Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Sang Duyung Menggoda: Bab 2 - bhg 2

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid


Kening Cempaka Rani terangkat lebih tinggi, mengharapkan penjelasan yang lebih daripada anaknya. Bagi dirinya, tidak perlu bermohon maaf jika tiada apa yang perlu diampuni.

“Daku harus kembali ke dalam mimpi.”

“Kenapa?”

“Teman-temanku memerlukan pertolonganku,” sahut Cempaka Suri seraya melunjurkan kaki lalu berbaring kembali. Matanya dipejamkan.

“Tapi kau baru sahaja pulang dari mimpi,” tukas Cempaka Rani bernada lemah, mempersoalkan kehendak anaknya.

Cempaka Suri membuka kembali matanya.

“Lidah ibu bersuara benar. Namun kepulangan ini bukan atas kehendakku.”

“Apakah kau mahu terus tinggal di ruang mimpimu?”

“Janganlah salah faham, wahai ibu. Maksudku, daku masih belum betah mengawal mimpi-mimpiku dan kerana itu kepulanganku ini sebenarnya tidak disengajakan,” jawab Cempaka Suri berlemah lembut. Wajah ibunya ditatap penuh, ditenung ke dalam anak mata, cuba memindahkan maksud sebenar bicaranya.

“Andai begitu, tunggulah sehingga kau betah mengawal mimpi-mimpimu,” pujuk Cempaka Rani sekian kali, cuba menembusi hati anaknya dengan kata-kata lembut.

“Masanya hanya sekarang, ibu,” rayu Cempaka Suri lagi seraya melepaskan tangisan.

“Bukankah mati boleh menjemputmu jika kau tidak bisa mengawal mimpimu?” ujar ibunya bernada walang.

“Benar, namun daku harus pergi jua. Hanya daku yang mereka harapkan.” Bayangan terakhir susuk Lang Surya yang terkapar digulung ombak kembali menerjah ruang lihatnya.

Cempaka Rani hanya mampu membicarakan kesunyian. Suaranya bagai terenap ke dasar hati, gagal memanjat dinding kerongkong bagi diluahkan menjadi kata-kata. Enapan suara-suara itu membuatkan hatinya bertambah berat.

Cempaka Suri kembali berbaring lalu memejamkan mata sekuat mungkin, sedaya upaya memanggil mimpi agar dia bisa menghalau musibah daripada menghampiri teman-temannya.

“Suri, nanti!” teriak Cempaka Rani lalu menerpa bahu anaknya, digoncang berulang kali bagi meluluhkan hasrat Cempaka Suri.

Cempaka Suri membuka kembali matanya. Mimpi belum bertandang. Dia masih berada di alam nyata, dan wajah gundah ibunya memenuhi lukisan mata.

“Kau belum bersedia, Suri.” Asa Cempaka Rani masih belum putus memujuk anaknya.

“Ibu, mereka dalam kecelakaan yang besar. Mereka perlu diselamatkan. Hanya Suri yang mampu menyelamatkan mereka,” rayu Cempaka Suri seraya memaut lengan ibunya.

“Jangan tinggalkan ibu lagi, Suri. Ibu tidak mahu kehilanganmu.” Cempaka Rani membujuk lagi dengan berhati rawan. Garis-garis harapan bersilang selimpat melakarkan raut wajahnya.

“Ibu, jangan dirisaukan tentang daku. Percayalah, daku pergi hanya sebentar. Mereka perlu daku selamatkan,” ujar Cempaka Suri seraya bangkit separuh dari perbaringan, cuba meyakinkan ibunya.

“Daripada apa?”

“Lemas dipukul ombak laut.”

“Tidak, Suri. Pekerjaan itu merbahaya,” tingkah Cempaka Rani bersungguh.

“Daku mampu bermagis dalam mimpi. Dengan izin Tuhan, magis memagarku daripada kecelakaan, dan teman-temanku juga bisa diselamatkan. Mereka memerlukan daku, ibu,” jelas Cempaka Suri berdegil dengan pendiriannya.

“Ibu melihat saat kau kembali dari mimpi, dan ianya menakutkan,” ujar Cempaka Rani berjujur air mata.

“Daku berjanji akan pulang dalam keadaan selamat. Percayalah,” rayu Cempaka Suri lagi dengan nada lembut. Direnung wajah ibunya buat seketika, kemudian dipeluk dan dicium sebagai tanda perpisahan.

Cempaka Rani hanya mampu membatu tiada bersuara. Fikirannya kusut mengenangkan kehendak darah remaja yang semakin membuak dalam diri Cempaka Suri. Dia tidak berdaya menghalang lagi.

“Hanya sebentar, daku berjanji,” ucap Cempaka Suri lalu mengucup pipi ibunya sebagai ubat penenang. Kemudian dia berbaring kembali. Mata dipejam seraya mimpi diseru.

Cempaka Rani memerhatikan anaknya dengan jiwa rajuk. Pandangan sayunya menyeluruhi wajah Cempaka Suri yang masih basah dibaluti air laut. Perlahan-lahan dia mengangkat punggungnya dari birai katil lalu beredar ke luar kamar.

Pintu kamar anaknya dirapatkan tanpa sebarang bunyi. Wajahnya kian tenang dan air mata sudah berhenti gugur. Namun benak fikirnya masih berserabut, dilingkari jalan-jalan ikhtiar bagi dilalui Cempaka Suri di kemudian hari.

Di ruang kamar, di atas katil, Cempaka Suri sedang bergelut dengan rasa gusar. Wajah-wajah ketakutan milik Lang Surya dan Rimau Seru, serta suasana gelora ganas Selat Nilasura menjadi kepingan-kepingan memori yang bersilih ganti dalam paparan minda. Semua itu menjadi duri semalu yang menghalang perjalanan mimpi daripada bertandang menjemputnya.

Dia tertekan.

Mimpi yang selama ini begitu mudah didampingi seolah-olah bersembunyi di sebalik trauma. Walaupun berulang kali dilambai dan diseru, namun mimpi enggan mendekat, malah semakin menjauh.

Hatinya dilanda resah, jiwanya diserang gelisah. Detik-detik waktu yang datang dan pergi begitu berharga bagi dirinya kembali ke alam mimpi lalu menyelamatkan Lang Surya dan Rimau Seru. Dia harus pantas sebelum gulungan ombak Nilasura meragut nyawa mereka.

Namun takdir adalah milik Tuhan sejak azali, biarpun dikau mengatur rancang sebaik mana sekali pun. Semestinya perancangan Tuhan lebih sempurna.

Cempaka Suri menyingkap pelupuk mata. Dia tidak berdaya lagi bagi memanggil mimpi kepadanya. Usahanya digagalkan oleh buak-buak kerisauan di dalam hati dan perasaan. Dia hanya mampu menangis dan berdoa, seterusnya bertawakal.

“Tuhan, selamatkanlah nyawa mereka.”

Di luar, sorotan purnama masih belum kelihatan dan bintang-bintang bersinar pucat, berdebar-debar menanti kemeriahan malam.

www.tips-fb.com