Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






Nostalgia: Rahsia Peti (1996)

Filed under: by: Masdalifadzlie M Saaid


Memandangkan hal ini tercetak di halaman-halaman terakhir Pendeta Gua Khayalan, maka ramai yang berminta mahu membaca karya ini. Karya ini ditulis ketika di tingkatan 5, Sek Men Sains Dungun. Baiklah, aku sediakan kembali karya yang memenangi hadiah pertama peringkat sekolah menengah Cereka Sains Kebangsaan 1996.

*****


Alam berlari perlahan, meninggalkan sisa-sisa siang dikunyah kegelapan malam. Kirmizi mewarnai dada langit. Tiada awan yang ingin belayar. Tiada burung senja yang berani membelah angkasa. Tiada titik-titik bintang yang mencorak kain malam. Hanya Puteri Purnama yang masih setia, sesetia ombak pada pantai.

Kota itu muram. Aku dapat merasakannya. Tidak seperti zaman silamnya yang penuh dengan kegemilangan. Tetapi bagiku, bahang kegemilangannya masih terasa. Kegemilangan itu kembali membara, setelah sekian lama manjadi abu.

Aku membayangkan bagaimana Nebuchadnezzar yang agung memerintah Babylon. Sekaligus aku terbayangkan Taman Tergantung Babylon yang merupakan salah satu daripada tujuh benda ajaib di dunia. Kemudian muncul dilayar mataku, kegemilangan kerajaan Umaiyyah dan Abbasyiah. Mindaku cuba melakarkan wajah Khalifah Harun Ar-Rashid, Umar Khayyam, Al-Batani, Khawarizmi, Al-Kindi dan banyak lagi. Betapa ketika itu kemajuan sains dan teknologi tiada tolok bandingnya.

Cuma aku kesal kerana ilmu-ilmu yang berharga itu telah dilemparkan ke dalam Sungai Tigris oleh orang-orang Monggol. Sehinggakan air yang mengalir menjadi hitam kerana dakwat dan buku yang tertimbun boleh dijadikan jambatan untuk menyeberangi sungai itu. Aku kesal.

Pada bulan lalu, aku telah bejaya merebut Mahkota Emas Saintis Muda Dunia 2015 di Tokyo, Jepun. Oleh itu, aku telah ditawarkan untuk melancong ke mana-mana tempat yang aku suka selama seminggu, dan aku memilih kota ini sebagai destinasiku kerana kota ini menyimpan seribu satu rahsia di zaman silam. Esok, aku akan pulang semula ke tanahairku. Oleh kerana itu, aku menghabiskan masa bersiar-siarku di sekitar kota pada sebelah malamnya.

Ketika aku melewati satu lorong, datang seorang perempuan tua mendekatiku. Di tangannya terdapat satu peti hitam yang berkarat. Terdapat juga sisa-sisa tanah pada peti itu seperti peti itu baru dijumpai tertimbus di dalam tanah. Perempuan tua itu berbahasa Arab denganku. Aku tidak dapat memahaminya. Namun aku dapat mengagak bahawa dia ingin menjual peti itu kepadaku. Jelas terpancar satu harapan di wajahnya.

Pada mataku, tiada apa-apa yang menarik pada peti itu, tetapi hatiku menafikannya. Ada sesuatu yang istimewa pada peti itu namun sukar untuk aku mencari keistimewaan tersebut.

Aku membelek-belek peti itu. Kemudiaan aku cuba mengangkat peti itu untuk meletakkannya ke bawah. Berat. Perempuan tua itu hanya memerhatikanku sambil mulutnya petah berkata sesuatu. Aku cuba membuka peti itu tetapi gagal. Kucuba sekali lagi namun gagal juga yang kuperoleh. Tanpa membuang masa aku mengeluarkan wang dari sakuku lalu kuberikan wang itu kepada perempuan itu. Perempuan tua itu berlalu pergi meninggalkan aku bersama peti misteri itu. Aku membulatkan tekad untuk membawa pulang peti itu ke tanahair.

