah akan dipersembahkan. Selamat Maju Jaya saudara Masdalifadzliee M. Saaid!

www.tips-fb.com