Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Sang Duyung Menggoda: Bab 2 - bhg 2

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


Kening Cempaka Rani terangkat lebih tinggi, mengharapkan penjelasan yang lebih daripada anaknya. Bagi dirinya, tidak perlu bermohon maaf jika tiada apa yang perlu diampuni.

“Daku harus kembali ke dalam mimpi.”

“Kenapa?”

“Teman-temanku memerlukan pertolonganku,” sahut Cempaka Suri seraya melunjurkan kaki lalu berbaring kembali. Matanya dipejamkan.

“Tapi kau baru sahaja pulang dari mimpi,” tukas Cempaka Rani bernada lemah, mempersoalkan kehendak anaknya.

Cempaka Suri membuka kembali matanya.

“Lidah ibu bersuara benar. Namun kepulangan ini bukan atas kehendakku.”

“Apakah kau mahu terus tinggal di ruang mimpimu?”

“Janganlah salah faham, wahai ibu. Maksudku, daku masih belum betah mengawal mimpi-mimpiku dan kerana itu kepulanganku ini sebenarnya tidak disengajakan,” jawab Cempaka Suri berlemah lembut. Wajah ibunya ditatap penuh, ditenung ke dalam anak mata, cuba memindahkan maksud sebenar bicaranya.

“Andai begitu, tunggulah sehingga kau betah mengawal mimpi-mimpimu,” pujuk Cempaka Rani sekian kali, cuba menembusi hati anaknya dengan kata-kata lembut.

“Masanya hanya sekarang, ibu,” rayu Cempaka Suri lagi seraya melepaskan tangisan.

“Bukankah mati boleh menjemputmu jika kau tidak bisa mengawal mimpimu?” ujar ibunya bernada walang.

“Benar, namun daku harus pergi jua. Hanya daku yang mereka harapkan.” Bayangan terakhir susuk Lang Surya yang terkapar digulung ombak kembali menerjah ruang lihatnya.

Cempaka Rani hanya mampu membicarakan kesunyian. Suaranya bagai terenap ke dasar hati, gagal memanjat dinding kerongkong bagi diluahkan menjadi kata-kata. Enapan suara-suara itu membuatkan hatinya bertambah berat.

Cempaka Suri kembali berbaring lalu memejamkan mata sekuat mungkin, sedaya upaya memanggil mimpi agar dia bisa menghalau musibah daripada menghampiri teman-temannya.

“Suri, nanti!” teriak Cempaka Rani lalu menerpa bahu anaknya, digoncang berulang kali bagi meluluhkan hasrat Cempaka Suri.

Cempaka Suri membuka kembali matanya. Mimpi belum bertandang. Dia masih berada di alam nyata, dan wajah gundah ibunya memenuhi lukisan mata.

“Kau belum bersedia, Suri.” Asa Cempaka Rani masih belum putus memujuk anaknya.

“Ibu, mereka dalam kecelakaan yang besar. Mereka perlu diselamatkan. Hanya Suri yang mampu menyelamatkan mereka,” rayu Cempaka Suri seraya memaut lengan ibunya.

“Jangan tinggalkan ibu lagi, Suri. Ibu tidak mahu kehilanganmu.” Cempaka Rani membujuk lagi dengan berhati rawan. Garis-garis harapan bersilang selimpat melakarkan raut wajahnya.

“Ibu, jangan dirisaukan tentang daku. Percayalah, daku pergi hanya sebentar. Mereka perlu daku selamatkan,” ujar Cempaka Suri seraya bangkit separuh dari perbaringan, cuba meyakinkan ibunya.

“Daripada apa?”

“Lemas dipukul ombak laut.”

“Tidak, Suri. Pekerjaan itu merbahaya,” tingkah Cempaka Rani bersungguh.

“Daku mampu bermagis dalam mimpi. Dengan izin Tuhan, magis memagarku daripada kecelakaan, dan teman-temanku juga bisa diselamatkan. Mereka memerlukan daku, ibu,” jelas Cempaka Suri berdegil dengan pendiriannya.

“Ibu melihat saat kau kembali dari mimpi, dan ianya menakutkan,” ujar Cempaka Rani berjujur air mata.

“Daku berjanji akan pulang dalam keadaan selamat. Percayalah,” rayu Cempaka Suri lagi dengan nada lembut. Direnung wajah ibunya buat seketika, kemudian dipeluk dan dicium sebagai tanda perpisahan.

