Wakaf Novel
Anda sukakan novel saya? Kongsikan apa yang anda baca sambil beramal. Dengan RM50, anda boleh mewakafkan 2 naskah Pendeta Gua Khayalan dan 2 naskah 10 Juta Pulus kepada mana-mana perpustakaan sekolah ataupun rumah anak-anak yatim pilihan anda. Jika berminat, emailkan kepada saya di masdalifadzlie@gmail.com dengan tajuk 'Projek Wakaf Novel' bagi mendapatkan info lanjut.


Beli Novel
Anda juga boleh membuat pesanan bagi novel-novel di atas dengan menghantar email bertajuk 'Pesanan Novel' ke masdalifadzlie@gmail.com. Sila nyatakan judul novel dan jumlah pesanan. Harga senaskah adalah RM10 (tidak termasuk RM4 harga pos untuk setiap naskah). Setiap naskah yang dipesan akan disertakan tandatangan penulis.






E.S.A - Empat Sahabat Air

Filed under: , by: Masdalifadzlie M Saaid

Assalamulaikum, sahabat.

Sudah lama saya tidak mencoretkan sesuatu di sini. Sebetulnya jika mengikut perancangan, selepas Duyung Pulau Kenchana, saya ingin menulis dua novel fantasi moden sebelum menyambung siri terakhir dalam Trilogi Kembara Lang Surya. Namun ternyata Tuhan lebih berkuasa, dan rencananya lebih agung. Diilhamkan oleh-Nya kepada saya sebuah cerita yang sangat saya suka. Kisah ini berdasarkan watak-watak yang saya cipta dalam novel Duyung Pulau Kenchana. Buat masa ini, novel yang dijudulkan E.S.A - Empat Sahabat Air sudah pun siap 50%. Saya berharap dapat melunaskan penulisan novel ini sebelum Aidilfitri bertandang, InsyaAllah.

Dengan ini, saya menjemput sahabat-sahabat menjamah sedikit buah tangan daripada saya. Terimalah, sepuluh halaman pertama daripada novel ini. Semoga buah tangan ini menghadirkan rasa manis pada bacaan sahabat-sahabat. Sahabat-sahabat juga boleh mula menempah juadah ini di sini.

*****


Cerita ini sebetulnya benar, namun berkekuatan mengangkat kening-kening mereka yang keasyikan menekuni. Lantas daripada benar, kisah ini malah dikuis menjadi dongeng. Mujurlah ia bernama fantasi, maka dapatlah kutitipkan ke dalam kitab luar biasa ini. Hebatnya kitab ini pasti bukan main!

Pak Buaya - pasti dikau mengenali haiwan tersebut. Cerdasnya rendah, bengisnya tinggi, sabarnya nipis, namun jujurnya sangat tebal. Pernah dahulu dia menjabat jawatan termulia di kalangan kaumnya, penghulu di sebatang sungai yang lebarnya minta diampun. Sayang, gara-gara Sang Kancil yang berakal panjang hanya untuk menipu itu, dia mula hidup dalam buangan. Jamuan di istana Raja Sulaiman, konon!

Dia berkelana sendirian, namun perlakuan itu berlangsung tidak lama. Setelah dua hari bermaki-makian (untuk siapa lagi jika bukan Sang Kancil), dia menemukan Pak Kura yang menapak dengan penuh hati-hati, takut-takut nanti jatuh roboh rumah yang sedang dipikul. Rumahnya itu, biar pun nampak kecil, tetapi beratnya lebih muatan, sekaligus membuatkan langkahnya pendek dan lambat. Jika tidak kerana rumah itu, dia pasti menjadi pemecut juara satu dunia. Sang Arnab durjana itu tidak mungkin bisa bermegah-megah!

Pak Kura, apabila melihat garis-garis sugul terpalit pada wajah Pak Buaya, segera dia menegur, “Wahai Pak Buaya, gerangan apa yang memuram durjakan wajahmu?”

Mendegarkan perkataan itu, mata Pak Buaya segera berputar menjeling, menyeluruhi rupa Pak Kura yang bermuka pandir. Hatinya panas, jelas kurang menyenangi sapaan haiwan yang pantasnya paling corot di dunia. Meski pekerjaan Pak Kura itu ikhlas, malah tersulam nada prihatin, pada Pak Buaya ia bersifat mengganggu. Sangat mengganggu.