* * * * * *

Sudah seminggu aku pulang dari bercuti di Kota Baghdad, Iraq. Rakan-rakanku galak memintaku menceritakan pengalamanku semasa berada di kota itu. Kuceritakan segalanya kepada mereka kecuali tentang peti misteri yang tersimpan kukuh dalam kota rahsiaku.

Peti itu memang misteri. Sesudah aku bejaya membuka peti itu, aku mendapati ada sebuah buku lama, sebungkus logam merah berkilat dan sebuah astrolab aneh. Aku yakin barang-barang ini adalah tinggalan tamadun Islam. Ini kerana buku itu ditulis dalam Bahasa Arab dan di dalamnya terdapat banyak formula serta lukisan teori yang tidak aku fahami.

Isi kitab itu (aku lebih suka memanggil buku itu sebagai kitab) terbahagi kepada tiga bahagian. Setiap bahagian muka suratnya mempunyai warna yang berlainan. Mungkin itu bermaksud kitab ini terbahagi kepada tiga bab. Aku kurang pasti. Yang aku pasti, aku tidak dapat memahami isinya.

Lantas timbul idea dibenakku. Aku mesti mempelajari Bahasa Arab agar aku dapat memahami isi kandungan kitab itu dan seterusnya mengetahui kegunaan serbuk logam dan astrolab aneh itu. Dalam masa tiga bulan aku dapat menguasai Bahasa Arab dengan begitu baik sekali. Guru yang mengajarku seperti tidak percaya aku berjaya menguasai Bahasa Arab dalam masa yang begitu singkat. Aku juga tidak dapat menerima hakikat itu. Mungkin aku terlalu berminat untuk mengetahui kandungan kitab itu atau mungkin juga ada kuasa ghaib dalam diriku yang membuatkan aku cepat memahami pelajaran yang aku pelajari.

Setelah aku membelek-belek kitab itu, tiga bahagian yang aku maksudkan itu sebenarnya adalah tiga bab yang terdiri daripada sains dan matematik, astronomi, dan kimia.

Aku menyelak helaian pertama. Di bahagian atasnya tertera satu perkataan Arab yang membawa maksud Prinsip Al-Kindi. Prinsip ini menyatakan bahawa cahaya boleh menghasilkan tekanan, tetapi hanya lima cahaya sahaja yang boleh menghasilkan tekanan dengan bantuan angin 'Alif'.

Akal logikku tidak dapat menerima prinsip ini walaupun aku cuba belajar untuk menerimanya. Jika berdasarkan ilmu yang aku pelajari selama ini, tekanan adalah daya yang dikenakan ke atas seunit luas permukaan. Tekanan adalah besar ketika luas permukaan kecil jika daya yang dikenakan adalah malar.

Ini bercanggah dengan Prinsip Al-Kindi. Cahaya adalah sejenis tenaga, bukan daya. Bagaimana tenaga cahaya boleh menghasilkan tekanan secara terus?

Benang-benang soalan tersimpul mati dalam ruang fikiranku. Aku cuba meleraikan simpul itu tetapi simpul itu semakin kemas dan sukar untuk aku meleraikannya lagi.

Aku mambaca lagi ayat-ayat seterusnya. Malangnya tidak dinyatakan contoh atau bukti untuk aku menerima prinsip ini. Tiba-tiba aku teringat akan sebuah masjid di Sepanyol yang mempunyai dua buah patung singa yang memancutkan air dari mulutnya setiap kali masuk waktu solat fardhu. Masjid ini dibina semasa zaman pemerintahan Bani Umaiyyah II yang berpusat di Cordova.

Kira-kira dua tahun lalu, seorang saintis Sepanyol mendapati setiap kali waktu solat fardhu tiba, terdapat sejenis angin yang bertiup terlalu lembut sehinggakan manusia tidak dapat merasainya. Dia menyatakan bahawa angin inilah yang menyebabkan air terpancut keluar dari mulut dua buah patung singa itu. Tetapi, pendapatnya ditolak oleh saintis-saintis lain kerana tidak mempunyai bukti-bukti yang kukuh.