Cempaka Rani hanya mampu membatu tiada bersuara. Fikirannya kusut mengenangkan kehendak darah remaja yang semakin membuak dalam diri Cempaka Suri. Dia tidak berdaya menghalang lagi.

“Hanya sebentar, daku berjanji,” ucap Cempaka Suri lalu mengucup pipi ibunya sebagai ubat penenang. Kemudian dia berbaring kembali. Mata dipejam seraya mimpi diseru.

Cempaka Rani memerhatikan anaknya dengan jiwa rajuk. Pandangan sayunya menyeluruhi wajah Cempaka Suri yang masih basah dibaluti air laut. Perlahan-lahan dia mengangkat punggungnya dari birai katil lalu beredar ke luar kamar.

Pintu kamar anaknya dirapatkan tanpa sebarang bunyi. Wajahnya kian tenang dan air mata sudah berhenti gugur. Namun benak fikirnya masih berserabut, dilingkari jalan-jalan ikhtiar bagi dilalui Cempaka Suri di kemudian hari.

Di ruang kamar, di atas katil, Cempaka Suri sedang bergelut dengan rasa gusar. Wajah-wajah ketakutan milik Lang Surya dan Rimau Seru, serta suasana gelora ganas Selat Nilasura menjadi kepingan-kepingan memori yang bersilih ganti dalam paparan minda. Semua itu menjadi duri semalu yang menghalang perjalanan mimpi daripada bertandang menjemputnya.

Dia tertekan.

Mimpi yang selama ini begitu mudah didampingi seolah-olah bersembunyi di sebalik trauma. Walaupun berulang kali dilambai dan diseru, namun mimpi enggan mendekat, malah semakin menjauh.

Hatinya dilanda resah, jiwanya diserang gelisah. Detik-detik waktu yang datang dan pergi begitu berharga bagi dirinya kembali ke alam mimpi lalu menyelamatkan Lang Surya dan Rimau Seru. Dia harus pantas sebelum gulungan ombak Nilasura meragut nyawa mereka.

Namun takdir adalah milik Tuhan sejak azali, biarpun dikau mengatur rancang sebaik mana sekali pun. Semestinya perancangan Tuhan lebih sempurna.

Cempaka Suri menyingkap pelupuk mata. Dia tidak berdaya lagi bagi memanggil mimpi kepadanya. Usahanya digagalkan oleh buak-buak kerisauan di dalam hati dan perasaan. Dia hanya mampu menangis dan berdoa, seterusnya bertawakal.

“Tuhan, selamatkanlah nyawa mereka.”

Di luar, sorotan purnama masih belum kelihatan dan bintang-bintang bersinar pucat, berdebar-debar menanti kemeriahan malam.

www.tips-fb.com

Ulasan Santai 10 Juta Pulu$

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


Ulasan ini dipetik dari blogger RedLinda. Terima kasih untuk beliau kerana sudi mencoretkan apa yang dirasa tentang novel komedi ini.

*****

Novel karya saudara Masdalifadzlie M Saaid yang ke-2 aku miliki selepas Kembara Lang Surya, memang tidak mengecewakan! lagi sekali aku hanyut dalam dunia khayalan.


Jalan cerita yang santai walaupun penulis membawa kita masuk ke dunia yang dipenuhi dengan teknologi canggih. yang tak boleh blahnya, kalau nak ON tv, kau sebut je "weeii, tv! ON lah.." haha.. aku tipu. hehe. tak adalah bunyi arahan macam itu. ada la arahan betul dia. semuanya computer-based. kiranya tv tu pun komputer gak. siap boleh replay berita. hoh? contoh arahan "putarkan rancangan kod 498e ke belakang selama lapan puluh saat" pastu menjawab pulak tu komputer tu "Ya! begitulah.." hahahaha. kalau tv aku menjawab macam tu, aku baling je. banyak pulak songeh suh mintak kod ngan timing nak replay ;p


Nanti aku nak try bagi command "tv.. putarkan rancangan Tom & Jerry ke belakang 20 tahun lepas" nak tengok apa jadi. haha ;p *pengaruh buku*


Watak Zohok dan Idriz, teman serumah yang sangat rapat. masing-masing menganggur apabila syarikat tempat mereka bekerja telah muflis. Zohok, obses dengan robot ciptaannya sehingga terhasilnya robot pintar yang bernama Oki-Doki. Idriz, lelaki yang melalui hari-harinya dengan aktiviti biasa sehinggalah pada suatu hari, Idriz menerima arahan dari kerajaan agar menderma sebanyak 10 juta pulus untuk dana peperangan.


