Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Sang Duyung Menggoda: Bab 2 - bhg 1

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


Kelam kian menguasi kirmizi di dada langit, memuncakkan sahutan unggas senja bagai berlagu rintih sayup menghalau pilu menangisi pemergian mentari. Nadi-nadi senja berdenyut perlahan dalam kesejukan musim luruh, menghentikan gemersik buaian daun-daun di hujung ranting. Sorotan purnama masih belum kelihatan, seperti menanti detik-detik terbaik sebelum menjengah dari belakang tabir malam. Hanya segelintir bintang yang timbul bersinar pucat dalam kegerhanaan suasana.

Masih terlalu awal bagi kemeriahan malam memulakan pesta.

Cempaka Rani melirik gundah buat kali terakhir kepada alam sebelum jendela kamar anaknya rapat disatukan. Seputus nafas dihempas perlahan, namun terkandung satu keluhan panjang dan berat. Garis-garis kedut di dahi semakin dalam ditoreh kasar oleh sebuah keresahan. Hati dan mindanya tidak keruan, namun tetap berkelahi mahu menenangkan jiwa yang dirasuk risau.

Dia menebarkan pandangan ke arah tempat beradu anaknya. Cadar dan bantal dilihat tersusun adil pada tempatnya, namun sedikit terusik di bahagian tengah katil. Ombakan cadar itu bagaikan tulisan yang menceritakan jejak-jejak akhir Cempaka Suri sebelum hilang mengembara bersama mimpi yang mengendong realiti. Cempaka Rani dapat membacanya dengan jelas.

Cempaka Rani beralih dari pinggir jendela lalu melabuhkan punggung pada birai katil. Pandangannya masih tetap menyeluruhi ruang tilam yang hanya berbantal dua. Keresahan semakin galak berpusar mengeruhkan ruang dada dan benak, juga membuatkan layar matanya kabur dalam genangan air.

‘Pulanglah, wahai anakku.’

Sepotong rayuan kudus melintas sayu dalam hatinya, mendaki tinggi seraya memikul harapan. Suara-suara songsang bergema di gegendang telinga, melurukan gelombang-gelombang bimbang masuk ke dalam benak fikir. Sejurus tanpa sedar, linangan gundah menuruni pipi lalu gugur membasahi tepian cadar.

“Duhai Tuhan yang menyayangi, jauhkanlah kecelakaan daripada mendekati anakku,” doa Cempaka Rani ke hadrat Tuhan separuh berbisik seraya berpejam mata kejap dan rapat. Sebutir lagi mutiara mata berguling merentas pipi.

Yakinlah, bahawa Tuhan itu Maha Mendengar, dan Dialah yang memiliki seluruh ketentuan di dunia dan di akhirat. Yakinlah segenap jiwa dan ragamu.

Pada waktu yang sama, nun jauh di Selat Nilasura, awan-awan berlaga dan berdentum menulikan telinga, lantas memercikkan halilintar yang membutakan mata. Titik-titik hujan yang terejam ke wajah samudera menghasilkan raungan gelora penuh deru, bertali arus tanpa henti. Badai menggila diporakkan peranda, menjulang tangan-tangan ombak lalu dilepaskan menampar wajah sendiri.

Dalam keributan suasana, Cempaka Suri terkapar-kapar tenggelam timbul membela nyawanya sendiri. Sayup-sayup kedengaran suara Lang Surya terselit di celah-celah deruan ombak melontarkan namanya.

“Surya!” Dia menyahut dengan melaungkan kembali nama Lang Surya seraya mencari susuk tubuh pemuda itu. Masin laut tidak lagi dipedulikan oleh lidahnya.

“Suri!”

“Surya!”

Sejenak dia dilambung gunungan ombak dan kesempatan itu diambil bagi mencari kelibat Lang Surya dan Rimau Seru. Ketika itu hati dan perasaannya penuh dibanjiri kekalutan, mengharapkan agar datang satu magis yang dapat menyelamatkan mereka daripada amukan alam.

‘Magis? Bukankah aku boleh bermagis dalam mimpiku?’

Cempaka Suri tergunung lagi, dan kali ini tubuh Lang Surya berada di tengah-tengah bingkai lihatnya, meronta-ronta bersabung nyawa akibat dikerjakan samudera. Matanya segera dipejamkan, menarik urat-urat keyakinan bagi melepaskan magis yang bisa menyelamatkan Lang Surya daripada malapetaka tersebut.