Mataku bersinar. Butir-butir jawapan mula timbul dicelah-celah bebenang soalan yang berserabut. Bibirku mengukir senyuman untuk dilemparkan kepada Al-Kindi. Aku bangkit dari meja studiku lalu menuju ke makmal persendirian di bahagian belakang rumahku. Kitab itu kubawa bersama. Aku dapat merasakan bahawa kitab itu menyimpan seribu satu rahsia ilmu yang pasti akan kukupas satu per satu.

Sebelum aku memulakan eksperimenku, aku menyediakan radas seperti yang terlukis dibenakku sewaktu menuju ke makmal tadi. Sebuah akuarium ikan aku kosongkan. Kumasukkan sebuah bongkah logam yang disambungkan ke alat pemanas di sebelah kanan akuarium. Kemudian kuisikan air di sebelah kiri akuarium. Sebelum itu aku letakkan penebat antara air dan logam agar haba yang dikeluarkan oleh logam itu tidak mengalir ke air. Ini adalah untuk menghasilkan udara yang bergerak secara perlahan berdasarkan kejadian perolakan bayu laut dan bayu darat.

Udara yang panas iaitu di kawasan logam bergerak ke atas dan kemudian bergerak ke tempat yang sejuk iaitu di kawasan air. Udara yang sejuk pula bergerak ke kawasan logam untuk menggantikan udara panas. Proses perolakkan ini berterusan menyebabkan ada udara yang bergerak. Di bahagian bawah penutup akuarium, kulekatkan satu alat pengukur tekanan. Kemudian kututup akuarium itu untuk memulakan eksperimen.

Aku memulakan eksperimen dengan meletakkan radas itu berhampiran dengan sumber cahaya matahari sebagai ujian bagi cahaya yang pertama. Jika tidak berjaya, aku akan menggunakan cahaya-cahaya yang lain pula.

Setelah hampir setengah jam berlalu, tiada sebarang pemerhatian yang dapat kucatatkan. Aku menanti dengan penuh sabar. Membiarkan masa berlalu sambil mengejekku. Aku bingkas menghidupkan radio. Alunan muzik yang berkumandang cuba menenangkan perasaanku. Aku menjeling jam tanganku. Waktu zuhur kian hampir. Eksperimenku masih belum menunjukkan tanda-tanda positif.

Tiba-tiba azan berkumandang di corong radio menandakan sudah masuk waktu zuhur. Aku bingkas untuk mengerjakan solat. Tetapi langkahku terhenti sebaik sahaja aku melihat ada perubahan pada pengukur tekanan. Bacaan menunjukkan seribu Pascal dan tidak lama kemudian, penutup akuarium terbuka dengan sendirinya akibat tekanan yang tinggi dari dalam akuarium.

Kini aku mengerti. Lima cahaya yang dimaksudkan oleh Al-Kindi ialah cahaya matahari ketika masuknya waktu solat fardhu. Lima cahaya itu ialah cahaya matahari ketika terbit fajar siddiq (subuh), cahaya ketika matahari tergelincir (zuhur), cahaya matahari ketika bayang-bayang objek melebihi panjang objek (asar), cahaya matahari ketika matahari terbenam (maghrib), dan cahaya matahari apabila hilang mega di dada langit (isyak). Untuk memastikan sangkaanku itu benar, aku melanjutkan eksperimenku hingga keesokan hari. Dan aku mendapati Prinsip Al-Kindi adalah benar.

Ini bermakna, air yang keluar dari mulut patung singa itu disebabkan oleh kehadiran lima cahaya matahari dengan bantuan angin semulajadi yang bertiup lembut di kawasan itu. Cahaya ini menghasilkan tekanan ke atas permukaan air menyebabkan air ditolak keluar melalui mulut patung singa itu. Misteri patung singa itu kini terjawab. Aku berjaya membuktikannya dan aku berterima kasih kepada Al-Kindi.

