Artikel di bawah dipetik dari blog rasmi Puan Ainon, Pengerusi PTS. Faktor Ketebalan Mempengaruhi Jualan Novel menjadi tajuk artikel tersebut. Namun apa yang memusykilkan adalah tempelan wajah 10 Juta Pulu$ di kepala artikel. Apa kena-mengena 10 Juta Pulu$ yang nipis dengan tajuk artikel?
Tiga saat diperlukan bagi aku menaakul apa maksud sebenar Puan Ainon, dan akhirnya aku beroleh jawab. Ianya adalah satu bentuk sindiran untuk aku. Ketawa aku sebentar.
Sememangnya beliau berkali-kali mengesyorkan agar aku menghasilkan novel yang tebal. Jadi aku berpendapat, artikel ini adalah sindiran daripada beliau untuk aku. Jangan salah sangka, ya. Aku menganggapnya satu sindiran yang positif.
Insya'Allah, untuk novel Duyung Pulau Kenchana, aku menyasarkan ketebalan 300 muka surat. Walaupun hujah beliau menyatakan 350 muka surat adalah minimum bagi diisytihar tebal, sekurang-kurangnya Duyung Pulau Kenchana lebih tebal daripada dua novel terdahulu. Jika mendekati atau melangkaui 350, anggaplah itu sebagai bonus untuk pembaca.
Untuk Puan Ainon, sindiran ini adalah satu cabaran yang tidak mungkin dibiarkan kalah begitu sahaja. Terima kasih kerana tidak pernah kelelahan memberi pengajaran demi pengajaran.


Data jualan buku-buku PTS menunjukkan novel-novel yang kurang daripada 400 halaman sangat lambat jualannya, banyak di-return semula oleh kedai-kedai buku. Ini berlaku meskipun cerita dan gaya bahasa novel-novel itu bermutu tinggi.
Situasi ini berlaku bagi semua kategori novel, baik novel cinta, novel fantasi, novel sai-fai, mahupun novel terjemahan dari Indonesia.
Malah, novel-novel nipis gagal habis dijual dalam tempoh satu tahun. Tempoh ini sangat jauh daripada purata turn-over buku-buku PTS yang habis terjual dalam tempoh 5.8 bulan sahaja.
Feedback yang kita terima dari peminat buku-buku PTS mendapati, pembeli tidak suka membeli novel nipis disebabkan mereka "tidak puas" membacanya.
Meskipun novel tebal lebih mahal, tetapi disebabkan daya beli peminat novel sudah semakin tinggi, mereka mampu membeli novel-novel yang berharga lebih RM20.



