Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Jeumpa D'Ramo

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Esok dan lusa, 1hb dan 2hb Mei 2010, aku akan membuka gerai buku di bazar Jeumpa D'Ramo, Bangsar. Dengar cerita, bazar ini diadakan secara tahunan dan dianjurkan oleh Jeumpa D'Ramo sendiri.

Aku sendiri tidak pernah hadir ke bazar-bazar Jeumpa D'Ramo sebelum ini. Ini pun pertama kali tahu adanya bazar Jeumpa D'Ramo setelah seorang rakan lama di waktu sekolah menjemput aku membuka gerai buku. Beliau adalah salah seorang yang mengemudi perjalanan karnival kali ini.

Insya'Allah aku akan menjual buku-buku popular terbitan PTS, termasuk novel-novel aku (walaupun tidak termasuk dalam senarai 50 buku popular PTS) :p

Aku sebenarnya masih takut-takut dengan cubaan pertama untuk bergelar usahawan ini. Ini adalah peluang bagi aku mendapatkan pengalaman berguna.

Doakan karnival ini dapat memberikan sesuatu yang baik kepada aku. Dan jangan lupa jika berkesempatan, singgahlah di bazar Jeumpa D'Ramo pada esok dan lusa dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

nota: Godaan 'Sang Duyung' yang pertama seperti tiada sambutan. Wajarkah aku menghentikan godaan-godaan berikutnya?

www.tips-fb.com

Sayembara Menulis Novel Humor

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid



HADIAH
Hadiah Pertama: RM 5,000.00
Hadiah Kedua: RM 2,500.00
Hadiah Ketiga: RM 1,500.00
2 Hadiah Saguhati : RM 500.00 setiap satu.

SYARAT PENYERTAAN SAYEMBARA

1. Pertandingan dibuka kepada warganegara Malaysia sama ada bermastautin di Malaysia atau tidak kecuali staf PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd. dan anak-anak syarikatnya.
2. Tema sayembara ini adalah bebas namun hendaklah tidak menyentuh unsur-unsur politik yang keterlaluan, dan unsur-unsur moral yang kurang sesuai dengan budaya masyarakat majmuk Malaysia amnya.
3. Karya juga hendaklah menerapkan nilai-nilai murni dan pengajaran yang berkesan kepada pembaca.
4. Panjang manuskrip bagi novel humor mestilah tidak kurang daripada 40,000 patah perkataan.
5. Manuskrip yang dihantar mestilah ditaip di atas kertas A4 sebelah muka dengan jarak langkau dua baris dan berjilid kemas.
6. Peserta boleh menghantar lebih daripada satu manuskrip namun setiap peserta hanya layak menerima satu hadiah sahaja.
7. Judul karya hendaklah ditaip pada kulit naskhah.
8. Nama dan alamat peserta TIDAK BOLEH tertera pada manuskrip yang dikirim.
9. Karya mestilah asli, bukan saduran, adaptasi, penyesuaian atau apa-apa sahaja yang membawa pengertian karya itu bukan karya asli serta belum pernah tersiar/diterbitkan oleh mana-mana pihak.
10. PTS berhak menerbitkan manuskrip yang memenangi sayembara ini. Namun, bagi karya yang tidak memenangi hadiah layak dipertimbangkan untuk diterbitkan sekiranya bersesuaian.
11. PTS akan melantik mana-mana panel hakim yang difikirkan layak menghakimi sayembara ini. Keputusan panel hakim adalah muktamad.
12. Penyertaan yang lengkap hendaklah sampai kepada urus setia sebelum atau pada tarikh tutup penyertaan, iaitu pada 30 September 2010 dan dihantar kepada alamat yang berikut:

Urus Setia,
Sayembara Menulis Novel Humor PTS,
PTS Fortuna Sdn. Bhd.
12 & 12A, Jalan DBP,
Dolomite Business Park,
68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

Telefon: 03-6188 0316
Faks: 03-6189 1316
ataupun e-mel: ptsfortuna@pts.com.my / syafiq@pts.com.my

www.tips-fb.com

Sang Duyung Menggoda: Bab 1 - Bhg 1

Filed under: , , by: Masdalifadzlie M Saaid


Salam ke atasmu, wahai insan berjiwa luhur kekasih Tuhan.