Sejurus buaya itu membalas bersama alis yang terturun, “Sudahkah kau mencermin wajahmu, wahai Pak Kura?”

“Apakah kau punya cermin?”

Pak Buaya mengetap gigi-gigi runcingnya. “Tidak,” sahutnya geram. “Tapi aku bisa memberitakan kepadamu, bahawa wajahmu juga sedang mengahwini duka.”

“Aku tahu itu,” balas Pak Kura tertunduk.

“Kalau begitu, fikirkan sahaja tentang wajahmu. Usah berdiri di tepian kain,” bentak Pak Buaya lantas berlalu dengan ekor tergedek-gedek. Sayang, ukuran pinggulnya, meski digoyangkan  sembilan puluh darjah kali empat, tidak pernah sekali pun menggiurkan.

Di belakang Pak Buaya, Pak Kura tidak berupaya menghalang bulu-bulu jengkel daripada tumbuh di dasar hatinya. Demikian membuatkan bibirnya mencuatkan cebik, dan dua jenak kemudian, dia menjelirkan lidah sepanjang yang termampu, ditujukan khusus untuk Pak Buaya. Jika dia punya kudrat mengangkat sebilah kapak, sudah tentu ditetas hujung ekor Pak Buaya yang tergedek-gedek itu. Sedikit pun jadilah!

Tanpa diduga, Pak Buaya sekilas berpaling, dan Pak Kura bernasib celaka lantaran tidak sempat menangkap waktu bagi menarik kembali lidahnya. Dalam sorotan mata Pak Buaya, dia melihat kura-kura itu perlahan-lahan menggulungkan lidah masuk ke dalam mulut. Wajahnya pucat pasi serupa bulan kesiangan.

Lantas buaya yang senang berasa marah itu mengorak langkah menyempitkan jarak antara mereka. Matanya masih meruncing tajam, yang bisa menebuk-tembus hati-hati yang menonton. Bukan main bengis wajahnya. Hal itu membuatkan keempat-empat lutut Pak Kura bergetaran hebat lantaran nyali yang menunjangi dirian kaki-kakinya, terbirit-birit menyelamatkan diri.

Kasihan Pak Kura, kerana asal muasal kebengisan yang dipertontonkan oleh Pak Buaya hanyalah bertopengkan gurauan. Selepas tiga jenak membiarkan Pak Kura bergetaran lutut, ketawanya membuak-buak ditolak lucu dari dalam dada. Pak Kura bahkan terpingkal-pingkal.

“Gerangan apa yang membuatkan kau bermuka walang, wahai Pak Kura?” aju Pak Buaya bersama dekahan kecil yang masih bersisa.
Pertanyaan tersebut menjadikan Pak Kura berhati jelek. Bukankah soalan itu yang diunjurkannya terlebih dahulu? Serasa benar-benar mahu ditetas ekor buaya yang berotak sendeng itu. Betul, sedikit pun jadilah!

Namun Pak Kura mengendapkan rasa geramnya ke dasar dada, lalu mengalah. Wajahnya sugul bersama alis yang membumbung. “Aku dihalau oleh teman-temanku,” sahutnya bersuara perlahan seperti musang tercekik biji kopi.

Mata Pak Buaya membuntang. “Kebetulan, kawan. Aku juga dihalau oleh anak-anak buahku. Ternyata nasib kita tidak kalah serupa,” keluh Pak Buaya turut menyugul. “Mengapa kau dihalau, kawan?”

Maka berceritalah Pak Kura berkenaan Sang Arnab yang mencabarnya memberikan perlawanan memecut bagi menentukan siapa yang terpantas. Dikhabarkannya, dia beroleh menang kerana berhasil memintas Sang Arnab yang tertidur di pertengahan perlawanan.

“Kemenanganmu sungguh luar biasa,” puji Pak Buaya jujur. “Tapi aku tidak melihat mengapa mereka menghalaumu.”

“Sebabnya mudah, sahabat. Sang Arnab yang telinga dan giginya bersifat sama panjang itu, menceritakan hal yang bukan-bukan tentang kemenanganku. Fitnahnya, aku memberikan ubat tidur kepadanya sebelum perlumbaan,” cerita Pak Kura kemudian.

“Dan semua temanmu mempercayai dustanya?” soal Pak Buaya.

