Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Sang Duyung Menggoda: Bab 1 - Bhg 1

Filed under: , , by: Masdalifadzlie M Saaid


Salam ke atasmu, wahai insan berjiwa luhur kekasih Tuhan.

Segala puji dan puja untuk Tuhan segenap semesta, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mencintai. Dialah yang menguasai detik-detik Hari Pembalasan, dan Dia juga yang memimpin kita kepada sebuah pertemuan.

Pencarian.

Sekiranya pertemuan ini dikau mulakan dengan sebuah pencarian, ingin sekali kutatangkan limpahan terima kasih buat dirimu. Panjatkanlah kesyukuran di atas karunia Tuhan yang mengizinkan kita terus bernafaskan pawana zuhud tiupan timur.

Daku tahu apa yang dikau kejari. Daku juga mengerti apa yang dikau dendamkan. Detik-detik kehadiranmu senantiasa kunantikan kerana janjiku tertulis untukmu bagi bersambung kisah legenda Lang Surya. Maafkan daku jika pencarianmu terpaksa merempuh debu-debu waktu yang menyesakkan jiwa dan kalbu.

Daku juga ingin menyulam bebenang ampun kerana ingatanku semakin hari semakin usang direputkan waktu. Pertemuan ini barangkali adalah pertemuan kita yang pertama, mungkin juga yang kedua – tidak dapat kuyakini dalam ingatanku. Maafkan daku.

Seperti yang kukatakan, pertemuan kali ini adalah tempat bagiku bersambung cetera yang tergantung, selayaknya pertemuan ini adalah pertemuan kita yang kedua. Seandainya ini adalah kali pertama dikau bersua denganku dan berahikan awalan kisah legendaku, suka bagiku menasihatkan dikau agar kembali mencari pertemuan kita yang terdahulu. Carilah, supaya perca-perca legenda yang kuturunkan ini terjahit cantik dari awal.

Bersandarlah pada dinding di ruang rehat mindamu, lepaskan segenap cengkaman yang melesukan urat dan saraf. Masukmu ke alamku bakal kupenuhi dengan legenda tanah asalku, sebuah negeri di zamin zirbad bergelar Indera Wangsa. Legenda ini telah lama kusimpan, telah lama kupendam. Ia menjadi kisah pembakar jiwa anak-anak muda yang diturunkan zaman berzaman dari generasi ke generasi. Semoga legenda ini terus bernyawa sesudah daku melepaskan sepenuhnya kepadamu kelak.

Sebelum daku bersambung ceritera, izinkan daku memberitakan kepadamu mengenai kewujudan sebuah kerajaan di timur Selat Nilasura, di sebuah pulau bernama Kenchanapura, salah satu daripada pulau-pulau di gugusan kepulauan Nilapura.

Lama sebelum tanah kayanganku menjadi sebuah negeri beraja, Kenchanapura didiami dan diperintah oleh makhluk Tuhan yang tidak terzahir pada pandangan mata. Jika di alam hidupmu, makhluk ini sering kali dikau laungkan dengan nama bunian.

Kewujudan mereka tidak pernah diketahui oleh sesiapa kerana kedudukan Kenchanapura yang terpencil, juga disebabkan penterjemahan rupa fizikal mereka yang halimunan. Kehadiran mereka seperti bayu segar yang membelai lembut wajahmu, tidak kelihatan namun dapat dikau rasakan.

Telusurilah waktu-waktu awal kebangkitan tamadun mereka, pasti dikau terpesona menjamah kehidupan suralaya dengan matamu. Rentak hidup mereka begitu teratur ditunjangi sistem pemerintahan beraja berhati marhaen, juga disokong oleh urusan ekonomi yang adil tiada unsur penindasan. Di kiri kananmu pula tertegak bangunan-bangunan halimunan yang indah seni binanya, melambangkan kemajuan ilmu yang melangkah zaman.

Namun apabila zaman berganti zaman, raja berganti raja, tamadun Kenchanapura menjadi alpa biarpun Tuhan menganugerahkan kemewahan kepada mereka. Raja, pembesar-pembesar istana dan bentara-bentara, juga para bangsawan kelas atasan dan menengah, khayal dimabukkan dunia – memijak kepala orang-orang bawahan dengan sewenang-wenangnya.

Keringat golongan marhaen yang kedana dikerah tanpa belas sebagai hamba. Ada juga yang dipaksa menjadi penglipur hati yang lara tanpa sebarang upah. Perempuan-perempuan pula dijadikan gundik dan disimpan sebagai pemuas nafsu. Pantang ada yang ingkar, pasti maut menanti. Kegilaan bagai tiada penghujung, menolak kemuliaan akal kurniaan Tuhan.

Ah, tinggalkan zaman itu. Daku tidak sanggup berkisah tentangnya kepadamu.

www.tips-fb.com