Segala puji dan puja untuk Tuhan segenap semesta, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mencintai. Dialah yang menguasai detik-detik Hari Pembalasan, dan Dia juga yang memimpin kita kepada sebuah pertemuan.

Pencarian.

Sekiranya pertemuan ini dikau mulakan dengan sebuah pencarian, ingin sekali kutatangkan limpahan terima kasih buat dirimu. Panjatkanlah kesyukuran di atas karunia Tuhan yang mengizinkan kita terus bernafaskan pawana zuhud tiupan timur.

Daku tahu apa yang dikau kejari. Daku juga mengerti apa yang dikau dendamkan. Detik-detik kehadiranmu senantiasa kunantikan kerana janjiku tertulis untukmu bagi bersambung kisah legenda Lang Surya. Maafkan daku jika pencarianmu terpaksa merempuh debu-debu waktu yang menyesakkan jiwa dan kalbu.

Daku juga ingin menyulam bebenang ampun kerana ingatanku semakin hari semakin usang direputkan waktu. Pertemuan ini barangkali adalah pertemuan kita yang pertama, mungkin juga yang kedua – tidak dapat kuyakini dalam ingatanku. Maafkan daku.

Seperti yang kukatakan, pertemuan kali ini adalah tempat bagiku bersambung cetera yang tergantung, selayaknya pertemuan ini adalah pertemuan kita yang kedua. Seandainya ini adalah kali pertama dikau bersua denganku dan berahikan awalan kisah legendaku, suka bagiku menasihatkan dikau agar kembali mencari pertemuan kita yang terdahulu. Carilah, supaya perca-perca legenda yang kuturunkan ini terjahit cantik dari awal.

Bersandarlah pada dinding di ruang rehat mindamu, lepaskan segenap cengkaman yang melesukan urat dan saraf. Masukmu ke alamku bakal kupenuhi dengan legenda tanah asalku, sebuah negeri di zamin zirbad bergelar Indera Wangsa. Legenda ini telah lama kusimpan, telah lama kupendam. Ia menjadi kisah pembakar jiwa anak-anak muda yang diturunkan zaman berzaman dari generasi ke generasi. Semoga legenda ini terus bernyawa sesudah daku melepaskan sepenuhnya kepadamu kelak.

Sebelum daku bersambung ceritera, izinkan daku memberitakan kepadamu mengenai kewujudan sebuah kerajaan di timur Selat Nilasura, di sebuah pulau bernama Kenchanapura, salah satu daripada pulau-pulau di gugusan kepulauan Nilapura.

Lama sebelum tanah kayanganku menjadi sebuah negeri beraja, Kenchanapura didiami dan diperintah oleh makhluk Tuhan yang tidak terzahir pada pandangan mata. Jika di alam hidupmu, makhluk ini sering kali dikau laungkan dengan nama bunian.

Kewujudan mereka tidak pernah diketahui oleh sesiapa kerana kedudukan Kenchanapura yang terpencil, juga disebabkan penterjemahan rupa fizikal mereka yang halimunan. Kehadiran mereka seperti bayu segar yang membelai lembut wajahmu, tidak kelihatan namun dapat dikau rasakan.

Telusurilah waktu-waktu awal kebangkitan tamadun mereka, pasti dikau terpesona menjamah kehidupan suralaya dengan matamu. Rentak hidup mereka begitu teratur ditunjangi sistem pemerintahan beraja berhati marhaen, juga disokong oleh urusan ekonomi yang adil tiada unsur penindasan. Di kiri kananmu pula tertegak bangunan-bangunan halimunan yang indah seni binanya, melambangkan kemajuan ilmu yang melangkah zaman.

Namun apabila zaman berganti zaman, raja berganti raja, tamadun Kenchanapura menjadi alpa biarpun Tuhan menganugerahkan kemewahan kepada mereka. Raja, pembesar-pembesar istana dan bentara-bentara, juga para bangsawan kelas atasan dan menengah, khayal dimabukkan dunia – memijak kepala orang-orang bawahan dengan sewenang-wenangnya.