Sudahlah menganggur, kena bayar pada kerajaan pulak tuh! tidak boleh tidak. mana nak cari 10 juta pulus tu weiii? (pulus tu mata wang dia orang la)


Dalam pada itu, muncul watak Pangeran Vincent, anak buah kepada Pangeran Drakula. keturunan drakula yang digeruni ramai. vampira inilah yang membantu Idriz dan Zohok dalam usaha mencari wang 10 juta pulus tu. yang lawaknya, Pangeran Vincent ni, vampira yang makan jus tomato. tidur dalam keranda, ada 2 biji bantal (bantal kepala dan bantal peluk), ada tin tomato buat stok ketika kelaparan dan... ada TEDDY BEAR buat teman tidur? hahaha. comel pulak aku rasa si vampira ni ;p siap ada tunang yang berdarah pari-pari. Katerina namanya :D


Sempoi je guna nama syarikat macam Berita Cepat (syarikat akhbar), Putar Alam Berhad, Tikam Belakang Berhad. ada tu, Konsortium Cekik Darah! apa kes? haha.


Berjayakah Pangeran Vincent membantu Idriz dan Zohok mendapatkan 10 juta pulus? apakah yang akan terjadi kepada Idriz dan Zohok dalam usaha pencarian wang sebanyak 10 juta pulus tu? persoalan ini hanya akan terjawab bila kau orang baca sendiri novel bergenrekan fiksyen ini. tak mahal pun. RM 14 aje :D kalau kau orang tak nak beli, boleh je pinjam dari aku dengan bayaran RM 20/sehari ! hahaha. cekik darah bukan? ;p so, baiklah kau orang beli. dapat gak kau simpan then baca banyak kali sampai mati :D

www.tips-fb.com

Majlis Perjumpaan dan Taklimat kepada Penulis Genre Sastera Pahlawan

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


PTS FORTUNA Sdn Bhd. akan mengadakan majlis perjumpaan dan taklimat kepada penulis-penulis yang berminat menulis genre sastera pahlawan.

Tarikh: SABTU 31 Julai 2010
Tempat: Bilik Latihan, Ibu Pejabat PTS, Dolomite Business Park, Batu Caves, KL.
Masa: 10 pagi - 12 tengah hari

Puan Ainon Mohd, Pengerusi PTS akan ikut hadir dalam sesi itu nanti. Semua editor PTS Fortuna juga akan hadir.

*Sumber diambil dari blog rasmi Puan Ainon Mohd.

www.tips-fb.com

Novel Fiksyen Fantasi Menang Ulasan 1-2

Filed under: , , by: Masdalifadzlie M Saaid



Sumber dari laman sesawang PTS (lihat di sini) mengumumkan pemenang-pemenang ulasan buku-buku PTS untuk minggu pertama. Untuk pengetahuan, PTS sedang menganjurkan Peraduan Mengulas Buku PTS (lihat di sini) sepanjang bulan Julai.

Bagi kategori novel dewasa, tempat pertama dan kedua dimonopoli oleh novel bergenre fiksyen fantasi. Ulasan Siti Rahmah Mokharuddin bagi novel Takluk Jagat 1 - Bisikan Ariasha dipilih sebagai pemenang pertama, dan ulasan Amirul Hadi bagi novel Kembara Lang Surya - Pendeta Gua Khayalan mendapat tempat kedua.

Ini adalah petanda positif bagi karya fantasi yang semakin mendapat tempat di hati pembaca Melayu. Semoga ianya memberi semangat yang lebih kepada pejuang-pejuang dunia penulisan fantasi tanahair. Amin.

www.tips-fb.com

Sang Duyung Menggoda: Bab 2 - bhg 1

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


Kelam kian menguasi kirmizi di dada langit, memuncakkan sahutan unggas senja bagai berlagu rintih sayup menghalau pilu menangisi pemergian mentari. Nadi-nadi senja berdenyut perlahan dalam kesejukan musim luruh, menghentikan gemersik buaian daun-daun di hujung ranting. Sorotan purnama masih belum kelihatan, seperti menanti detik-detik terbaik sebelum menjengah dari belakang tabir malam. Hanya segelintir bintang yang timbul bersinar pucat dalam kegerhanaan suasana.