Aku menghabiskan masa selama setengah tahun untuk menghabiskan bab sains dan matematik yang muka suratnya berwarna biru. Dalam ilmu-ilmu yang ditulis, hanya satu pelajaran yang telah aku pelajari. Pelajaran itu ialah penyelesaian persamaan berkuasa tiga Umar Khayyam iaitu x3 + Bx + c dengan kaedah persilangan di antara parabola dengan bulatan.

Dalam pada itu, aku cuba menterjemahkan ilmu-ilmu yang kupelajari ke dalam Bahasa Melayu. Tetapi aku masih belum mahu menghebahkan ilmu-ilmu itu. Biarlah hal ini menjadi rahsiaku buat sementara waktu.

Selama enam bulan, aku jarang keluar ke bandar atau ke tempat kerjaku. Rakan-rakan sekerjaku sering menelefonku untuk bertanyakan khabar. Suatu ketika, aku berjumpa dengan seorang rakan karibku, Syahril. Dia juga seorang saintis sepertiku. Kami sudah lama bersahabat sejak di bangku sekolah lagi. Dia terkejut melihat perubahan yang berlaku pada diriku. Katanya aku semakin kurus dan mataku semakin cekung. Katanya lagi aku seolah-olah menyimpan satu rahsia daripada diketahui umum.

Aku menafikannya, tetapi dia terus memujukku agar aku memberitahu rahsia itu. Aku tidak dapat lagi menahan pujukannya. Demi seorang sahabat, aku memberitahu segala yang tersimpan kukuh dalam kota rahsiaku selama ini. Aku percayakan dia dan aku mengajaknya bersama-samaku untuk mengupas ilmu-ilmu yang tersembunyi dalam kitab itu.

Kami mula mengkaji bab yang kedua iaitu bab astronomi. Dalam bab ini tidak banyak ilmu baru yang kami pelajari. Cuma beberapa teori dan cara-cara penggunaan astrolab aneh yang dibekalkan kepadaku. Kami berbincang dan mengeluarkan hujah-hujah untuk menyokong dan menyangkal teori-teori ini. Tetapi yang nyata, teori-teori ini mempunyai kebenaran.

Menurut kitab itu, seorang ahli astronomi bernama Ibnu Abbas telah mengemukakan teori bahawa manusia boleh keluar daripada maya pada ini jika menemui pintunya. Kami cuba mencari maksud teori ini dan apakah yang dimaksudkan dengan pintu itu. Syahril menyangkal teori ini manakala aku cuba mempertahankannya. Aku yakin ilmu-ilmu dalam kitab ini adalah benar belaka kerana setakat ini tiada satu pun ilmu yang ditulis cuba menipuku.

Aku membuat andaian bahawa pintu yang dimaksudkan ialah lohong hitam kerana di baris-baris terakhir menyatakan bahawa pintu itu boleh dijumpai di saat bintang hampir mati. Tetapi Syahril masih dengan pendiriannya.

“Sesuatu yang mustahil untuk manusia sampai ke lohong hitam yang perjalanannya memakan masa beberapa tahun cahaya. Tambahan pula pada zaman kitab ini ditulis, lohong hitam masih belum diketahui kewujudannya. Aku tidak nampak kebenaran di sebalik teori ini. Cuba engkau habiskan bacaanmu,” terang Syahril mematahkan hujahku.

Aku menghabiskan bacaanku. "Menurut kitab ini, Ibnu Abbas menyatakan pintu itu terletak di sebelah matahari terbenam di dalam sebuah rumah segitiga yang agung."

"Piramid!" teriak Syahril seraya membulatkan bebola matanya. Aku mengangguk perlahan mengiakan jawapannya sambil bibirku mengukirkan senyuman kepadanya.