Keringat golongan marhaen yang kedana dikerah tanpa belas sebagai hamba. Ada juga yang dipaksa menjadi penglipur hati yang lara tanpa sebarang upah. Perempuan-perempuan pula dijadikan gundik dan disimpan sebagai pemuas nafsu. Pantang ada yang ingkar, pasti maut menanti. Kegilaan bagai tiada penghujung, menolak kemuliaan akal kurniaan Tuhan.

Ah, tinggalkan zaman itu. Daku tidak sanggup berkisah tentangnya kepadamu.

www.tips-fb.com

Ulasan: 10 Juta Pulu$

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


Ulasan ini diambil dari blog mantan rakan kantor, Fahmi Yunus. Terima kasih kerana sudi memberikan ulasan.

******
Salam semua.

Seperti dijanjikan, ulasan novel terbaru yang aku baca, "10 Juta Pulus". Ditulis oleh mantan rakan sepejabat yang juga seorang programmer macam aku.

Novel kedua hasil tangan beliau tidak mengecewakan. Tajuk 10 Juta Pulus (10JP) agak menarik. Wang, bagai nadi kehidupan setiap insan. Bagi sesetengah orang, wang adalah segalanya. Semua memerlukan wang. Dengan tajuk sebegitu, Masdalifadzlie dapat mengolah sebuah cerita yang sangat menarik.

Pontianak, pari-pari, robot dan konspirasi memenuhi novel ini. Gaya penulisan kali ini, lebih menggambarkan diri penulis sendiri. Banyak elemen kejutan yang tidak disangka, muncul tiba-tiba. Tahniah pada penulis yang bisa menggeletek aku dengan permainan bahasanya.

Dalam novel kali ini juga, tidak susah untuk aku menyelam masuk ke dalamnya. Watak-watak yang ada, terasa sangat-sangat hampir. Kirol yang menggelabah (diilhamkan daripada Khirul, rakan sepejabatku), bos syarikat akhbar Berita Cepat, Encik Syahir (mungkin diilhamkan dari bos tempat aku mencari rezeki? Hahaha!), Fahmi yang kacak tetapi gatal dan tidak romantik (katanya diilhamkan daripada aku?? Aku tidak romantikkah?). Putaran hidup harian aku di pejabat, memudahkan aku menghayati novel ini.

Perkara lain yang menambah perasa kepada 10JP adalah pertembungan dua zaman. Jarang aku dapat membayangkannya walau dalam filem. Vampira dan robot, dua watak yang tidak mungkin ada bersama. Penulis berjaya menterjemahkanya tanpa aku mempersoalkanya! Tahniah!

Heroin cerita ini pula berdarah pari-pari. Anda pernah menjumpainya dalam mana-mana terbitan Melayu? Serius aku tak pernah! Babak percintaan antara vampira dan pari-pari tidak mengganggu perjalanan cerita ini. Aku pun, bukan suka sangat baca buku novel romantik. Hahaha!

Secara keseluruhan, untuk 10JP, aku bagi 4.5 bintang. Buku berkualiti, isi yang menarik!

Tahniah penulis, anda memang hebat!

www.tips-fb.com

Duyung Pulau Kenchana

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


Sepanjang minggu lalu, aku menghabiskan masa-masa terluang dengan menulis plot-plot bagi dimuatkan dalam siri kedua novel Kembara Lang Surya. Seperti yang telah diberitakan, judul bagi novel ini adalah Duyung Pulau Kenchana atau timangannya 'Sang Duyung'.

Bermula semalam, baris-baris pertama dalam bab sulung telah pun siap ditulis. Doakan supaya aku sentiasa tidak kering idea ketika menulis. Insya'Allah aku juga akan memberikan godaan-godaan seperti novel-novel sebelum ini. Sehingga itu, nantikan dengan sabar kisah pengembaraan Lang Surya yang seterusnya.


www.tips-fb.com