Masih terlalu awal bagi kemeriahan malam memulakan pesta.

Cempaka Rani melirik gundah buat kali terakhir kepada alam sebelum jendela kamar anaknya rapat disatukan. Seputus nafas dihempas perlahan, namun terkandung satu keluhan panjang dan berat. Garis-garis kedut di dahi semakin dalam ditoreh kasar oleh sebuah keresahan. Hati dan mindanya tidak keruan, namun tetap berkelahi mahu menenangkan jiwa yang dirasuk risau.

Dia menebarkan pandangan ke arah tempat beradu anaknya. Cadar dan bantal dilihat tersusun adil pada tempatnya, namun sedikit terusik di bahagian tengah katil. Ombakan cadar itu bagaikan tulisan yang menceritakan jejak-jejak akhir Cempaka Suri sebelum hilang mengembara bersama mimpi yang mengendong realiti. Cempaka Rani dapat membacanya dengan jelas.

Cempaka Rani beralih dari pinggir jendela lalu melabuhkan punggung pada birai katil. Pandangannya masih tetap menyeluruhi ruang tilam yang hanya berbantal dua. Keresahan semakin galak berpusar mengeruhkan ruang dada dan benak, juga membuatkan layar matanya kabur dalam genangan air.

‘Pulanglah, wahai anakku.’

Sepotong rayuan kudus melintas sayu dalam hatinya, mendaki tinggi seraya memikul harapan. Suara-suara songsang bergema di gegendang telinga, melurukan gelombang-gelombang bimbang masuk ke dalam benak fikir. Sejurus tanpa sedar, linangan gundah menuruni pipi lalu gugur membasahi tepian cadar.

“Duhai Tuhan yang menyayangi, jauhkanlah kecelakaan daripada mendekati anakku,” doa Cempaka Rani ke hadrat Tuhan separuh berbisik seraya berpejam mata kejap dan rapat. Sebutir lagi mutiara mata berguling merentas pipi.

Yakinlah, bahawa Tuhan itu Maha Mendengar, dan Dialah yang memiliki seluruh ketentuan di dunia dan di akhirat. Yakinlah segenap jiwa dan ragamu.

Pada waktu yang sama, nun jauh di Selat Nilasura, awan-awan berlaga dan berdentum menulikan telinga, lantas memercikkan halilintar yang membutakan mata. Titik-titik hujan yang terejam ke wajah samudera menghasilkan raungan gelora penuh deru, bertali arus tanpa henti. Badai menggila diporakkan peranda, menjulang tangan-tangan ombak lalu dilepaskan menampar wajah sendiri.

Dalam keributan suasana, Cempaka Suri terkapar-kapar tenggelam timbul membela nyawanya sendiri. Sayup-sayup kedengaran suara Lang Surya terselit di celah-celah deruan ombak melontarkan namanya.

“Surya!” Dia menyahut dengan melaungkan kembali nama Lang Surya seraya mencari susuk tubuh pemuda itu. Masin laut tidak lagi dipedulikan oleh lidahnya.

“Suri!”

“Surya!”

Sejenak dia dilambung gunungan ombak dan kesempatan itu diambil bagi mencari kelibat Lang Surya dan Rimau Seru. Ketika itu hati dan perasaannya penuh dibanjiri kekalutan, mengharapkan agar datang satu magis yang dapat menyelamatkan mereka daripada amukan alam.

‘Magis? Bukankah aku boleh bermagis dalam mimpiku?’

Cempaka Suri tergunung lagi, dan kali ini tubuh Lang Surya berada di tengah-tengah bingkai lihatnya, meronta-ronta bersabung nyawa akibat dikerjakan samudera. Matanya segera dipejamkan, menarik urat-urat keyakinan bagi melepaskan magis yang bisa menyelamatkan Lang Surya daripada malapetaka tersebut.

“Suri!”

‘Bertahanlah, wahai Surya!’