“Suri!”

‘Bertahanlah, wahai Surya!’

Segugus waktu melintas dengan pantas dan tanpa sedari. Sedinding ombak meninggi berarak pantas di belakang Cempaka Suri, kemudian roboh lalu terhempas ke atas dirinya. Tubuh Cempaka Suri ditekan dan terbenam ke perut samudera sebelum sempat dia melepaskan magis bagi menyelamatkan Lang Surya. Keyakinan yang dikumpul serta merta jadi luntur, membuatkan dirinya disedut keluar dari alam mimpi.

Sekonyong-konyong Cempaka Suri merasakan air laut di sekelilingnya menjadi surut, menyebabkan dia semakin dalam ditarik ke dasar. Deruan ombak yang memekik semakin lama kian sayu pada pendengaran yang akhirnya mendesingkan telinga. Dia bagaikan jatuh lepas terkapar-kapar.

Dalam kiraan sedegup jantung, pelukan samudera yang melingkari tubuhnya terlerai dan menghilang. Cempaka Suri merasakan dirinya terhempas ke atas suatu permukaan lembut dan empuk. Segera dibuka matanya lalu diperhatikan ruang sekitar yang kini berganti menjadi kamar tidurnya.

Nafasnya beralun dalam kecungapan. Seluruh tubuh dan pakaiannya kuyup dibasahkan air masin, menitik lalu meresap ke dalam tilam.

Cempaka Rani menonton peristiwa itu bersama hati yang melompat terkejut, berundur dari birai katil lalu spontan merapati dinding kamar. Percikan air laut yang masin terhasil dari hempasan tubuh anaknya lalu menebarkan semerbak bayu samudera ke ruang bilik. Tempiasnya menerkam wajah Cempaka Rani. Tubuh anaknya yang lencun diperhatikan seketika dalam beliakan mata, sukar mempercayai apa yang dilihat oleh mata.

“Suri?”

Sedetik, rasa gembira pantas menyelinap ke dalam hatinya. Segera didakap Cempaka Suri yang masih nanar dalam kepingaan, langsung tiada peduli biarpun basah berpindah kepadanya. Bahunya bergetar dalam esakan rahmat, melepaskan kesyukuran kepada Tuhan. Dihamburkan segala puji buat Tuhan kerana bicara lidahnya didengar dan dimakbulkan.

“Suri, anak ibu.”

“Ibu...,” suara Cempaka Suri perlahan, seakan tersedar dan yakin bahawa dirinya kini kembali ke alam nyata. Lantas ibunya dipeluk seerat mungkin seperti tiada mahu melepaskan.

“Syukurlah kau selamat, Suri,” ujar Cempaka Rani yang masih berendam air mata.

“Daku tiada apa-apa, ibu,” balas Cempaka Suri menenangkan gelora hati ibunya.

“Ibu terlalu khuatirkan keselamatanmu,” luah Cempaka Rani yang dapat merasakan getaran gigil tubuh anaknya yang kesejukan.

Pelukan mereka bertambah kejap. Jemari halus Cempaka Rani menyelinap ke dalam rambut anaknya yang kuyup lalu diseka ke tepi wajah. Dia melepaskan pelukan buat seketika, mencapai selimut tebal lalu dibalut ke tubuh kuyup anaknya. Kemudian Cempaka Suri didakap kembali.

Erat.

Cempaka Suri hanya mampu mengunci bicara. Bibirnya pucat kebiruan, bergetar menahan sisa-sisa kesejukan Selat Nilasura yang masih mencengkam kulit. Fikirannya terlimpas pada nasib teman-teman mimpinya. Apakah nasib yang melanda Lang Surya? Bagaimana pula dengan Rimau Seru? Hatinya meronta dalam kerunsingan. Sejurus dengan terburu-buru dia meleraikan dakapan ibunya.

Cempaka Rani mengangkat kening, melipatkan kerut-kerut kehairanan pada dahinya yang sempit.

“Ada apa denganmu, Suri?”

“Maafkan Suri, ibu,” sahut Cempaka Suri teragak-agak. Dia tidak mahu melukakan hati seorang ibu dengan tindakannya.

Kening Cempaka Rani terangkat lebih tinggi, mengharapkan penjelasan yang lebih daripada anaknya. Bagi dirinya, tidak perlu bermohon maaf jika tiada apa yang perlu diampuni.

“Daku harus kembali ke dalam mimpi.”

www.tips-fb.com