"Adakah kau sudah lupa pada Professor William Kind?" tanya Syahril kepadaku.

"Mana mungkin aku lupa padanya. Seorang sejarahwan yang terkenal suatu ketika dahulu. Mengapa?"

"Kira-kira enam tahun dahulu, dia bersama-sama beberapa rakannya telah membuat kajian tentang piramid. Pada ketika itu, ASTROMAL (Pusat Astrologi Malaysia) telah menerima gelombang radio dari angkasa. Gelombang radio ini datangnya dari sebuah bintang yang sedang mengalami kematian, maksudku bintang itu meletup dan kemudian menjadi lohong hitam."

"Ya, aku masih ingat tentang kematian bintang itu. Kemudian?"

"Semasa berada di dalam piramid itu, mereka telah menjumpai sebuah cermin berbentuk bulat berdiameter kira-kira dua meter. Cermin itu kemudiannya bersinar dengan cahaya biru. Professor Kind telah memberanikan dirinya mendekati cermin itu. Dia menghulurkan tangannya dan mendapati dapat menembusi cermin itu. Adakah kau dapat membayangkannya?" soalnya lagi.

"Seperti yang digambarkan dalam filem-filem fiksyen Hollywood?" tanyaku membalas soalannya.

"Bagus, kau cepat menangkap dan menggambarkan apa yang ingin kusampaikan."

"Terima kasih."

"Setelah mendapati tangannya dapat menembusi cermin itu, dia memberanikan dri untuk melangkah ke dalam cermin itu. Seorang rakannya cuba menegahnya daripada berbuat demikian tetapi sudah terlewat. Professor Kind hilang bersama cermin itu dan pada saat itulah ASTROMAL mengesahkan gelombang radio yang diterima sudah hilang."

"Ini bermakna Professor Kind boleh kembali ke dunia ini jika berlaku lagi kejadian lohong hitam kerana cermin itu pasti wujud lagi. Dan cermin itulah pintu yang dimaksudkan oleh Ibnu Abbas."

"Mungkin juga, itu pun jika Professor Kind masih hidup."

Kami juga mempelajari cara-cara untuk menggunakan astrolab aneh itu. Biasanya aku melihat astrolab dalam bentuk bulat tetapi astrolab yang berada di tanganku berbentuk segi dua belas. Dalam kitab itu menyatakan bahawa setiap sisi astrolab itu mewakili setiap bulan dalam takwim Islam. Empat musim dapat ditentukan dengan mudah apabila menggunakan astrolab ini. Peredaran buruj-buruj juga mudah ditentukan dengan adanya astrolab ini.

Kami hanya mengambil masa dua bulan untuk menamatkan pengajian dalam bab dua. Ini kerana banyak teori yang dikemuakan daripada ilmu perkiraan. Tambahan pula sudah banyak ilmu-ilmu yang terdapat dalam kitab itu telah kami pelajari. Dalam masa yang sama aku meneruskan usaha menterjemah ilmu-ilmu yang kuanggap melepasi zamannya.

Pada satu malam, aku bermimpi perempuan tua yang menjualkan peti itu kepadaku datang menemuiku.

"Syabas orang muda! Aku tahu, aku tidak memilih orang yang salah. Kau melaksanakannya dengan baik,” kata perempuan tua itu sebagai memulakan permulaan bicara kami. Anak matanya tepat memandang mataku. Garis-garis yang terlakar pada wajahnya mencerminkan umurnya yang dimamah tua. Air mukanya tenang, setenang air di kali.

"Terima kasih," balasku seraya melakarkan senyuman kepadanya. Seketika air mukanya berubah. Ukiran senyuman tenggelam lemas dalam air muka yang serius.

"Orang muda, dengarlah nasihatku ini: Dua ekor semut yang mencari gula pasti bergandingan. Tetapi dua ekor singa yang mencari daging mungkin berlaku pergaduhan."

