Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Sang Duyung Menggoda: Bab 1 - Bhg 2

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


Seperti yang dijanjikan. Sang Duyung bersambung goda...

********


Segeralah dikau beranjak ke musim-musim terakhir kewujudan tamadun Kenchanapura. Mulakan langkahmu dengan melihat suasana pada hari kemangkatan raja tua yang ditangisi pembesar-pembesar istana, para bentara, juga para bangsawan kelas atasan dan menengah. Satu pemandangan yang tidak perlu dihairankan lantaran si raja tua ketika dadanya masih bernafas sering memenangkan mereka terhadap golongan marhaen.

Berlainan sekali suasananya andai dikau jejaki debu-debu usang di lorong-lorong gelap di perut kota. Lelaki-lelaki yang tidak pernah berbumbung duduk termenung di sepanjang laluanmu seperti selalu, namun perhatikan ukiran senyum yang terpahat pada bibir-bibir mereka. Amati juga sinar mata mereka yang berbintang seribu rancung, seolah-olah merayakan kemangkatan raja mereka.

Rasakan bayu perubahan yang bertiup dari segenap penjuru mata angin. Ringankan tubuhmu, dan biarkan diri melayang perlahan-lahan diterbangkan bayu revolusi tamadun Kenchanapura.

Patah tumbuh, hilang pasti berganti.

Si raja tua yang mangkat punya ramai anak, namun hanya seorang yang bergelar putera, dan putera itu adalah yang paling akhir. Seusai upacara pemakaman diraja, putera tersebut ditabalkan menjadi raja Kenchanapura yang baharu. Dan dikau dapat perhatikan tiupan bayu perubahan semakin deru menampar para pembesar dan bentara, juga para bangsawan kelas atasan dan menengah, sebaliknya mengulit mesra golongan marhaen.

Baginda raja dibesarkan dengan suduan perak bersadur emas, namun baginda tidak pernah hanyut dalam menongkah hidup sebagai makhluk ciptaan Tuhan. Baginda seorang yang pendiam dan penyabar. Pada hari-hari awal pemerintahannya, baginda hanya memerhatikan kesongsangan hidup para pembesar dan bentara, juga para bangsawan kelas atasan dan menengah. Detik-detik waktu dinantikan dengan penuh sabar.

Sehinggalah pada hari ke tujuh puluh tujuh pemerintahannya, apabila salah seorang pembesar istana membawa masuk seorang gadis ke balairong seri bagi dihadapkan ke muka baginda.

Dikau dapat mendengar pertuduhan yang dilemparkan oleh pembesar tersebut ke atas si gadis, bergendang keangkuhan dalam dabikan dada. Ujarnya gadis itu membunuh anak lelakinya, namun segera ditingkah si gadis dengan menyatakan anak pembesar itu cuba mencabul kehormatannya. Dia hanya mempertahankan diri hingga anak pembesar itu terbunuh dalam ketidaksengajaan.

Perhatikanlah wajah baginda yang hanya mendiamkan diri, bertimbang tara hukuman yang bakal dilontarkan. Mata baginda tidak lepas daripada memandang wajah si gadis. Perhatikan pula olehmu wajah pembesar itu yang tersenyum penuh yakin bahawa baginda raja pasti mengisytiharkan si gadis jatuh darjat menjadi hamba kepadanya.

Baginda raja bangkit dari semayamnya. Seluruh pasangan mata di dalam istana itu tertumpu pada reaksi baginda. Saat yang dinantikan kini tiba.

Hukuman dijatuhkan namun bukan ke atas gadis itu, sebaliknya ke atas si pembesar istana. Setiap hadirin di balai penghadapan menegaskan mata, seakan tidak percaya keputusan raja memihak kepada gadis itu.

Bermula detik itu, golongan yang punya harta dan nama semakin berhati-hati kerana jaminan raja tidak lagi berpijak di tanah mereka. Keadilan dan kesaksamaan yang dijunjung oleh raja membuatkan hati-hati mereka membengkak dan sakit, namun pada masa yang sama menghilangkan parut dan luka golongan marhaen hingga mampu melonjak kegembiraan.

Hati-hati mereka mula parah dan membusuk apabila raja meluahkan hasrat melamar si gadis yang teraniaya sebagai permaisuri. Dalam diam, rasa kurang senang para pembesar istana menghimpunkan mereka kepada satu perkumpulan. Hasrat murni baginda raja dijadikan pemangkin bagi mereka mengatur satu pemberontakan yang melakar sejarah dalam ketamadunan Kenchanapura.