“Benar, sahabat. Sebenar lima kali lima, dua puluh lima!” gumam Pak Kura seraya menghentak-hentak kakinya yang pendek.

Pak Buaya berpaku renung sambil bergelengan.

“Dan apa pula yang terjadi kepadamu, sahabat?” Pak Kura ingin tahu.

Lalu berkisahlah Pak Buaya tentang kelicikan Sang Kancil yang menipunya tempohari. Diceritakan daripada mula, bagaimana dengan menggunakan nama Raja Sulaiman, Sang Kancil berhasil memperdayakan kejujurannya. Ternyata Sang Kancil yang bertubuh kecil itu, yang jika dibaham pun tidak berkemampuan mengenyangkan, hanya ingin menggunakan barisan buaya-buaya bagi menjambatani sungai tersebut demi buah-buahan ranum di seberang. Apabila mereka mula sedar dibohongi Sang Kancil, anak-anak buah Pak Buaya bertindak menggulingkannya daripada jawatan penghulu. Dia bahkan dihalau dari sungai tersebut.

“Kalaulah aku berotak cerdik, pasti tidak terjadi perkara itu,” bicara Pak Buaya mengakhiri ceritanya.

“Aku juga. Andai kata kakiku pantas berlari, tentu Sang Arnab tidak berkeberanian mencabar,” ujar Pak Kura tidak mahu kalah.
Sejurus, mereka saling berpandangan. Sedetik kemudian mereka saling terbahak-bahak.

“Seekor buaya berotak cerdik?” jerit Pak Kura terkekeh-kekeh. “Lucu!”

“Apa kurangnya dengan seekor kura-kura berkaki pantas?” laung Pak Buaya pula, terguling-guling. “Dua kali lucu!”

“Aku tahu siapa yang mampu memberikan apa yang kau berdua inginkan.” Satu suara berjenis perempuan, tanpa salam, tiba-tiba menyampuk, membuatkan ketawa Pak Buaya dan Pak Kura terhenyak ke jalan mati.

Di hadapan mereka, yang sedang duduk bertinggung adalah Mak Katak. Ternyata, tanpa disedari ada yang mencuri dengar perbualan mereka.

“Apa maksudmu, wahai Mak Katak? Di mana anak-anakmu?” soal Pak Kura setelah berjaya menghilangkan kebilan mata. Kura-kura malang itu meninjau-ninjau di sekitar tinggungan Mak Katak. Luar biasa, kerana matanya tidak menemukan anak-anak katak yang sentiasa membuntuti si emak.

Soalan kedua yang tertuju kepadanya membuatkan Mak Katak berhati sedih. Seraya menundukkan wajah, dia bersuara sebak, “Anak-anakku semuanya menemukan ajal dengan cara meletupkan diri.”

“Bunuh diri?” soal Pak Buaya dan Pak Kura nyaris serentak. “Itu kerja dosa besar!”

Mak Katak bergeleng menidakkan. Sejurus dia menceritakan hal yang membuatkan dirinya berkelana hingga bertemu Pak Buaya dan Pak Kura. Kisahnya, satu petang anak-anaknya pulang ke tempurung. Dengan penuh rasa uja, mereka menceritakan perihal makhluk yang sangat besar, yang diserempaki ketika berpulangan.

Mak Katak cuba melayan kerenah anak-anaknya lalu bersoal, “Makhluk apakah itu?” Sayang, anak-anaknya tidak tahu makhluk tersebut bergelar lembu, lantas masing-masing menjungkitkan bahu. Namun Mak Katak ingin juga tahu, “Baiklah, tunjukkan kepada bonda sebesar apa makhluk itu.”

Maka dijadikan cerita, mengembunglah badan anak-anak katak itu, kerana jika tidak berbuat demikian, takut nanti ditanda dengan nama derhaka pula. Derhaka itu, maknanya masuk neraka!

“Besar lagikah?” soal Mak Katak pada satu tahap.

Anak-anak katak saling berpandangan, lalu berbicara dengan anggukan. Lantas mereka menghela nafas lebih banyak bagi membesarkan lagi kembungan perut. Namun malang menyapa mereka, kerana nasib sial terlebih dahulu datang mencucuk perut-perut mereka, lalu meletup, lalu menjadi arwah kesemuanya.

www.tips-fb.com