Aku terpaku mendengar nasihatnya. Kemudian perempuan tua itu ghaib. Aku terus terjaga daripada mimpi itu. Terngiang-ngiang di telingaku nasihat yang diberikan oleh perempuan tua itu. Aku cuba mengamati nasihat itu ayat demi ayat. Malangnya aku tidak faham maksud yang ingin disampaikan olehnya.

Ah, persetankan! Lebih baik aku meneruskan sahaja kajianku bersama Syahril. Namun begitu tanda soal masih bertakhta di benakku.

Aku dan Syahril membuka helaian yang pertama dalam bab kimia. Tajuk pertama menerangkan cara-cara penyediaan alkohol yang dalam Bahasa Arab disebut ‘Al-Khul’. Aku dan Syahril sudah sedia maklum mengenai pelajaran ini. Jadi kami beralih ke tajuk yang seterusnya.

‘Cara-cara penyediaan emas’

Tajuk itu tertulis di bahagian atas helaian ketiga bab kimia. Mataku membesar bulat. Hatiku tertanya-tanya apakah yang kubaca ini benar? Syahril juga seperti tidak percaya. Syahril menyuruhku menyediakan kaedah eksperimen dalam Bahasa Melayu agar mudah untuk dia membantuku nanti. Aku akur kerana aku mendapati kata-katanya mengandungi kebenaran.

Setelah selesai, aku menyerahkan kaedah itu kepadanya. Syahril menyambut kertas yang kuhulurkan kepadanya. Kemudian dia menawarkan segelas air minuman kepadaku.

"Minumlah, mungkin kau dahaga setelah mengambil masa yang lama untuk menyiapkan kerja tadi."

"Terima kasih." Aku mencapai gelas yang dihulurkan. Kudekatkan bibir gelas ke bibirku dan seketika kemudian dahagaku hilang. Aku memerhatikan Syahril yang tekun membaca kaedah yang telah kusediakan. Dari kerut dahinya aku dapat melihat kesungguhan yang terpancar dari dalam dirinya walaupun akalnya masih belum dapat menerima apa yang bakal berlaku.

"Mari kita mulakan sekarang!" ajaknya seraya bingkas bangun kira-kira lima minit kemudian.

Kami menghayunkan langkah ke makmal. Tiba-tiba aku merasakan diriku semakin ringan tetapi kepalaku terasa berat. Pandangan mataku semakin kelabu. Kemudian semakin hitam.. hitam.. hitam.. dan akhirnya gelap!

Aku membuka kembali mataku. Kepalaku masih terasa berat. Kemudian aku mendapati diriku berada dalam satu ruang yang dipenuhi dengan barang-barang lama. Ini bilik setor rumahku!

Aku mendapati tulang empat keratku terkunci kukuh. Di kananku terdapat kitab yang selama ini berjasa kepadaku. Aku mengesyaki sesuatu. Syahril sudah berpaling tadah. Dia lebih mementingkan dirinya sendiri. Fikirannya digenggam rasa tamak. Kilauan emas bersinar di matanya.

Aku cuba mengengsot dan menyandarkan diri pada dinding. Aku membebaskan fikiranku. Tubuhku lesu. Di hatiku tergumpal suatu persoalan. Rakan yang selama ini kupercayai kini menikamku dari belakang. Mungkin inilah yang dikatakan 'kawan makan kawan'.

Aku cuba melelapkan mataku, tetapi usahaku gagal. Aku sudah berputus asa. Ketika inilah kata-kata nasihat daripada perempuan tua itu kembali menendang-nendang telingaku. Kini aku mengerti. Tanpa kusedari, sebutir mutiara gugur membasahi pipiku.

Aku terkurung dalam bilik yang sempit ini dalam satu tempoh yang lama. Aku tidak pasti berapa lamakah aku terkurung. Cuma aku dapat pastikan cahaya yang kian malap menembusi kaca tingkap bilik ini. Malam datang lagi, harapan tinggal harapan.