Dikau melihat Kenchanapura yang terbahagi kepada dua. Satu pihak menentang raja yang diketuai oleh golongan pembesar istana. Penyokong mereka terdiri daripada para bentara, juga golongan bangsawan kelas atasan dan menengah. Manakala sebelah pihak lagi yang terdiri daripada golongan marhaen bersatu menyokong raja tanpa berbelah dan berbahagi.

Andai diberi pilihan, di manakah letaknya tapak dirianmu?

Usah dikau berdiri di tengah-tengah mereka, kerana pertembungan antara mereka begitu seru. Dalam keadaan terdesak, baginda raja mengisytiharkan darurat sepanjang sembilan puluh sembilan hari pemberontakan.

Tindakan baginda sedikit sebanyak berjaya melemahkan tunjang pemberontakan. Namun pada hari-hari terakhir pemberontakan, golongan pemberontak berjaya membunuh gadis lamaran baginda raja yang masih belum sempat menjadi permaisuri. Hal tersebut mengendong kemurkaan ke dalam dada baginda, yang akhirnya membawa kepada peraziaan puak pemberontak Kenchanapura.

Pemberontakan yang dilancarkan terkulai mati serta-merta, dan dengan penuh merah murka baginda raja menjatuhkan hukuman ke atas mereka. Mereka dihalau dari Kenchanapura dengan setiap seorang dicampak ke selat Nilasura satu demi satu.

Kesemua mereka terkapar-kapar timbul tenggelam, menjerit berminta nyawa menginsafi segala perlakuan mereka. Rintihan-rintihan sayu yang dilambung ombak menjemput rasa belas singgah di hati baginda.

Dengan jujuran air mata, baginda melepaskan sumpah daulat seorang raja. Atas sumpahan itu, kesemua mereka yang dahulunya pembesar-pembesar istana dan bentara-bentara, juga para bangsawan kelas atasan dan menengah bersalin rupa menjadi makhluk duyung yang zahir dipandang mata.

Dalam keajaiban suasana, dikau dapat mendengar baginda raja menyeru sekalian duyung agar menginsafi segala khilaf, juga melambungkan syukur kepada Tuhan yang memanjangkan usia nyawa mereka. Baginda juga bertitah agar diwujudkan sebuah kerajaan duyung di dalam perut Nilasura, yang hidup aman dan damai.

Setelah baginda raja pulang, duyung-duyung Kenchanapura berenang dalam tangisan menuju ke dasar selat Nilasura. Segala titah amanah baginda raja ditunaikan dan wujudlah sebuah kerajaan duyung Kenchanapura di selat Nilasura. Tiada lagi hasad yang menghasut dengki dalam hati mereka. Tiada lagi iri yang memendam dendam dalam jiwa mereka. Hidup mereka aman, damai dan sentosa.

Pulanglah.

Pulanglah dikau dari Kenchanapura dan kembali rapat ke sisiku. Tinggalkan Kenchanapura buat seketika kerana kini tiba masanya bagiku bersambung kisah legenda agung tanah asalku. Daku berjanji, legenda ini pasti membawamu semula ke Kenchanapura, asalkan dikau setia bersamaku hingga hujung pertemuan.

Kembalilah.

www.tips-fb.com

10 Juta Pulu$ di Harian Metro

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid






Selasa, tiba-tiba aku didatangi satu SMS dari Fahmi, kenalan sekerja di syarikat IT di Putrajaya. Katanya 10 Juta Pulu$ terpampang di dada Harian Metro, ruangan Ulat Buku. Bersama novel aku tersebut, dipaparkan juga novel humor PTS yang dilancarkan pada Pesta Buku baru-baru ini, Karipap-Karipap Cinta dan Stingarden.

Jadi pada hari itu, aku berpesan kepada tunang agar membeli Harian Metro (sebab aku baca surat khabar secara online sahaja). Dan di sebelah kiri ini adalah kenang-kenangan.

www.tips-fb.com

Hujung Minggu di SMK Sri Hartamas

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Pada hari Sabtu, 8hb Mei yang lalu, aku dan tunang membuka gerai buku-buku PTS di SMK Sri Hartamas sempena Hari Karnival PIBG sekolah tersebut. Kali ini, misi kami adalah menampal kerugian jualan pada minggu sebelumnya.