Segugus waktu melintas dengan pantas dan tanpa sedari. Sedinding ombak meninggi berarak pantas di belakang Cempaka Suri, kemudian roboh lalu terhempas ke atas dirinya. Tubuh Cempaka Suri ditekan dan terbenam ke perut samudera sebelum sempat dia melepaskan magis bagi menyelamatkan Lang Surya. Keyakinan yang dikumpul serta merta jadi luntur, membuatkan dirinya disedut keluar dari alam mimpi.

Sekonyong-konyong Cempaka Suri merasakan air laut di sekelilingnya menjadi surut, menyebabkan dia semakin dalam ditarik ke dasar. Deruan ombak yang memekik semakin lama kian sayu pada pendengaran yang akhirnya mendesingkan telinga. Dia bagaikan jatuh lepas terkapar-kapar.

Dalam kiraan sedegup jantung, pelukan samudera yang melingkari tubuhnya terlerai dan menghilang. Cempaka Suri merasakan dirinya terhempas ke atas suatu permukaan lembut dan empuk. Segera dibuka matanya lalu diperhatikan ruang sekitar yang kini berganti menjadi kamar tidurnya.

Nafasnya beralun dalam kecungapan. Seluruh tubuh dan pakaiannya kuyup dibasahkan air masin, menitik lalu meresap ke dalam tilam.

Cempaka Rani menonton peristiwa itu bersama hati yang melompat terkejut, berundur dari birai katil lalu spontan merapati dinding kamar. Percikan air laut yang masin terhasil dari hempasan tubuh anaknya lalu menebarkan semerbak bayu samudera ke ruang bilik. Tempiasnya menerkam wajah Cempaka Rani. Tubuh anaknya yang lencun diperhatikan seketika dalam beliakan mata, sukar mempercayai apa yang dilihat oleh mata.

“Suri?”

Sedetik, rasa gembira pantas menyelinap ke dalam hatinya. Segera didakap Cempaka Suri yang masih nanar dalam kepingaan, langsung tiada peduli biarpun basah berpindah kepadanya. Bahunya bergetar dalam esakan rahmat, melepaskan kesyukuran kepada Tuhan. Dihamburkan segala puji buat Tuhan kerana bicara lidahnya didengar dan dimakbulkan.

“Suri, anak ibu.”

“Ibu...,” suara Cempaka Suri perlahan, seakan tersedar dan yakin bahawa dirinya kini kembali ke alam nyata. Lantas ibunya dipeluk seerat mungkin seperti tiada mahu melepaskan.

“Syukurlah kau selamat, Suri,” ujar Cempaka Rani yang masih berendam air mata.

“Daku tiada apa-apa, ibu,” balas Cempaka Suri menenangkan gelora hati ibunya.

“Ibu terlalu khuatirkan keselamatanmu,” luah Cempaka Rani yang dapat merasakan getaran gigil tubuh anaknya yang kesejukan.

Pelukan mereka bertambah kejap. Jemari halus Cempaka Rani menyelinap ke dalam rambut anaknya yang kuyup lalu diseka ke tepi wajah. Dia melepaskan pelukan buat seketika, mencapai selimut tebal lalu dibalut ke tubuh kuyup anaknya. Kemudian Cempaka Suri didakap kembali.

Erat.

Cempaka Suri hanya mampu mengunci bicara. Bibirnya pucat kebiruan, bergetar menahan sisa-sisa kesejukan Selat Nilasura yang masih mencengkam kulit. Fikirannya terlimpas pada nasib teman-teman mimpinya. Apakah nasib yang melanda Lang Surya? Bagaimana pula dengan Rimau Seru? Hatinya meronta dalam kerunsingan. Sejurus dengan terburu-buru dia meleraikan dakapan ibunya.

Cempaka Rani mengangkat kening, melipatkan kerut-kerut kehairanan pada dahinya yang sempit.

“Ada apa denganmu, Suri?”

“Maafkan Suri, ibu,” sahut Cempaka Suri teragak-agak. Dia tidak mahu melukakan hati seorang ibu dengan tindakannya.

Kening Cempaka Rani terangkat lebih tinggi, mengharapkan penjelasan yang lebih daripada anaknya. Bagi dirinya, tidak perlu bermohon maaf jika tiada apa yang perlu diampuni.

“Daku harus kembali ke dalam mimpi.”

www.tips-fb.com