Hari semakin gelap. Panahan Sang Mentari semakin lemah. Aku masih tersandar lesu di dinding. Tiba-tiba satu kilauan cahaya memanah mataku. Aku segera mengelak dan cuba mengamati arah datangnya cahaya itu. Aku mendapati cahaya itu adalah cahaya yang terpantul dari botol-botol kosong yang tersusun di atas almari.

Secara automatik terlintas idea bernas di benakku. Aku mengengsot lagi mendekati almari itu. Dalam jarak kira-kira setengah meter, aku membengkokkan kakiku lalu menendang almari itu sekuat hati. Satu bunyi yang kuat terhasil akibat tendanganku itu. Botol-botol kosong yang tersusun di atas almari itu bergoyang sedikit.

Aku mencuba lagi. Kali ini tendanganku tidaklah sekuat tendangan yang pertama tadi. Aku takut kalau-kalau bunyi kuat yang terhasil akan mengganggu urusan Syahril dan seterusnya usahaku untuk melepaskan diri gagal.

"Aku barjaya! Aku berjaya! Hah! Hah! Aku kaya! Aku kaya!" Jeritan itu memecah kesunyian malam. Hilai tawa berpanjangan buat seketika. Aku yakin Syahril berjaya dengan eksperimennya.

Tidak lama kemudian, aku mendengar derapan langkah kaki menuju ke bilik kecil yang aku diami sekarang. Aku cepat-cepat beralih tempat. Daun pintu terkuak. Syahril muncul di muka pintu sambil melontarkan senyuman sinis kepadaku. Baru kini aku dapat menyaksikan wajahnya yang sebenar. Wajah yang penuh dengan ketamakan dan kepalsuan.

Dia menekan suis lampu dan lampu terpasang.

"Aku minta maaf, Nizam. Aku terpaksa mengkhianati persahabatan kita. Selama ini aku sentiasa dibayangimu, Nizam. Aku cemburu dengan kejayaan yang telah kau capai. Hanya satu sahaja cara untukku bebas daripada bayanganmu, iaitu membunuhmu."

Aku terkejut mendengar kata-katanya. Aku memandang tepat anak matanya. Ada sinar kesungguhan dan kekejaman.

"Aku akan meninggalkan kau di sini. Aku ingin meminta izin daripadamu untukku bawa bersama buku terjemahanmu ini. Boleh, bukan?" soalnya dalam nada yang sinis.

"Aku telah membuka pili gas utama dalam makmalmu dan mungkin dalam masa setengah jam lagi kediamanmu ini akan meletup. Aku pergi sekarang," katanya sambil menimbang-nimbang seketul emas.

Aku diam membatu. Lidahku bagai terkunci untuk menyatakan sesuatu. Syahril menutup daun pintu meninggalkan aku bersendirian menanti saat-saat akhir kehidupanku.

Tanpa menunggu lebih lama, aku meneruskan usahaku yang tergendala. Setelah beberapa kali mencuba akhirnya aku berjaya membuatkan sebuah botol jatuh ke lantai lalu berkecai. Aku mencapai serpihan kaca dengan tangan yang masih terikat.Aku cuba memutuskan tali yang mengikat tanganku. Akhirnya aku dapat melepaskan diri tetapi pergelangan tanganku berdarah akibat terhiris kaca dalam usahaku memutuskan tali yang mengikat pergelangan tanganku.

Aku mencapai kitab yang masih berada di lantai. Lantas aku memulas tombol pintu. Kunci. Akalku ligat berputar mencari jalan keluar. Aku membuka pintu almari. Mataku liar mencari sesuatu. Akhirnya, mataku bertemu dengan sebatang tukul besi. Segera kucapai tukul besi itu lalu kuhayunkan sekuat hati pada tombol pintu. Tombol itu pecah dan daun pintu terkuak luas.