Kali ini juga, kami datang dengan strategi yang lebih tersusun. Memandangkan kami menjual buku di sekolah, maka kami memperbanyakkan buku-buku khusus untuk remaja, dan jumlah bagi setiap judul juga kami kurangkan. Berbanding 40 judul buku di Bangsar, di sini kami mempamerkan hampir 80 judul buku. Jadi pilihan pembaca lebih banyak.

Sebetulnya, bagi setiap buku yang terjual kami boleh mendapat untung 35 peratus. Namun kerana pihak PIBG sekolah mengambil untung 30 peratus daripada hasil jualan (tapak gerai tidak perlu dibayar), maka kami hanya untung 5 peratus bagi setiap buku yang dijual. Awal-awal lagi kami menanamkan azam agar kerugian minggu lalu dapat ditampung semula, dan tidak memikirkan untung yang besar. Apa yang penting, kami menimba pengalaman yang berharga.

Alhamdulillah setelah dikira-kira, kami berjaya memadamkan kerugian minggu lalu, malah mengaut keuntungan yang pertama walaupun tidak seberapa. Ianya suatu yang menggembirakan dan menjadi azimat untuk kami meneruskan perniagaan kecil-kecilan pada masa akan datang. Insya'Allah.

www.tips-fb.com

Ulasan Buku: 10 Juta Pulu$

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


Ulasan ringkas daripada penulis novel sains fiksyen Virus L - Suri Mawarne di blognya.

****************

10 Juta Pulu$ karya Masdalifadzlie ini mengisahkan dua sahabat iaitu Idriz dan Zohok yang mengalami masalah apabila syarikat tempat mereka bekerja diisytiharkan sebagai muflis. Keadaan menjadi lebih rumit apabila Zohok yang mempunyai obsesi dengan pembinaan robot, telah menghabiskan kesemua wang simpanan Idriz untuk membeli komponen yang dibelikan. Tambah menyesakkan, apabila mereka mendapat arahan daripada kerajaan untuk menyumbang wang sebanyak 10 juta pulus (mata wang mereka) untuk dana peperangan.

Tanpa menyedari bahawa diri mereka telah ditipu, mereka berusaha untuk mencari wang 10 juta pulus dengan bantuan Pangeran Vincent, vampira yang hanya menikmati flussig die tomate. Pertemuan dengan Katerina serta bantuan daripada Oki-doki yang suka menggodam, akhirnya merungkai semua cerita.

10 Juta Pulu$ ditulis dengan santai. Bahasanya mudah serta perjalanan ceritanya ringkas, tetapi menghiburkan. Ia adlaah bacaan yang sesuai untuk menenangkan fikiran.

www.tips-fb.com

Hujung Minggu di Bangsar

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Seperti yang dimaklumkan sebelum entri ini, aku mula menceburkan diri menjadi saudagar buku di bazar Jeumpa D'Ramo, Bangsar.

Gambar di sebelah adalah gambar di tempat kejadian bersama tunang. Seawal jam 9 pagi kami sudah siap menyusun buku bagi dipamerkan.

Ada beberapa perkara yang menarik semasa kami berniaga.

Pertama - kami menunggu empat jam sebelum senaskah buku dibeli pelanggan. Apa yang menarik, buku pertama yang kami jual pada perniagaan yang pertama bertajuk Biografi Muhammad bin Abdullah. Besar sungguh kuasa Tuhan.

Kedua - kami dikunjungi oleh mantan MB Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan isterinya. Beliau yang terkenal dengan kecintaan terhadap buku menghabiskan hampir RM200 bagi membeli buku-buku yang kami jual. Lima daripada naskah yang dibeli oleh beliau adalah novel-novel sejarahwan Islam karya Pak Latip. Setelah mengetahui bahawa aku adalah anak didik Ahmad Patria (anak saudara beliau), beliau memberi kata-kata perangsang agar aku terus berkarya.

Dua hari berniaga, keuntungan yang diperoleh adalah negatif. Namun begitu, aku masih boleh tersenyum kerana apa yang penting aku mendapat pengalaman dan pengajaran yang tidak ternilai.

Sabtu akan datang, aku akan membuka gerai buku di salah sebuah sekolah di Sri Hartamas pula. Diharap penjualan buku yang disasarkan kepada golongan remaja disertai dengan strategi jualan yang lebih baik dapat menampal kerugian baru-baru ini. Amin...

www.tips-fb.com