Aku melangkah keluar bersama kitab yang kupegang erat. Kuarahkan langkahku menuju makmal persendirianku. Aku menolak pintu makmal. Bau gas menusuk hidungku, lalu cepat-cepat aku menekup hidungku. Aku bergerak ke dalam makmal untuk menutup pili gas utama. Belum sempat aku menutup pili gas itu, satu letupan telah berlaku. Aku terpelanting keluar. Mukaku menyembah tanah.Tubuhku sudah tidak berdaya lagi. Kaki kananku berlumuran darah. Aku tidak dapat berbuat apa-apa. Hanya dapat melihat makmalku dijilat lidah-lidah api yang menggila.

Aku berpaling ke sebelah kiriku. Kitab itu masih berada di sampingku dan kitab itu terbuka. Aku merenung kitab itu. Mungkin ini adalah bacaanku yang terakhir dan bacaan terakhirku amat memeranjatkanku.

Menurut apa yang kubaca, eksperimen penyediaan emas itu perlu disediakan langkah berjaga-jaga. Ini kerana serbuk logam merah berkilat itu akan membebaskan sejenis gas yang akan merosakkan sel-sel otak dan seterusnya boleh membawa maut kepada sesiapa yang menghidunya. Menurut kitab itu lagi, gas yang dibebaskan adalah dalam kuantiti yang sedikit. Aku yakin, Syahril pasti menyedut gas ini.

Aku ingin terus membaca kitab ini, tetapi satu sambaran angin membuatkan buku itu terkatup. Kugerakkan tanganku untuk mencapai kitab itu. Kudakap kitab yang banyak berjasa kepadaku itu di dadaku. Aku mahu mati di sisi kitab itu.

* * * * * *

Sekujur tubuh yang berlumuran darah dikakinya kaku. Sekujur tubuh lagi yang berlumuran darah di kepalanya juga kaku. Dr. F bingung melihat kedua-dua mayat itu. Seorang mendakap sebuah kitab di dadanya. Seorang lagi membawa terjemahan kitab itu dan juga seketul emas bersamanya. Anehnya, kedua-dua insan ini menghembuskan nafas terakhir di lokasi yang berlainan.

Dr. F memerhatikan wajah mayat yang pertama. Namanya Ahmad Nizam Ahmad Ridzuan. Seorang saintis muda yang telah banyak mengharumkan nama negara. Wajahnya putih bersih. Terpancar sejalur cahaya suci yang diakhiri dengan cahaya penderitaan dan penyesalan. Dia dapat melihatnya dengan jelas.

Dr. F mengalihkan perhatiannya kepada mayat yang kedua. Insan ini bernama Syahril Shamsuddin @ Abdul Rahim. Dia jua seorang saintis. Mungkin mereka rakan sekerja, fikir Dr. F. Wajahnya bersih tetapi dinodai dengan cahaya hitam yang kejam dan tamak.

Dia pulang ke rumahnya sesudah kedua-dua mayat itu diserahkan kepada keluarga masing-masing. Di rumah, dia menghempaskan dirinya di atas sofa yang empuk. Dia mendongak memandang siling yang memutih sambil jari-jemarinya cuba melonggarkan tali leher yang mengikat lehernya. Penat dan panas. Di fikirannya, dia teringat akan kitab, terjemahannya dan ketulan emas yang tersimpan di dalam laci keretanya. Dia diberi amanah untuk mengkaji kebenaran ilmu-ilmu itu.

Dia bingkas untuk mengambil minuman di dapur. Tetapi bagaikan magnet, matanya tertarik pada bungkusan pos yang terletak di tepi pintu hadapan rumahnya. Dia mengerutkan dahinya. Entah bila bungkusan kuboid itu terletak di situ. Siapa yang menghantarnya? Sejak tadi tiada posmen yang datang. Tiada orang yang menjengah memberi salam. Dia mencari nama Si Penghantar. Tiada. Dia hanya mendapat tahu bungkusan itu datang dari Iraq. Dan dia mendapati bungkusan itu ialah sebuah peti hitam....

www.tips-fb.com